Saturday, December 31, 2011

Selamat Datang 2012 !!

Diam tak diam 2011 hanya berbaki beberapa jam sahaja lagi. Diam tak diam juga 2011 sudah tiba ke penghujungnya. Ibarat pelari pecut yang hanya tinggal beberapa sentimeter sahaja lagi untuk menamatkan lariannya.

2011 : Tahun yang akan terus segar dalam ingatan saya. Graf kehidupan saya turun naik tidak stabil bagaikan menunggang seekor kuda yang tempang kakinya. Cuaca kehidupan saya juga sentiasa berubah-ubah tanpa musim. Sekejapan panas terik, sekejapan ribut petir, dan sekejapan pula hujan renyai-renyai disusuli dengan pelangi yang cukup indah. Yang indah akan terus dikenang, yang pahit harus terus ditelan.

Azam tahun baru?

Sudah semestinya berazam untuk menjadi hamba Allah yang sentiasa beriman. Saya juga berazam untuk menjadi anak, isteri, dan menantu yang mithali.

Azam tahun baru anda bagaimana?

Wednesday, December 28, 2011

Tuhan Menguji Kita Kerana Dia Ingin Menghapuskan Dosa Kita : Episod 5

*Kesinambungan dari Episod 4*

Episod-episod duka masih belum mahu melangkah pergi dari sisi hidup saya. Belum reda masalah yang dicipta oleh rakan-rakan sekelas, individu lain pula menghantar mesej demi mesej yang menyucuk jiwa saya. Hubungan saya dengan Mr. T juga turut menjadi mangsanya. Individu itu mula mempersoalkan hubungan kami. Dia menuduh saya me'mandrem'kan Mr.T sehinggakan tunangan saya itu tidak berpaling berpaling kepada orang lain lagi..!! Allahuakbar... Tuduhan apakah itu? Kalaulah saya berdaya mengguna-gunakan orang seperti yang diperkatakan, buang masa sahaja saya mengguna-gunakan Mr.T. Lebih baik saya mengguna-gunakan kaum kerabat diraja yang sudah tentu kaya raya dan dipandang mulia!

Suatu malam saya terima lagi rangkaian mesej darinya. Mesej yang saya tidak akan lupakan sampai bila-bila pun. Dia menuduh saya seorang perempuan yang tidak tahu malu mencintai Mr.T. Saya dituduh ibarat perigi mencari timba. Dia memberitahu saya bahawasanya bakal mertua saya tidak pernah menerima saya. Dia terus mengatakan bahawa bakal mertua saya berkali-kali menyuruh Mr.T memilih orang lain sebagai calon isteri dan bukannya saya. Dia mengatakan lagi kononnya bakal mertua saya berpura-pura menerima kehadiran saya hanya kerana mereka kasihankan Mr.T yang terlalu mencintai saya! Benarkah begitu??

Sepanjang saya mengenali bakal mertua, mereka terlalu baik terhadap saya. Pertemuan kami selalunya diiringi ketawa bahagia. Kunjungan saya ke istana mereka juga disambut dengan tangan yang terbuka. Bakal ibu mertua saya amat lemah-lembut orangnya. Pelukannya sentiasa mendamaikan jiwa. Senyumannya mampu mengusirkan lara. Saya dilayan dengan penuh mesra. Benarkah beliau hanya berpura-pura menerima saya?? Benarkah??

Bakal bapa mertua saya pula agak pendiam orangnya. Senyuman selalu melebihi kata-katanya. Mata saya yang bodoh ini tidak pernah menipu, bakal bapa mertua saya tidak sekalipun mempamerkan senyuman palsu! Keikhlasan sentiasa terpancar pada wajah tuanya. Kepala saya sentiasa di usap penuh kasih sayang setiap kali saya tunduk mencium tangannya. Saya terasa beliau menerima saya seadanya. Tetapi benarkah beliau hanya berpura-pura menerima saya hanya kerana ingin menjaga hati Mr. T, anak lelaki tunggalnya?? Benarkah??

Perkhabaran itu saya terima ketika bakal menghadapi peperiksaan pertengahan semester keesokkan harinya. Mood saya langsung berlalu pergi. Saya tidak berdaya hendak study lagi. Saya tutup kesemua nota. Menitik juga air mata saya akhirnya. Hancur luluh hati saya. Saya mula membayangkan keindahan alam rumah tangga yang sering saya bayangkan selama ini mulai musnah sedikit demi sedikit. Lia kehairanan melihat saya baring menutupkan muka. Saya menangis semahunya. Mengapa saya yang harus diuji sebegitu rupa?? Mengapa?? Astagfirullahalazim.. Saya lupa bahawa Tuhan sedang mengatur semuanya. Saya juga lupa bahawa ujian yang Tuhan berikan ini hanya sebesar zarah jika dibandingkan orang di sana yang lebih hebat dugaan mereka. Ampunkanlah dosa hambamu ini Ya Allah.

Setelah berfikir panjang baik dan buruk, saya forwardkan kesemua intipati mesej-mesej itu kepada Mr. T. Saya tidak mahu ada rahsia lagi antara kami. Saya tidak mahu kesalahan sekali lagi jatuh terhempap ke bahu saya sekiranya berlaku sesuatu ke atas hubungan kami suatu waktu nanti. Saya katakan pada Mr.T eloklah jika saya mengundurkan diri dari hidupnya. Tiada gunanya kami meneruskan hubungan ini sekiranya kedua orang tuanya tidak 'merestui' hubungan kami. Saya mahu memulangkan kembali cincin yang bersinar tersarung di jari.

Mr. T marah sekali. Saya tidak pernah melihat Mr.T marah berapi-api seperti itu sebelum ini. Mr. T yang saya kenali amat cool orangnya. Dia bijak mengawal emosi walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Saya terlebih dahulu meminta maaf darinya. Bukan niat saya untuk menambahkan beban kepadanya, jauh sekali untuk mengucar-kacirkan hidupnya. Saya sekadar ingin berkongsi dengannya dan tidak mahu teraniaya lagi. Saya juga sudah penat menjaga hati orang lain sedangkan hati saya sendiri sewenang-wenangnya dipermainkan.

Keesokkan harinya, Mr. T menghubungi saya. Beliau ingin membawa kedua orang tuanya berjumpa dengan saya. Beliau inginkan saya mendengar dari mulut kedua bakal mertua sendiri bahawanya mereka tidak pernah tidak merestui hubungan kami. Bakal bapa mertua berulang kali mengatakan, sekiranya mereka suami isteri tidak merestui hubungan kami, dari dahulu lagi pastinya mereka berusaha keras untuk menghalangnya! Bakal mertua mengambil keputusan untuk terus berjumpa dengan kedua ayah dan bonda. Mereka memohon untuk mempercepatkan tarikh nikah kami berdua kerana bakal mertua tidak inginkan sesuatu terjadi ke atas hubungan kami. Bakal mertua inginkan kami segera disatukan kerana tidak ingin kejadian seumpama itu kembali  terjadi. 

"Perkara itu tidak akan berulang lagi. Langsung tidak akan pernah! Saya akan lindungi awak selagi saya masih bernafas. Dia tidak akan berani mengganggu lagi." Itu janji Mr. T.

Ya. Baru kini saya percaya, alam pertunangan ada cabaran yang tersendiri. Tapi ujian kepada saya datang dalam pek 'berkembar'. Ujian kehidupan dan ujian alam pertunangan datang sekaligus. Berat dan sarat. Padat dan sendat!

Wassalam..

Tuesday, December 27, 2011

Tuhan Menguji Kita Kerana Dia Ingin Menghapuskan Dosa Kita : Episod 4

*Kesinambungan Episod 3*

Pagi itu Puan A menghubungi saya. Puan A seorang pensyarah yang amat baik hati dan tersangat lemah-lembut. Tapi dalam lemah-lembutnya itu, Puan A amat tegas orangnya. Tujuan Puan A menghubungi saya adalah kerana ingin membincangkan topik assignment yang akan diberikannya kepada setiap kumpulan dan juga memberikan saya topik presentation. Puan A sekampung dengan Mr.T, dan saya amat selesa berkongsi apa sahaja dengan Puan A.

Sambil berbincang kami selang-selikan dengan bualan kosong. Tiba-tiba, Puan A menunjukkan saya senaskah assignment yang berconteng muka hadapannya dengan pensel. Tetapi tidaklah sampai penuh satu muka surat seperti yang di'hiperbola'kan.. Sekadar ada tanda seruan bersais dua kali ganda syiling 50sen berserta nota : 'Apa awak buat ni??' - itu sahaja.. Kata Puan A :

"Awak tengok ni apa yang dia buat? Saya minta dia buat topic revision, maksudnya ada nota dan keterangan ringkas untuk setiap topik. Bukan saya minta senarai topic yang ada dalam silibus! Saya geram sangat. Tapi tak sampai hati saya nak tulis dengan pen merah."

Panjang lebar penerangan Puan A. Puan A memberi jawapan kepada persoalan saya tempoh hari tanpa perlu saya bersusah payah menggalinya! Alhamdulilah.. Lapang sedikit dada saya. Saya tidak menyangka pagi itu saya akan jawapan dari 'tuduhan' mereka-mereka itu. Kalaulah saya tahu awal-awal, pastinya saya akan merekodkan setiap butir bicara Puan A tadi dan tayangkan di dewan besar agar satu kampus tahu kebenarannya!

Astagfirullahalazim... Saya mengucap panjang. Pastinya syaitan sedang berusaha menghasut saya menjadi 'sejahat' itu. Saya tidaklah sejahat itu untuk mengaibkan orang.. Tetapi mengapa orang suka mencari 'keaiban' saya??

Pulang dari mengadakan pertemuan singkat dengan Puan A, saya tekadkan di hati dan ajar diri untuk mengamalkan sikap 'pekakkan telinga, butakan mata.' Walaupun mereka belum penat dan terus-terusan mencipta pelbagai kesalahan saya, dan mungkin juga mereka tidak tenang melihat 'ketenangan' saya, Alhamdulillah hidup saya bertambah aman damai. Ayah bonda tidak henti-henti menyuruh saya bersabar dan disertai dengan kalimah 'kembarnya'. Seperti biasa, kalimah klise yang senantiasa berkembar dengan perkataan sabar adalah : "Setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya.."

Ramadhan melabuhkan tirainya meninggalkan saya yang masih terus-terusan menjadi mangsa kemungkaran.. Saya harapkan Aidilfitri akan menjadi titik ketenangan yang berlipat kali gandanya kerana saya sudahpun tekadkan di hati, tak ingin persengketaan lagi.. Saya lapangkan fikiran di hari mulia itu dari memikirkan perkara yang menyakitkan.. Namun, ujian Tuhan datang lagi..

Petang Aidilfitri pertama itu, saya akses akaun FB milik sendiri. Saya balas kesemua ucapan Aidilfitri kiriman rakan taulan. Saya sambut salam kemaafan mereka. Di sebalik kiriman salam kemaafan yang tidak putus-putus itu, terselit juga satu kiriman di PM saya. Satu mesej yang membuatkan nafas saya kembali sesak. Mesej dari seseorang yang saya kenali dan agak lama tak berhubungan lantaran kedinginan semakin membeku.

"UiTM ka UKT?? Tukar la status tu.. Memalukan ja..hahahahahaha.."

Darah saya yang baru hendak stabil, terus menyerbu ke kepala. Tidak saya sangka di hari mulia itu saya akan turut menerima kiriman 'lain' selain dari kiriman salam KEMAAFAN..!! Saya cukup pantang bila status pengajian saya dipersoalkan sedangkan dia tidak pernah tahu langsung kisah kehidupan saya ketika di UiTM Pahang lewat masa dulu yang menyebabkan saya membawa diri ke negeri berjiran dengan negara Siam itu pula! Atas dasar apa pula dia menghantar mesej tanpa salam itu melainkan dengan satu tujuan, untuk menyakiti hati saya. Tanpa berfikir natijahnya, saya termakan juga dengan hasutan syaitan yang direjam dan membalas kiriman tanpa salam itu. Lalu sekali lagi jiwa saya terganggu. Bermulalah episod perperangan maya saya dengan individu terbabit..

Kesabaran saya diuji lagi..

(UKT = Universiti Kena Tendang)

Tuhan Menguji Kita Kerana Dia Ingin Menghapuskan Dosa Kita : Episod 3

*Sambungan dari Episod 2*

Dalam berperang dengan perasaan sendiri yang hampir tewas dan berputus asa, penderitaan tidak pernah berhenti dari terus mendampingi saya. Saya terasa akan terjatuh menyembah bumi pada bila-bila masa sahaja dan tidak terdaya untuk bangun lagi. Tubuh dan jiwa saya sudah tiada daya untuk menanggung semua kesakitan itu. Saya sangkakan setelah saya mengalah dan angkat kaki keluar dari rumah tersebut, mereka akan berhenti menegakkan kemungkaran, namun saya tertipu lagi..

Salah seorang daripada mereka dengan lantangnya memberitahu seluruh isi kelas :

"Ada orang conteng cover assignment aku penuh satu muka surat! Aku baru hantar tak sampai setengah jam! Aku tak tahu la siapa yang buat benda tu. Agak-agak korang?"

Ketika laungan suara itu berkumandang dengan penuh 'berhemah', mata si penuturnya tidak terlepas daripada memandang tepat ke wajah saya! Siapa lagi yang dituduhnya melainkan saya? Masyaallah...

Tetapi saya tetap tersenyum di hadapan mereka semua. Bagi saya biarlah saya 'terkena' daripada saya yang tidak henti-henti mencipta idea untuk 'mengenakan'. Biarlah saya terus tersenyum mempamerkan kesabaran daripada saya terus-terusan dilanda sakit jiwa seperti mereka. Biarlah....

Namun begitu, tidur saya tidak nyenyak. Hidangan santapan saya menjadi tiada nikmat dan terasa sentiasa tawar dan berpasir. Saya acap kali termenung sendirian. Hebat sungguh ujian Allah kali ini. Saya sentiasa bertanya kepada diri sendiri, apa dosa saya?? Salahkah saya menegakkan kebenaran dengan melaporkan kepada pihak berkenaan bahawasanya ahli group discussion tidak menyumbangkan tenaga? Salahkah saya?? Kalau setakat sekali perkara seumpama itu terjadi, saya dan ahli kumpulan masih boleh bersabar, ini sudah berkali-kali. Dia hanya berkerjasama dengan telefon tanpa wayar paling ber'jenama'nya itu! Saya merasa tidak adil jika perkara itu terus didiamkan kerana pastinya markah setiap ahli kumpulan akan diberi sama rata. Markah yang sama juga pastinya berlari tergolek-golek masuk ke dalam poket beg SI DIA pencetus angkara tanpa perlu dia berusaha bersengkang mata bersama kami semua. Itu memang tidak ADIL!

Acap kali di sujud terakhir setiap fardu, saya tidak pernah lupa memohon dengan bersungguh-sungguh supaya Tuhan mengampunkan dosa-dosa saya. Mungkin ini semua ujian Tuhan dan balasan kepada kesalahan-kesalahan masa silam saya. Saya dulunya kerap leka dengan tuntutan tiang agama. Saya yang dulunya lalai dengan amalan menghadapai Hari Perhitungan! Mungkin ini juga merupakan ujian Ramadhan saya. Mungkin Tuhan inginkan saya bertambah dekat dengan-Nya. Mungkin..

Jika ini adalah salah satu cara Tuhan ingin mengampunkan dosa lalu, saya redha. Hanya Dia yang mengatur segalanya. Mungkin dia sedang mengaturkan sesuatu yang lebih hebat untuk saya di keesokkan harinya.. Siapa tahu..

Suatu pagi Puan A menghubungi saya.. Apakah yang dikehendaki Puan A..??

Sunday, December 25, 2011

Tuhan Menguji Kita Kerana Dia Ingin Menghapuskan Dosa Kita : Episod 2

*Sambungan Episod 1*

Saya bersyukur sekurang-kurangnya saya tidak bersendirian menghadapai kemelut itu. Saya dan Lia senasib. Kami sama-sama bersatu menghadapi dugaan itu. Ishqi dan Nabila sentiasa menyokong kami. Masalah rumah mula diperkatakan tanpa henti apatah lagi saya menggalas beban sebagai 'Ketua Rumah'. Suara-suara tidak puas hati bertempikan tanpa henti. Masing-masing punya 'kepala' sendiri dan merasakan mereka lebih bagus untuk menjadi ketua. Saya tidak pernah meminta untuk dijadikan ketua, tapi mereka yang beria-ria memilih. Kerumitan hidup saya ini berpunca dari sedikit salah faham antara kami (saya & Lia) dengan seorang ahli rumah yang merupakan ahli group discussion bersama. Dulunya, bersama Nadia, Ishqi, Nabila, Lia, dan saya sendiri, kami tidak pernah punya sebarang masalah antara ahli kumpulan. Tugasan diberi sentiasa lancar. Segalanya kami lakukan bersama. Buktinya, markah tugasan kami sentiasa padat maksimum. Semua orang boleh lihat bukti itu. Setelah Nadia 'meninggalkan' kami, kami selesa berempat, tetapi ahli baru itu seolah-olah cuba meraih 'populariti' kami. Maka, episod-episod duka muka mengelilingi saya, juga selaku ketua kumpulan! Si Dia mula menunjukkan taring. Masa discussion dihabiskan dengan 'bergayut' berjam-jam seolah-olah dia sahaja yang punya pacar. Saya bertoleransi pada mulanya. Namun lama-kelamaan, ahli kumpulan mula bersuara. Masing-masing tidak puas hati dengan ahli baru terbabit. Timbul persengketaan apabila kami berani bersuara dan tekad untuk melontar dia dari kumpulan. Ya. Itu sangat penting untuk menjamin keputusan semester akhir ini. Untuk apa lagi disimpan jika tidak mendatangkan sebarang hasil. Rentetan dari rasa tidak puas hati itulah, saya diheret hingga ke muka pegawai HEP!

Hinaan dan cacian saya terima saban waktu. Lebih menyedihkan kejadian itu berlaku ketika bulan dimana kita dituntut untuk memperbanyakkan sabar.  Amal ibadah saya turut dipersoalkan! Ada suara nakal yang melaungkan : "Tidak guna sembayang tungging terbalik, pakai tudung litup, tapi berhati busuk. Sebusuk air dalam lubang najis!" Allahuakbar! Tidak sedarkah kalian manusia hati busuk inilah yang cuba memberikan perlindungan kepada kalian? Manusia hati busuk inilah yang memprovokasikan kalian (yang ada antaranya tidak layak langsung untuk menginap di asrama) hingga boleh tinggal selesa di rumah itu?? Manusia hati busuk inilah yang membela kalian kala disoal bertubi-tubi oleh Ketua Warden. Manusia hati busuk inilah yang menyimpan rahsia bahawa kalian itu penghuni haram! Tidakkah kalian sedar semua itu??

Saya rasa terhina apabila ahli rumah yang sepatutnya bersatu secara tiba-tiba berubah corak. Mereka lebih gembira membela manusia yang tidak 'sekapal' dan mereka lebih bangga menyembunyikan kebenaran dan menghebahkan kemungkaran. Ini masalah perkauman. Tidak elok saya bicara pada umum begini. Tidak pasal-pasal ada yang mengheret saya kemuka pengadilan demi mereka mendapatkan perhatian setelah kemungkaran terbongkar!

Saya dan Lia duduk berbincang. Kami perlu bertindak. Kami tidak mahu lagi digulingkan. Biarlah kami mengalah walaupun kami tidak salah. Hampir sebulan kami berusaha naik turun tangga menuju pejabat warden dan tebalkan muka hanya kerana ingin merayu untuk menduduki bilik asrama. Alhamdulillah. Doa kami dimakbulkan Tuhan. Kami akhirnya dapat menduduki bilik asrama yang baru dikosongkan kerana penghuni asal berhenti pengajian. Alhamdulilah. Syukur yang tidak terhingga atas rezeki kurniaan Tuhan itu. Namun begitu, asrama kami teramat jauh dari kuarters warden. Jadinya kami perlu mengangkut barang sedikit demi sedikit untuk melancarkan proses 'penghijrahan' itu kerana tiada tangan yang ringan untuk membantu. Tetapi kami diuji lagi! Tika mengangkut barang dengan bersusah payah menggunakan kudrat yang tidak seberapa ini (komplikasi lutut saya sedang hebat ketika ini), kami diejek seperti pesalah Juvana! Kami disorak kerana telah melangkah keluar dari rumah yang saya sendiri usahakan untuk mereka tinggal! Kami dipersendakan kerana mengangkut penyapu, beg, dan segala bagai barang sarat di kedua-dua tangan! Dimanakah nilai keperimanusiaan mereka?? Allahuakbar....

Hati saya menjadi sesejuk air batu. Saya benar-benar berpatah arang. Saya umpama baru kehilangan jiwa. Jiwa saya umpama kemalangan dan dilenyek lumat dengan treler! Lia mula menangis. Dia benar-benar rasa terhina kerana diantara kami semua, Lia yang paling senior. Mereka langsung tiada nilai hormat sesama insan.

Saban hari, telinga kami menjadi santapan nasihat dan kemarahan para pensyarah. Saya dan Lia dipersalahkan seratus peratus! Mereka hanya mendengar sebelah pihak! Kami langsung tiada hak untuk bersuara. Kaunselor membiarkan mereka bersikap biadap dan memalukan kami dihadapan orang ramai, namun tiap kali saya dan Lia ingin membuka mulut, kami pantas diherdik untuk tidak bersuara dan sekadar mendengar hinaan dan makian pihak sebelah sana. Saya hanya tersenyum. Begitukah sikap seorang kaunselor?? Setahu saya, seorang kaunselor akan menyembunyikan segala masalah orang. Setiap masalah itu adalah rahsia kaunselor dan pemiliknya sahaja! Saya langsung hilang nilai 'respect' kepada beliau. Terima kasih!

Dihadapan orang ramai juga, seorang insan yang 'terlalu hebat' bertanya saya :

"Kau tak puas hati ke kami lebih dari kau?"

Saya tersentak. Apa yang membuatkan saya tidak puas hati dan apa pula kelebihan DIA itu?? Setahu saya dan seluruh rakan-rakan kuliah, DIA terlalu 'lebih' dari saya. Saya tidak pernah ponteng kelas sesuka hati sepertinya. Saya tidak pernah mendedahkan aurat mahupun lalai menunaikan solat (itu adalah urusan DIA dan Tuhan. Saya tidak berhak untuk mempersoalnya. Tapi bila saya menerima asakan soalan seumpama itu, saya harus bersuara!). Saban semester, saya pasti mendaki tangga pentas dan mendakap hadiah 'PELAJAR CEMERLANG' sedangkan dia perlu menghabiskan cuti semester di dalam kampus ekoran mencukupkan jam kredit kerana menghadapi kegagalan dalam peperiksaan! Ya. Itulah 'kelebihan' dia yang nyata. Saya memang kurang segalanya.


*Bakal ada Episod 3*

Saturday, December 24, 2011

Tuhan Menguji Kita Kerana Dia Ingin Menghapuskan Dosa Kita : Epidod 1

Assalamualaikum..
Sepertimana yang saya janjikan dalam entry-entry lepas, hari ini saya telah bersedia sepenuhnya secara fizikal dan mental untuk berkongsi dengan anda serba sedikit tentang perjalanan kehidupan saya sewaktu menghadapi detik-detik terakhir menyandang gelaran sebagai seorang pelajar. Yang baik kita jadikan panduan, yang kurang baik, jadikan teladan..

Hari pertama mendaftar diri bagi permulaan semester akhir, saya sudah diuji. Jika dilihat menerusi laman web IPT, saya layak menduduki hostel buat julung-julung kalinya. Namun, sebaik ingin mendaftarkan diri, saya mendapati nama saya tiada dalam senarai. MasyaAllah! Saya bagai jatuh terhempap. Dimana saya akan tinggal? Macam mana saya nak study? Bagaimana saya nak buat group discussion? Dimana saya akan tidur setelah ayah bonda pulang nanti? Pelbagai persoalan mula menerjah otak saya yang kerdil ini. Kala melihat wajah ayah bonda yang setia menanti, mutiara jernih tidak mampu bertahan lagi. Saya menangis di situ! Saya amat kalah jika berhadapan situasi merumitkan seumpama itu. Pertanyaan yang bermain diminda saya, kenapa harus pihak pengurusan mendiamkan perkara itu? Sebaiknya beritahu saya (dan pelajar-pelajar yang senasib) tentang status semasa kami. Hebahan boleh dibuat dengan pelbagai cara. Zaman sudah canggih. Teknologi sudah terlampau moden. Saya redha. Mungkin ujian ini tidak sehebat mana. Ramai lagi hamba Allah di luar sana yang tidak punya tempat berlindung, hanya menumpang sepanjang hidup mereka. Malah ada yang saban malam tidur di jalanan! Mujur ada Nabila yang sudi menumpangkan saya dan Lia bermalam di biliknya pada malam pertama itu. Malam itu, tidur saya bertemankan air mata. Saya gusar memikirkan nasib saya pada esok hari. Sampai bila harus menumpang begini?

Syukur Alhamdulillah, di hari berikutnya, saya ditawarkan untuk menginap sementara di kediaman Warden Hostel. Rumah flat lima tingkat yang belum pernah didiami. Saya panjatkan syukur ke hadrat Ilahi, sekurang-kurangnya saya ada tempat berlindung untuk bulan-bulan terakhir itu walaupun keadaan di kediaman tersebut jauh kurang selesa berbanding dengan hostel sedia ada. Saya kongsikan 'rezeki' itu dengan rakan-rakan sekelas yang senasib dengan saya. Saya sangkakan kehidupan kami akan bertambah meriah bila tinggal 'sekapal' nanti. Kami boleh berkongsi pelbagai idea untuk menjana ilmu sesama sendiri. Namun, panas yang saya harapkan hingga ke petang, rupanya ribut petir di tengah hari. Sekali lagi saya jatuh terhempap! Allahuakbar. Saya dianiaya rakan serumah sendiri. Saya dituduh 'menggunakan' mereka untuk menginap di kediaman tersebut. Tidakkah mereka berfikir, jika saya tidak mengajak mereka tinggal bersama, dimana mereka akan tinggal? Saya tidak minta mereka menjulang saya, tidak juga memohon mereka berterima kasih kepada saya, cukuplah sekadar mereka tidak memburukkan saya. Hinggakan memaksa saya menapak kaki berjumpa dengan pegawai HEP, seorang insan yang tidak pernah saya mimpi untuk ketemu hanya kerana masalah disiplin yang tidak dicipta oleh saya sendiri. Mereka membuatkan rekod bersih saya bertukar warna. Hubungan dengan pensyarah juga mulai dingin. Pembelajaran saya mulai terganggu. Hidup saya kucar-kacir. Namun saya bersyukur, hubungan saya dengan Maha Pencipta bertambah intim. Saya tingkatkan ibadah. Al-Quran menjadi teman setia saya. Helaian bacaan ayat suci itu semakin bertambah saban hari.

Namun kali ini saya kuatkan hati. Tidak menangis lagi.

*Akan ada Episod 2..

Sunday, December 18, 2011

Syukur Masih Bernafas Hingga Tahun Ke-23 :)

"Selamat hari jadi sayang. Semoga cepat dapat kerja.."

Terharu disitu menerima ucapan Mr. T (walaupun terlewat sembilan minit) hehe
Ya. Hari ini 18 Disember 2011, genablah usia aku 23 tahun. Orang lain dah nak masuk 24 tahun, aku baru terhegeh-masuk 23 tahun.. Awet muda katakan. Awet muda la sangat.

Tepat pukul 12.00 tengah malam, tetiba ja akaun FB aku yang suam-suam kuku, menjadi panas berasap. Berduyun-duyun simbahan dan tempias ucapan demi ucapan menerjah. Henfon tidak mahalku pulak ber'BIPP-BIPP' tanpa henti. Berebut-rebut mesej masuk. Walaupun menerima ucapan klise saban tahun, tapi aku tersangat menghargainya. Aku terharu. Tersangat terharu. Tiada apa yang mampu aku katakan, melainkan melaungkan ucapan : "TERIMA KASIH SEMUA!!!" 


Hati aku yang kecik menjadi sebesar-besar padang bola bila terima ucapan demi ucapan selamat dari anda semua. Antara orang terawal yang mengucap selamat kepada aku ialah selebriti TV3 - Nizal Mohamad, Sepupuku Harith (tepat pukul 12.00 pulak tu. He should be reward!), Zahrah Zubaidah Omar Farukh Khan (rakan kelas aku di UiTM dulu), sepupuku Atikah dengan ucapan yang cukup menyentuh hati (kakak love you more Tikah), AYAH, Ainzzah, 'Kembar' ku Haniza (berikutan kami lahir pada tarikh dan tahun yang sama dan kami juga merupakan jiran bersebelah meja di sekolah dulu), Mak Teh, Fida, Nadia, Angah-angah sekalian.. Mmm ramai lagi laaaa...Nak senaraikan nama sorang-sorang yang bagi ucapan tu pun, kang penuh pulak page blog ni.. Sekali lagi aku nak ucapkan TERIMA KASIH!!! (lebih afdal kalau ikut nahu Alleycat..haha)

Hari ulang tahun kali ini masih sama seperti hari-hari biasa. Tiada acara potong kek secara besar-besaran.. Tiada hadiah walau sebesar syiling 5 sen. Sekadar dapat tiga slice kek Secret Recipe dari Mr. T, yang dah tinggal separuh slice sahaja :( Sekadar sambut seorang diri kesepian di teratak keluarga ini.. :(

Terima kasih untuk mak kerana melahirkan dan membesarkan saya.
Terima kasih kepada ayah yang bersusah payah membahagiakan hidup saya.
Terima kasih kepada MAK & AYAH.
Terima kasih kerana mengurniakan saya keluaga sebahagia ini..
Ok last but not least, potret terbaru dari Birthday Girl yang tersenyum dalam kepenatan..Sila abaikan wajah yang kurang kegebuan dek kerana kehabisan bedak Silky Girl..huahuahua
Ok. Bye! 
Birthday pun dah nak expired ni ;p

Wednesday, December 14, 2011

Kad Kahwin oh Kad Kahwin..

Assalamualaikum..
Hari-hari kerja aku sekarang makan dan tidur aje. Langsung tak keluar rumah melainkan keluar menyapu kat halaman rumah ataupun angkat jemuran di ampaian. "Eni,,angkat jemuran. Hujan turun.." saja aku pinjam dialog Pendekar Mustar dalam drama Pendekar Bujang Lapok..haha

Memandangkan aku kini menyandang gelaran Penganggur Terhormat, since date pun dah comfirm, jadi aku pun mula google contoh-contoh kad kahwin. Mood nak kahwin tu mula menyerang sampai miang-miang badan ni ha. Beraneka macam aku jumpa. Ada yang bentuk hati, bentuk bulat, dan bentuk tiga segi pun ada. Aku pun naik pening nak pilih design yang mana satu. Aku dah lantik kawan baik aku Cik Puan Munyati untuk buat kad kahwin aku. Ada banyak juga kad kahwin yang cik puan tu design. Jadi haritu sebelum cik puan suami isteri berangkat ke United Kingdom, ada la depa bawak kat aku contoh-contoh kad. Apa ja yang cantik di mata cik puan tu, selalunya cantik di mata aku. Jadi terpulang kat cik puan lah yek nak design macam mana pun. Yang penting harga berbaloi..hehe

Tapi ikutkan hati, aku sekadar nak pilih kad yang print atas kertas A4 tu ja! Jimat duit. Buat yang grand dan bagi kat orang pun bukan depa nak simpan dalam frame buat kenangan, ye tak? Aku sendiri pun kalau dapat kad kahwin sesapa tak ada maknanya aku nak simpan buat kenangan. Jadi aku assume tak ada orang jugak yang akan simpan kad kahwin aku nanti. Sebab aku rasa bila nak buat kad, memang perlu kekalkan semangat Haji Bakhil dalam diri sebab bagi aku banyak lagi benda lain yang perlu diberi perhatian melebihi sekeping kad! Lagipun jemputan cuma nak tengok bila majlis berlangsung ja, ada map, ada nombor telepon tuan rumah, cukuplah.

Aku paling tak berkenan kalau dapat kad yang pamer gambar kedua-dua 'maple'. Apasal kau tak suka? Sekurang-kurangnya orang tau sapa pengantinnya. Ya! aku memang tak suka! Titik! Sebabnya aku rasa dah tak surprise kalau orang dah tengok pengantin. Pengantin kan individu dikehendaki di setiap majlis kahwin. Paling-paling aku sakit mata bila dekat kad kahwin tu pasangan 'maple' ni bergambar bagai nak rak, macam dah halal ja. Kalau yang nikah awal tu dimaafkanlah. Tapi kalau yang belum nikah masa kad tu dicetak, apa cerita tu?? Kang tak pasal-pasal ja berbakul dosa aku umpat korang posing maut kat kad kahwin.

"Class apa buat kad kawen ada gambar pengantin." Kau hado duit lobih, ekau buek lah. Aku memang kodokut. Aku tak cukup duit nak buat kenduri, ado kau bantu? Hampeh.

Tapi dari sisi positifnya, aku rasa bila buat kad kawen yang ada gambar pengantin, akan mengurangkan risiko tersilap masuk rumah kenduri. Nak-nak time cuti sekolah macam lani, berduyun-duyun orang buat bekwoh! Kang tetiba ja dah kenyang tambah nasi sampai 4 pinggan, sekali baru kau perasan kau tersilap rumah kenduri, sembunyi kepala dalam badan ja la jawabnya. Malu babe!

Mari-mari jamu mata kad kawen yang menarik minat aku. Mana-mana yang korang rasa cantik, bagitau aku hokay. Semua ni kad kawen dari Kedai Printing milik Puan Munyati dan suami.. (klik untuk melawat kedai tersebut)

Nampak classic kan kad-kad di atas?




Eh apesal tetiba ja aku nampak kad yang ada gambar pengantin ni macam cantik pulak?? heheh :p

Friday, December 9, 2011

Baru Kini Aku Tahu Aku Kental..

Halo-halo.. Tengah aku leka dok buat ulang tayang bacaan Lafazkan Kalimah Cintamu, karya Siti Rosmizah sambil membayangkan Adi Putra sebagai Tengku Ryan Amer, dan udah tentu akulah Tengku Aqilah..

Tetiba.....




"Kakak !!! Mai tolong mak bancuh simen sat!!"

Jeritan nyaring Mem Besar menampar gegendang telingaku. Lenyap terus anganan adegan cinta Ku Ryan dan Qila.

"Apa dia mak??", tanyaku kembali, inginkan kepastian bentuk pertolongan yang mak harapkan.

"Mai tolong mak bancuh simen!"

Hah?? What?? Aduss rasa macam nak pengsan! Tak pernah-pernah aku buat kerja yang menjadi kelaziman kaum Adam itu. Buk! Aku terduduk di atas tilam yang empuk. Nasib empuk tau.. Jemari separa runcingku mula menggaru-garu telinga yang gatal . Sambil-sambil tu aku tilik-tilik jari-jemari separa runcingku ini yang ala-ala ayu-ayu manja gitu. Boleh ke ni? Konfius dengan diri sendiri.

"Kakak!! Mai cepat!!"

Mencicit aku berlari ke arah dari mana datangnya suara Mem Besar bergema. Agak terhuyung-hayang kerana perlu mengimbangi badan yang sudah kurang ringan ini :p

Lalu.. bermulalah 'kerjaya' aku sebagai pembuat tebing parking kereta.. Menurut mak, bila hujan menjenguk, air akan melimpah sampai dalam porch hingga menjadikan lantai tempat itu berlumut dan hodoh. Atas dasar itulah khidmat aku diperlukan.. Aku pun mula tolong mak bancuh simen. Penat jugak, tapi ok la.. Sampai naik merah tangan aku. Mana taknya, selama ni tau pegang pen ja, harini aku kena pegang batang cangkul yang 10 kali ganda besar dari pen. Setiap kali hayun cangkul, terasa badan aku skali melayang ke dalam timbunan pasir dan simen.. haha Lepas simen sebati dengan pasir, aku angkut benda alah tu pi dekat dengan porch dan mulakan membentuk tebing.

Ceh! Aku ingatkan susah sangat kerja ni. Ala macam sapu krim atas kek ja! Kelas kau Maria.. Kenapa la mak tak cakap awal-awal. Naik lenguh pinggang aku buat tebing sekeliling porch tu.. Dan hasilnya....




Jangan kau mimpi Cik Jah! Tak ada maknanya aku nak snap gambar time aku tengah tekun buat kerja tu.. Dengan muka berpeluh, tangan kotor, aku lupa terus pada camera.

Nak cerita sikit ja, tapi sengaja aku buat intro panjang lebar. Over tau..heheh
Jadi, rumusan untuk pembelajaran hari ini adalah :

Aku dah pandai bancuh simen. Lepas ni kalau sapa-sapa yang perlukan khidmat aku untuk bancuh simen ke, buat rumah ke, dan segalanya tentang simen bolehlah terus hubungi aku di talian 018 tekan-tekan terus dapat kedai papan.. kuang..kuang..kuang..

Mr. T tersayang,
Kehebatan saya tak boleh disangkal lagi. Saya dah pandai bancuh simen dan lebih hebat dari awak. Nanti kalau rumah kita retak kena gigit tikur, saya dah boleh baiki sendiri. Wah bertuahnya awak dapat calon isteri mithali macam saya tau !


Sekali sekala kenalah masuk dalam buaian dan hayun sendiri :O

Ok. Bye!

Tuesday, November 29, 2011

Adik Dah Konvo, Kakaknya Bila Lagi?

Assalamualaikum..
Alkisahnya, sedang saya bergelut dengan final segala bagai, mak, ayah, dan adik dengan penuh suka sukinya boleh pi melancong ke Ganu Kite.. Hadoiiii... Bikin panas betul.. Penuh kejelesan melanda sanubari ini.. Mereka pergi tanpa saya. Saja ber'touching' lebih. hehe Sebab musabab utamanya depa ni adalah kerana nak meraikan adik saya sempena Majlis Konvokesyen Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP).
Tambah-tambah panas hati bila ada ja orang akan ulang-ulang tanya soalan klise :

"Adik dah konvo. Kakaknya kenapa tak konvo-konvo lagi?"

Aduhaiii...
Sabar ye makcik-makcik, pakcik-pakcik sekalian. Nanti kakaknya dah konvo, satu Malaya akan tahu!
Tengok ni ha, mereka ambik kesempatan di atas ketiadaan saya. Siap melukis kat pantai segala.
Waaaa nak nangis ja rasa bila tengok gambar penyu ni..
Tapi mereka tetap tidak melupakan saya. Nama saya diukir besar-besaran dan Pantai Batu Rakit jadi saksinya. Sungguh terharu :'(

Adik pun selamat berkonvo dengan jayanya. Tahniah buat adikku.. Selamat maju jaya. Semoga kejayaan terus mengiringimu..
~Ayah & Adik~
~Mak & Adik~
~Adik & Ikhwan : Si Pelajar Cemerlang~
~Tahniah buat anda semua~
~Mak, Adik & Ayah~


Saturday, November 12, 2011

9 Jenis Anak Syaitan

Assalamualaikum..
Sudah tertunaikah solah Asar kalian. Harini saya nk kongsikan satu info berkenaan 'Jenis Anak Syaitan'.. Info ni saya dapat daripada link yang seorang sahabat bagi.. Renung-renungkan..

**********************************************************************************

Umar al-Khattab r. a berkata, terdapat 9 jenis anak syaitan :

1. Zalituun
Duduk di pasar/kedai supaya manusia hilang sifat jimat cermat.Menggoda supaya manusia berbelanja lebih dan membeli barang-barang yang tidak perlu.

2. Wathiin
Pergi kepada orang yang mendapat musibah supaya bersangka buruk terhadap Allah.

3. A’awan
Menghasut sultan/raja/pemerintah supaya tidak mendekati rakyat. Seronok dengan kedudukan/kekayaan hingga terabai kebajikan rakyat dan tidak mahu mendengar nasihat para ulama.

4. Haffaf
Berkawan baik dengan kaki botol. Suka menghampiri orang yang berada di tempat-tempat maksiat (contoh: disko, kelab malam & tempat yang ada minuman keras).

5. Murrah
Merosakkan dan melalaikan ahli dan orang yang sukakan muzik sehingga lupa kepada Allah. Mereka ini tenggelam dalam keseronokan dan glamour lain-lain.

6. Masuud
Duduk di bibir mulut manusia supaya melahirkan fitnah, gosip, umpatan dan apa sahaja penyakit yang mula dari kata-kata mulut.

7. Daasim
Duduk di pintu rumah kita. Jika tidak memberi salam ketika masuk ke rumah, Daasim akan bertindak agar berlaku keruntuhan rumah tangga (suami isteri bercerai-berai, suami bertindak ganas, memukul isteri, isteri hilang pertimbangan menuntut cerai, anak-anak didera dan pelbagai bentuk kemusnahan rumahtangga lagi).

8. Walahaan
Menimbulkan rasa was-was dalam diri manusia khususnya ketika berwuduk dan solat dan menjejaskan ibadat-ibadat kita yang lain.

9. Lakhuus
Merupakan sahabat orang Majusi yang menyembah api/matahari

Mana satu jenis anak syaitan yang sering mengganggu anda ? Adakah jenis Walahaan iaitu was-was untuk menyebarkan maklumat ini ?

Wallahua'lam..

Friday, November 11, 2011

Putus Sudah Hubungan Kasih Sayang..

11 Februari 2010..

Satu tarikh yang tidak mungkin akan saya lupakan sampai kapan pun.. Secara tiba-tiba DIA pergi meninggalkan dunia nyata. Saya kelam tanpa cahaya bagai layang-layang terputus talinya kelu tidak mampu berbicara. Saya benar-benar kehilangan punca.

Seminggu sebelum khabar duka itu singgah ke telinga, tidur saya tidak lena. Jantung kecil ini berdegup kencang tanpa hentinya. Saya kegelisahan tidak keruan. Saya tertanya-tanya sendirian kenapa dan mengapa berkeadaan sedemikian. Tapi persoalan itu terbang tanpa menemui noktahnya. Saya buntu mencari jawapan. Rupa-rupanya saya alpa. Saya alpa bahawa Tuhan sentiasa berpegang pada janji-Nya !

Tidak terjangkau dek akal saya bahawa itu adalah petanda jasadnya bakal berpisah dari nyawa. Langsung saya tidak pernah menyangka saya akan kehilangan DIA buat selama-lamanya. Tiada siapa akan menyangka, tanpa sakit yang berbahaya, kala kudratnya masih terus gagah mengasuh keturunan-keturunannya, masih sporting melayan setiap butir bicara saya, masih bersuara merdu mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dan berzanji di majlis-majlis keramaian, di suatu Subuh yang hening itu dia pergi menghadap Pencipta.

Kenapa DIA berbohong?? DIA berjanji untuk tersenyum di hari perkahwinan saya. DIA berjanji untuk mendodoikan cicit-cicitnya. Kenapa harus DIA berbohong??

Sejujurnya, hubungan saya dan DIA tersangat akrab. Saya terlalu dimanja sehinggakan pernah satu ketika saya naik lemak. Saya ditatang bagai minyak yang penuh. DIA seorang yang garang, tetapi bersama saya garangnya itu seakan hilang.

Tika kain kafan membaluti tubuhnya sehelai demi sehelai, saya tabahkan hati. Buktinya tiada setitis pun air mata yang menitis. Namun di dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Saya kucup dahinya untuk kali terakhir. Entah bila lagi dahi itu dapat saya kucup.


Saya rindu... Rindu dengan usapannya. Rindu dengan tutur bicaranya. Rindu dengan kemesraannya. Semoga DIA tenang 'berehat' di  sana.

~arwah nenda berbaju biru~

~Al-Fatihah buat arwah Nenda Saadiah bt Salleh.
4 Ogos 1944 - 11 Februari 2010~

Saturday, November 5, 2011

Mana Gambar Berdua??

Ramai yang berulang-ulang kali bertanya saya soalan yang sama,
"Mana gambar berdua??"

'Berdua' dalam erti kata lain, gambar saya berdua-duaan bersama dengan Mr. T. Acap kali pula saya bertanya diri sendiri, "Untuk apa mereka bertanya?"

Apakah diatas sekeping gambar yang ada wajah kita bersama pasangan itu dapat menunjukkan nilai cinta sejati?

Sebetulnya saya amat malu untuk mempamerkan foto kami berdua untuk tatapan umum sebelum tiba masanya. Saya juga menjadi malu sendiri setiap kali terlihat foto 'mesra' pasangan yang lain. Tidak perlulah menunjukkan gambar yang tidak sepatutnya kepada umum kononnya andalah pasangan terhebat dan paling bahagia abad ini.

Tak dinafikan kami adalah pasangan yang paling kurang bergambar berdua. Ruang kesempatan berjumpa selalunya diisi dengan melakukan perkara-perkara berfaedah dan ternyata dalam agenda kami tidak ada langsung agenda khusus untuk 'mempotretkan wajah'. Mr. T amat liat kala diajak bergambar. Bohonglah kalau saya katakan kami tiada langsung gambar berdua. Ada. Tapi cukuplah untuk simpanan peribadi dan saya tidak akan sekali-kali 'mempromosi' gambar-gambar itu untuk tontonan umum jika sekadar menagih pujian demi pujian daripada khalayak yang mengatakan "Wah. Pasangan yang sepadan." Bukan pujian seperti itu yang saya dambakan.

Untuk Mr. T,

Selamat Ulang Tahun Yang Ke-25.
Semoga terus dilimpahkan rezeki yang berlipat kali ganda dan terus dikurniakan kesihatan yang berpanjangan.

Thursday, October 27, 2011

Aku Ratu Telenovela & Siri Korea :)

Assalamualaikum..
Entah angin apa tetiba ja aku teringat cerita-cerita TV yang membuatkan aku 'ketagih' untuk menonton suatu ketika dulu.. Dulunya aku seorang peminat tegar telenovela Venezuela.. Sampaikan setiap hari, aku akan terpaku depan peti TV kat ruang tamu rumah aku dengan memegang sekeping kertas kosong dan sebatang pen. Ada sapa-sapa tau tujuan aku menonton sambil pegang pen dan kertas??

Tapi sebelum aku bagitau tujuannya, tolong jangan ketawa ok! :p

Aku akan menyalin setiap butir perkataan yang dituturkan oleh pelakon-pelakon telenovela tersebut! :) Sampaikan aku mampu menguasai agak banyak perkataan Venezuela..haha Seingat aku, zaman tu rangkaian TV NTV7 ja yang ada siarkan telenovela negara Brazil yang bermula dengan siri Maria Mercedes. Tapi oleh kerana rumah aku tak dapat lagi siaran NTV7 masa tu, jadi aku tak kenal pun siapa yang dinamakan Maria Mercedes tu. Hinggalah siri Maria Mercedes tamat, barulah tv kat rumah aku dapat siaran NTV7.. Maka bermulalah 'kegilaan' aku terhadap rangkaian telenovela Venezuela yang tiada tandingannya.  Seingat aku, masa tu aku baru darjah 4 sampai agak mengabaikan pelajaran dan aku sekadar dapat 3A 2B masa ambil UPSR.. :(

Ha ni la telenovela pertama yang buatkan aku 'terkahwin' dengan tv masa tu. La Usurpadora. Aku pasti ramai yang masih ingat dengan siri ni, kan? Siri yang panjang dan adakalanya meleret-leret entah apa-apa. La Usurpadora yang bermaksud 'Penyamaran' ni mengisahkan sepasang kembar yang terpisah, tak lain tak bukan Paula Bracho dan Paulina Martinez. Sapa yang menyamar? Sudah semestinya Paulina yang baik hati tu menyamar jadi Paula yang kejam. Satu siri pun aku tak tinggal tau. Watak pasangan kembar ni dijayakan dengan berkesan oleh bekas ratu cantik Venezuela iaitu Gabriella Spanic. Kaji punya kaji rupa-rupanya si 'Paula' ni memang ada kembar real punya. Nama kembar dia Daniella. Jadi aku pun terkonfius sama ada yang berlakon dalam siri ni Gabriella pegang dua watak ataupun memang kedua-duanya berlakon. Anda fikir?

Rosalinda ayamor! Ayamor!
Lepas La Usurpadora tamat, stesen-stesen TV kat Malaysia pun mula 'berperang' siarkan telenovela-telenovela yang meleret-leret bagai ni. Siri Rosalinda ni pula ditayangkan di TV3. Masa ni aku tingkatan 3 dan tengah bergelut dengan segala tusyen dan kelas tambahan kat sekolah. Tapi dek kerana penangan telenovela yang mengisahkan cinta orang kaya dengan orang susah ni, aku pun tiap-tiap hari lambat pi tusyen. Rosalinda ni jual bunga. Memang susah dan terseksa hidup dia. Nasib dia berubah lepas kahwin dengan Fernando Jose, anak orang kaya yang romantik. Tapi dah dapat laki kaya, mak mentua pula kejam. Sampaikan wanita jual bunga ni jadi gila sebab perbuatan mak mentua dia. Standard la tu kan. Realiti kehidupan pun macam tu, tak semuanya indah. Masa tu aku selalu terfikir kalaulah mak mentua aku nanti kejam macam tu, kes aniaya tu. (Alhamdulilah, bakal mak mentua aku tersangat-sangat lembut orangnya..Sayangggggg mak :) )


Hokay yang ni pula siri air mata. Tiap-tiap hari wajib air mata aku tumpah sia-sia dan tak semena-mena sebab kesiankan si Eun Soh. Masa ni tahun 2001. Aku baru tingkatan 1. Drama air mata ni berkisarkan kisah dua orang 'adik beradik' yang jatuh cinta. Masing-masing saling mencintai. Tapi dugaan cinta depa ni maha dasyat. Macam-macam dugaan melanda. Tengah dok bahagia ja, time tu juga la si Eun Soh tu kena sakit barah. Jun Sang yang setia tu jaga dia sampai akhir hayat. Kesudahannya Jun Sang pun turut terkorban, bunuh diri sebab Eun Soh meninggal. Tragis kan kisah cinta dua-dua insan ini.. :( Aku pun mula berangan-angan Mat Jenin nak cari husband ala-ala hero Korea gitu. Aku cukup jatuh cinta dengan hero kedua dalam siri ni, Won Bin. Tengok gambar kat atas tu, hero yang berdiri sorang-sorang tu la cinta hati aku pada masa tu..heheh :p  Penangan AUTUMN IN MY HEART buatkan aku terawang-awangan. Sejak taksub dengan siri air mata ni, aku jadi fanatik dengan negara sejuk tersebut. Hari-hari dok berangan nak ke Korea :) Cuma yang tak bestnya, siri ini ditayangkan tengah-tengah Maghrib. Jadinya setiap hari tengah-tengah dok feeling and touching tu Ayahanda akan Azan kuat-kuat. Tandanya nak suruh lekas-lekas tunaikan ibadah Maghrib :)
Ada sapa-sapa kenal dengan wajah dalam gambar di atas ni? Ok, bagi yang tak begitu familiar, ni adalah poster untuk drama bersiri Thailand kat TV2 masa tahun 2005. Aku dah tingkatan 5 masa ni. Tajuk drama ni THE PRINCESS. Drama ni pun tak kurang babak air matanya. Kisah seorang anggota tentera yang bertugas mengawal keamanan negara dan terikat dengan tanggungjawab untuk menjaga keselamatan raja. Dalam masa yang sama tentera tu terjatuh cinta dekat anak raja, Puteri Dala Kumari. Mereka bercinta secara curi-curi kerana takut raja akan murka. Cinta terlarang dan banyak pengorbanan perasaan. Bila raja dapat tau kedua-duanya bercinta, tentera tu pun dihukum bunuh. Sob..sob..sob..  :(((
Last but not least.. MY GIRL :)) Ha ni la satu-satunya siri Korea yang buatkan aku gelak guling-guling sepanjang masa!!  Ni cerita pasal seorang gadis yang bernama You Rin terpaksa berlakon jadi adik sepupu kepada seorang pengurus hotel terkemuka, Seol Gong Chan. Dalam masa mereka berlakon tu, masing-masing memendam perasaan. Gong Chan pun mula melupakan kekasih dia yang suka mengongkong dan penyibuk tu. (Teori aku, perempuan ni bukan penyibuk, tapi takut kehilangan). You Rin pula sangat-sangatlah cerdik. Otak dia benar-benar geliga hinggakan Seol Gong Chan yang serius tu boleh tersenyum-senyum sorang-sorang bila teringatkan gelagat gila-gila You Rin.. Setiap kali Gong Chan senyum, aku pun tersengih-sengih macam siput sedut, berangan dia senyum kat aku! haha Sekali lagi aku jatuh cinta dengan hero Korea...

p/s : Aku mengimpikan untuk bercuti ke Korea satu hari nanti. Akan tertunaikah?? Kata Mr. T, mulakan menabung! Wassalam..

Monday, October 24, 2011

Anugerah Cemerlang Lagi :))

Assalamualaikum Syemua :))))
Udah sarapan ke kalian semua? Hujan renyai-renyai sejak semalam lagi. Di saat-saat akhir pula, pensyarah call saya, "Kelas batal ye".
Saya terus bagi jawapan hipokrik kepada pensyarah tersebut, "Ala..ya ka...."
Cuba bagi jawapan menyatakan kekecewaan di atas pembatalan kelas terbabit..hehe Padahalnya rasa macam nak lompat-lompat setinggi meja (tinggi tu ja la yang termampu lompat pun).. Dalam hati pulak Tuhan saja yang tau, berulang kali dok ucap ALHAMDULILAH :))) Memang dari pagi tadi nak bangun rasa malas tersangat-sangat. Haih apa la nak jadi, FINAL dah dekat oiiiiii.....

Lupakan seketika perihal final, test, quiz, assigment, dan segalanya. Meh sini nak story sikit. Kira cerita terbaru, terhangat lagi nih. Alkisahnya minggu lalu bersamaan dengan hari Rabu, 19 Oktober 2011, sekali lagi 'fakulti' saya mengadakan Majlis Penyampaian Anugerah Cemerlang. Alhamdulilah, untuk semester lepas sekali lagi saya memperolehi pointer yang melayakkan saya untuk naik ke pentas terima hadiah cemerlang sekali lagi. Cumanya, pointer semester lepas sedikit merosot berbanding dengan pointer sebelum ini.. :(

Sebelum nak naik pentas, semestinya aktiviti mencari baju baru perlu didahulukan. Hari glamour katakan. So, pastinya Mr. T menjadi bodyguard saya ke hulu ke hilir mencari baju yang sesuai. Dari satu kedai ke satu kedai, semua kedai yang jual baju pasti kami akan jelajah hingga ke hujung pelosok. Namun satu pun tak berkenan di hati. Mahu tidak mahu, dipaksanya saya membuat pilihan dan sebelum balik saya wajib beli sepasang baju. Sebabnya, beliau tidak mahu saya menjelajah seorang diri. Hasilnya, dapatlah sepasang jubah moden berwarna HIJAU! Warna yang paling tidak DIGEMARI oleh Mr. T.. :))

Amacam? Cantik tak baju baru I ?

Perjalanan majlis bermula seawal 8.30 pagi. Agak berdebar-debar menanti masa untuk mendaki tangga pentas utama kerana hari ini saya dikehendaki mendeklamasikan sebuah sajak yang dicipta khas untuk majlis ini. Persembahan dibuat sebagai menghormati permintaan salah seorang pensyarah saya, Puan Sal.
Harap maaf diatas ketidakjelasan gambar ;p
Selesai mendeklamasikan sajak selunak mungkin, belum habis meniti tangga pentas, pasangan MC terus mengumumkan agenda penyampaian hadiah yang memaksa saya berlari-lari emak mengelilingi pentas. Fuh kus semangat. Dengan sakit di bahagian lutut yang terus menyengat bersama heels runcing 3 inci, syukur saya tidak jadi 'nangka busuk' dipertengahan larian dan anugerah tersebut selamat dalam pelukan.

Hummmm kata orang, sekeping gambar mampu menceritakan segalanya. Jadi kali ni, biarlah gambar bercerita pula. Tetiba ja idea lari bersepah..heheh

Ini classmate yang merangkap roomate saya. Harus snap gambar dengan anugerah.
~Santapan kami di hari tersebut. Nasi + ayam = Not bad. Tapi kari = Hangit~
~Trio kami yang tak cukup korum~

Puan Sal = Berbaju Ungu :)
Dikesempatan ini, saya ingin menyatakan berjuta-juta terima kasih kepada semua guru dan pensyarah yang pernah mengajar saya selama ini. Tanpa kalian, saya tidak mungkin akan naik pentas lagi.

Buat Bonda dan Ayahanda, terima kasih yang tak terhingga. Pengorbanan kalian tidak ternilai. Segalanya dikorbankan untuk anakmu ini tanpa mengira masa, wang ringgit mahupun tenaga.

Buat En. Fais aka Datuk Bandar, kata-kata semangat darimu meresapi sanubariku...

Saturday, October 15, 2011

Program Anak Angkat Di Hujung Minggu

Assalamualaikum..
Wah begitu cepat masa berlalu hingga tanpa sedar dah hampir sebulan blog daku ini bersawang tanpa penghuni..
Ya Ampun..
Bukan tak ada berita, ceritera, mahupun catatan duka.. Ada sebenarnya, tapi sekadar tersenyum malu tak ter'publish'.. :p Tambahan pula, line internet di IPT saya tersangatlah tidak bermaya.. :(
Apatah lagi, saya kini di akhir-akhir hayat pengajian semester akhir. Makanya, masa untuk diri sendiri tersangatlah terhad. Kelas, tutorial, quiz, test, presentation, replacement class, dan berbagai lagi. Nikmatnya belajar..

Minggu lalu, saya berkesempatan mengikuti satu program 'anak angkat' di Kampung Charuk Semeliang, Baling, Kedah. Dalam kekalutan, saya penuhi juga hasrat seorang rakan sementelah sudah sekian lama saya berjanji untuk menyertai 'program' ini. 'Program' 4 hari 3 malam itu telah mencatatkan satu lagi momen terindah dalam catatan perjalanan kehidupan saya sebagai khalifah di muka bumi Allah ini. Siapa sangka, dunia ini tidak sekecil mana. Di sana saya telah temui salah seorang guru saya yang sudah lebih dari sepuluh tahun tidak ketemu. Yang mengharukan saya, Ustazah masih mengenali saya dan masih mengingati maklumat diri saya secara terperinci !! :)

usatazah (berbaju purple muda) bersama ibu 'angkat' saya
Saya mengikuti 'percutian' dalam dusun ini bersama-sama dengan rakan sebilik saya. Bermacam-macam andaian bermain di fikiran kami dalam perjalanan ke sana. Kami berdua sama saja, tak betah tinggal di rumah orang lama-lama! Namun sangkaan kami meleset sama sekali. Masa kami sampai sana, sambutannya amat menggalakkan. Ibu dan bapa 'angkat' kami mesra sungguh. Ramah-tamah semuanya.

Suasana sekeliling rumah keluarga 'angkat' saya ini mengingatkan saya kepada kampung bonda di Merbok, Kedah. Suasana rumah yang dikelilingi tumbuh-tumbuhan dan jarak antara satu rumah ke satu rumah yang lain amatlah berdekatan. Paling saya teruja, di sini airnya dingin sekali. Saya sebenarnya terlalu merindui air dingin sebegitu untuk membasahkan muka dan badan. Masakan tidak, saya juga dibesarkan di daerah terpencil suatu ketika dahulu. Saya bangga menyatakan saya dibesarkan dan mendapat pendidikan di daerah SIK. Satu daerah terpencil di negeri Kedah. Bila berada di rumah keluarga 'angkat' ini, saya gembira sekali kerana rindu saya terhadap masa lalu terubat.
Ini halaman rumah keluarga 'angkat' saya. Hijau mata memandang. Serius, hati ini terasa sayu. Saya benar-benar rindukan suasana tempat saya dibesarkan dahulu. Saling tak tumpah dengan suasana seperti gambar di atas.

Keesokkan harinya, 'keluarga angkat' kami mengadakan majlis pertunangan anak mereka, yang merangkap budak kelas saya sendiri..hehe Sebenarnya tujuan utama kami mengikuti 'program' ini adalah untuk meraikan majlis pertunangan Ishqi. Saya memang dah janji nak hadiri majlis pertunangan dia. Saya juga dah buat hantaran ringkas khas buat Ishqi. Hantaran yang dicedok ideanya dari hantaran pertunangan saya tempoh hari. Apa-apapun sekalung ucapan tahniah buat Ishqi dan pasangan. Paling penting, saya juga telah 'bertunang' buat kali kedua..

Tunang buat kali kedua??

Jangan salah faham, tunangan saya tetap SATU. Cuma, hari tersebut saya mengenakan baju pertunangan saya dahulu :) Hinggakan saya kelihatan over berbanding orang yang sepatutnya. Maafkan daku tuan majlis kedaung sekalian..

Ha yang berbaju kuning dan berdiri di tengah-tengah itulah yang sebenar-benarnya ditunangkan hari tersebut. Amacam cantik tak? Alhamdulilah, selepas Nadia, Ishqi pula mengikut jejak saya ke alam pertunangan. Semoga jodoh kami bersama pasangan masing-masing terus berkekalan hendak-Nya.

Tiba hari terakhir, iaitu hari di mana saya dikehendaki meninggalkan mereka, satu perasaan halus menyelubungi diri. Terasa berat langkah kaki ini. Mereka mesra seperti keluarga sendiri. Seperti biasa saya rakamkan setiap wajah mereka di lensa kamera tidak murah saya.
Jumpa lagi semua. Perut tengah berdondang sayang ni :p
Wassalam..

Sunday, September 18, 2011

Kucupan Terakhir Buat Pak Su (2)

Assalamualaikum..

Seperti yang saya janjikan, saya sambung entry Kucupan Terakhir Buat Pak Su ini.. Meskipun kelewatan, saya gagahi jua memetik satu-persatu papan kekunci demi memastikan entry ini sempurna dan pembacaan kalian tidak tergendala dan dipenuhi tanda tanya. Seperti kebiasaan, masa tidak pernah memberi ruang kepada saya. Tambahan pula, lewat masa ini, saya diuji oleh Tuhan tanpa hentinya hingga membuatkan saya hampir berputus asa. Astagfirullahalazim.. Nantilah, saya akan ceritakan satu hari nanti apa yang terjadi kepada saya lewat masa ini. Biarlah kes ini selesai hingga kebenaran benar-benar terbukti. Saya redha dengan setiap ujian dan dugaan yang menghampiri dan meresapi ini. Saya tahu Allah sentiasa mendengar dan menerima doa orang yang teraniaya seperti saya.

*******************************************************************

30 Julai 2011 : Hai ini saya tidak melawat Pak Su. Mementingkan diri mungkin. Fikir saya, semalam sudah melawat dan keadaan Pak Su stabil. Alah, sekejap lagi pindah wad biasa la tu. Jahatnya fikiran saya. Atas alasan itu jugalah saya menolak dengan baik pelawaan Mak Teh untuk ke hospital. Saya tinggal di rumah bersama bonda. Setelah matahari terbenam, seluruh keluarga pulang. Kata mereka Pak Su nampak teruk berbanding semalam (hari saya melawat Pak Su bersama Mr. T). Air minuman yang disediakan Pak Su suruh tuangkan ke dalam singki. Sememangnya dia tidak mahu. Hanis mula menunjukkan riak malas untuk menunggu di hadapan Wad CCU malam itu, tidak diketahui sebabnya. Penat barangkali kerana setiap malam dia sahaja yang menunggu keseorangan di sana dalam kesejukan dan kepayahan tanpa tilam dan bantal empuk untuk merehatkan badan.

Malam itu, entah mengapa sukar sungguh mata untuk dilelapkan sedangkan hampir 120 minit saya berada di atas pembaringan. Puas saya pusing ke kiri dan ke kanan. Sementelah Putera Nyamuk sekalian dengan tidak semena-mena berperang di kaki dan telinga saya waktu itu. Jam kian menghampiri 1.00 pagi. Namun bebola mata saya masih bulat dan segar, tiada tanda-tanda mahu terpejam. Seluruh isi rumah sudah lena dibuai mimpi. Ada yang tertidur kepenatan, dan ada yang tertidur dalam ketidakselesaan. Kecuali adik sepupu saya, Hakim, yang masih setia di depan kaca TV. Saya bangun, memetik plug dan memasang laptop. Saya segera menjenguk ruangan muka buku dan menyemak kotak emel. Namun tiada yang berkepentingan. Lantas saya mencapai henfon Samsung di sisi, cuba mengganggu tidur Mr. T, dengan harapan beliau terjaga dan rela melayan kerenah saya di pagi-pagi buta begitu. Namun saya hampa, tiada balasan mahupun sebarang jawapan dari beliau. Ternyata beliau tidur dalam kepulasan. Saya kembali ke pembaringan dan cuba memujuk mata supaya lekas terpejam. Saya tidak mahu kehilangan nikmat tidur. Badan saya benar-benar sudah penat. Waktu itu, jarum jam sudahpun pukul 1.45 pagi. Betapa degilnya sang mata, tidak mahu terpejam walau sedetik. Namun, setelah dipujuk, sang mata tewas juga. Saya terlelap.

2.00 pagi : Bonda mengejutkan ayah dari tidur.

"Bangun, pihak hospital telefon. Depa suruh waris pi hospital"

Saya turut terjaga. Jantung saya mula berdedup kencang. Suasana rumah yang lebih sesak dari tin sardin sudah terang benderang. Saya termanggu sendirian. Kepala mula pusing dek kerana tidur yang tidak sampai beberapa minit. Persoalan demi persoalan mula memenuhi ruang akal fikiran saya. Atas dasar apa pihak hospital menelofon awal pagi begini, melainkan yang membabitkan kematian? Saya meraup muka berkali. Janganlah ada yang tidak baik berlaku kepada Pak Su tika ini, doa saya di dalam hati.

Bonda kejutkan pula Mak Teh dan Pak Teh yang tidur di ruang tamu, mengkhabarkan berita yang sama. Tergesa-gesa mereka bangun dan terus ke hospital membawa Mak Tok yang kerisauan. Saya menghantar mereka ke muka pintu dan kembali ke pembaringan. Sekali lagi saya mengganggu Mr. T, mengkhabarkan betapa jantung saya berdegup kencang waktu itu dan saya tahu ada sesuatu yang tidak baik bakal berlaku. Sekali lagi SMS saya tiada jawapan. Saya buntu. Mata saya kembali terang.

Dalam kegelisahan, saya menghantar pula pesanan SMS Hanis. Saya menagih jawapan darinya.

"Tak tau pasai apa. Tadi nak masuk dalam guard Raja tu tak bagi. Dia kata depa tengah cuci. Ada apa-apa nanti aku mesej lain"

Jawapan yang tidak pasti saya terima daripada balasan SMS Hanis. Tapi tengah cuci apa tengah-tengah malam begini, melainkan........ Arghhh saya tidak mahu memikirkan hingga ke tahap itu.

Tidak sampai sepuluh saat, henfon saya bergetar sekali lagi. SMS dari Hanis yang membuatkan saya terduduk tidak mampu berkata-kata dan menambahkan getaran di jiwa.

"Kak, Pak Su dah tak ada..."

Innalillahi wa inna ilaihirojiun..Serentak itu juga bonda menghubungi saya, juga mengkhabarkan berita yang sama. Bonda juga meminta saya mengejutkan 'adik-adik' yang masing-masing nyenyak di pembaringan. Saya mula diburu penyesalan kerana tidak melawat Pak Su semalam.. Maafkan saya, Pak Su.. :(

Jenazah Pak Su selamat tiba di Sungai Layar sebelum azan Subuh berkumandang.. Akhirnya Pak Su kembali ke kampung halamannya. Kembali ke rumah beliau dibesarkan dengan penuh perhatian dan kasih sayang. Kembali bertemu dengan sahabat handai dan saudara-mara jauh dekat, namun Pak Su kaku di pembaringan.. Pak Su tidak mampu bertanya khabar mereka yang datang menziarahinya...

*sekali lagi penulisan saya tergendala. Di lain waktu saya akan teruskan bicara.. Wassalam..

Saturday, September 17, 2011

Entry Tidak Punya Sebarang Tajuk..

Assalamualaikum..
Salam Syawal semua..
Ucapan Syawal terlalu lewat dari waktu yang sepatutnya tapi masih belum terlambat bukan. Kita kan raya sebulan?? :D

Terlalu lama tidak menghambakan diri pada penulisan entry. Kesibukan terlalu menghantui diri. Dugaan datang berlari-lari. Ya, saya hamba-Nya yang terpilih untuk dugaan ini.

Orang lain dah tak lalu nak cerita pasal raya, saya baru nak mulakan ceritera.
Cerita hari raya saya masih sama seperti hari raya tahun-tahun sebelum ini. Bezanya tahun ini saya dah dinaikkan pangkat dari 'available' kepada 'not available'.. Raya kali ini juga merupakan raya terakhir saya sedondon bersama keluarga tercinta. Tahun hadapan Insyaallah saya bakal beraya bersama suami :) Doakan yang terbaik untuk kami sekeluarga ya.

*Ini entry tidak bergambar.

Wednesday, August 24, 2011

Kisah Budak Penjual Kuih..

Assalamualaikum w.b.t

Apa khabar kalian semua? Banyak hari juga kita tak bertemu. Saya tahu anda sentiasa ternanti-nanti..hehe Perasan! hehe Apa-apa pun semoga kita semua terus diberikan kesihatan yang berpanjangan menyusuri 10 malam terakhir Ramadhan tahun ni. Semoga amal ibadah kita sentiasa diterima oleh-Nya. Amin.. :)

Semalam saya menerima satu e-mail dari seorang kenalan. E-mail itu bertajuk, 'Kisah Budak Penjual Kuih'. Menghayati e-mail itu, membuatkan saya rasa terpanggil untuk berkongsi kisah budak itu di ruangan ini. Baca, dan selamilah kisah tersebut. Tapi maaf, dek kerana kecetekkan ilmu, saya terpaksa edit email tersebut menjadi bentuk seperti di bawah. Namun, intipatinya tidak sedikitpun berbeza dari e-mail asal yang saya terima.


**********************************************************

Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuat restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul di hadapan saya.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.

"Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawab saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudia saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan? Tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik." kata saya sambil menepul-nepuk perut.

Dia beredar. Tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu, pasti ditanya,

"Tak nak beli kuih ke bang, makcik, pakcik, kakak?"
Molek bahasanya! Mamak di restoran itu pun tidak menghalang di keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihat betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk, dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak itu berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang," katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya membuka dompet dan menghulurkan not merah RM10 padanya.

"Ambil ni dik, abang sedekah. Tak payah beli kuih tu.." Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak tersebut menerima wang tersebut, lantas berterima kasih dan berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terkejutnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula not RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua belah matanya. Saya terkejut. Lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang? Nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abang beri tadi kepada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawab pertanyaannya.

"Bang, saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti kerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia dapat tahu saya bawa duit banyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang tak berupaya. Saya masih kuat bang!" Katanya begitu lancar.

Saya sebak. Sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus tanya berapa harga semua kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua?" Dia bertanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya ke dalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. Saya perhatikan dia sehingga hilang dari pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, saya berfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya. Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya! :)

********************************************************

p/s : Kita semua sentiasa sama di sisi Tuhan. Tidak kira apa pangkat dan darjat sekalipun..Apa yang penting, selagi dikurniakan kudrat, teruskanlah berusaha. Jangan hanya tahu duduk bersenang-lenang mengharapkan rezeki datang bergolek-golek dan duit datang bergunung-gunung masuk dalam poket anda. 
Wassalam..(^___^)

(harap maaf gambar tiada kena mengena dengan entry :p)



Monday, August 15, 2011

Harap 'Kalian' Sembuh Seperti Sediakala..

Assalamualaikum Reader's sekalian..

Ketemu lagi kita ya..
Ketika ini saya baru saja selesai memanaskan (tuam) bahagian lutut kiri saya yang sudah setahun mengalami kesakitan yang berpanjangan. Tidak ketahuan apa punca sebenar. Adakah ini salah satu daripada implikasi kemalangan jalan raya yang pernah saya alami penghujung Ramadhan empat tahun lalu? Kekadang akal saya membenarkan teori itu, kekadang juga saya kebingungan. Sungguh. Saya tidak tahu apa puncanya.
Teori emak mengatakan saya telah mencapai berat badan berlebihan? (Ek?? Nehi..nehi..)
Teori Mr. T : "Banyak sangat berjalan. Banyak sangat panjat tangga" (Tak panjat tangga macam mana nak sampai banglo kami Mr. T oiiii,,,)

Dek kerana sudah tidak tahan menanggung kesakitan, makanya saya terpaksa mengadu pada kedua ayah bonda. Langkah drastik yang ayah ambil sudah semestinya membawa saya ke klinik. Lalu ayah bonda menjemput saya di quarters kediaman dan saya dibawa ke Klinik & Surgeri Sendhuram yang terletak amat berhampiran dengan kampus.

Natijahnya, saya diberikan ubat sebanyak 6 jenis. Perlu dihabiskan dalam masa sebulan.

Saya perlu memiliki seunit hair dryer atau pun pengering rambut.

Pelik bukan? Saya juga pada mulanya berasa amat pelik. Tidak pernah saya ketahuan hair dryer ada banyak fungsi selain mengeringkan mahkota wanita. Hair dryer yang perlu saya miliki itu adalah untuk proses tuam lutut saya. Proses yang perlu dilakukan sekerap mungkin kerana lutut saya membengkak dengan jayanya. Hal itulah yang menyebabkan saya menanggung kesakitan bertahun lamanya. Saya juga dikehendaki memakai guard lutut, supaya bengkak di kepala lutut saya cepat surut.

Paling mencabar, NO HIGH HEELS ANYMORE !
Waduh-waduh gemana ni dong..
Berkenaan dengan serangan jantung yang saya alami, saya dinasihatkan untuk mengamalkan meminum jus epal hijau sekerap mungkin dan makan sup kaki ayam. Itu tidak menjadi kudis bagi saya. Yang membawa keserabutan adalah, saya dikehendaki meninggalkan terus makanan PEDAS dan MASAM !! Wahh..ini sudah lebih. Tuan doktor tak tau ke itu makanan ruji saya?? Saya tidak boleh hidup tanpa menjamah makanan pedas dan masam.. :(

Akanku turutkan jua saranan tuan doktor. Kesihatan lebih utama. Menurut tuan doktor lagi, jikalau saya tidak mengikut saranan yang dinyatakan, saya mungkin akan dibedah!! Oh Tidak !!!!! :( Daku tak rela...

Rakan-rakan yang budiman,
Tolong sama-sama doakan lutut dan jantung saya kembali berfungsi seperti kebiasaan ya..
Wassalam..
 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design