Monday, January 30, 2012

Kadangkala Penulisan Harus Berehat Seketika.

Assalamuaikum..
Sudah 22 hari sepi dari dunia penulisan. Bukan lari bersembunyi, sekadar muhasabahkan diri dan menghabiskan masa bersama keluarga dengan cara yang berkualiti. Dunia penulisan terpaksa 'direhatkan' buat sementara waktu. Apakah ada yang ternanti-nanti hasil karya penulisanku yang tidak seberapa ini? Ahhh. Entah siapa-siapa diri ini.
Dalam tempoh 22 hari lalu, kebanyakkan waktu dihabiskan dengan berfikir dimana kekurangan diri dan mencari sekiranya lembaran peribadi carik dimana-mana dan perlu ditampal dengan lembaran yang berbaur lebih positif. Saya juga mengambil kesempatan bercuti ke tempat kegemaran ayah bonda - Cameron Highlands yang sudah hilang kesejukkan dek kerana pesatnya pembangunan. Turutkan sahaja kemahuan ayah bonda yang inginkan percutian berkualiti kami sekeluarga.
Memenuhi jemputan kenduri-kendara sanak saudara. Welcome to the family Sis Adura! Selamat Pengantin Baru Sis Adura dan Kapten Farid.. Semoga berbahagia hendaknya..

Isnin minggu lalu juga mencatatkan memori duka kepada keluarga Datin Zaiton (besan nenda) yang telah dijemput pulang menghadap Maha Pencipta, juga keluarga arwahyarham Zainol Abidin (saudara sebelah ayah, saya gelar Tok Cik Bidin) yang juga telah kembali kepada-Nya. 

Al-Fatihah. 


Sunday, January 8, 2012

Pertemuan Mengusik Jiwa : Wanita Itu Cerminku Di Usia Senja

Semalam, usai menunaikan fardhu Maghrib aku pantas mengenakan hijab di kepala. Sementara menanti ketibaan family Makcik Norma dan Mr. T, ada misi yang perlu aku laksanakan. Misi yang memerlukan aku ambush pasar malam Taman Nuri. Ayah mengarahkan aku pergi membeli durian untuk disajikan kepada tetamu sebentar lagi. Belum sempat melangkah keluar, kedengaran seperti ngauman motosikal dimatikan di laman rumah dan serentak dengan itu lafaz salam berkumandang dari luar. Aku, mak, dan ayah saling berpandangan. Siapa datang?

Emak membuka pintu. Emak seakan terpinga-pinga kerana tidak mengenali tetamu yang hadir. Aku turut sama menyibukkan diri. Sepasang suami isteri datang dengan menunggang sebuah motosikal lusuh. Ayah menjenguk ke muka pintu.

"Pak Njang!! Mai masuk Pak Njang, Mak Njang..!" Kedengaran ayah bersuara menyapa tetamu. Gembira campur terkejut. Ayah menyambut mereka di muka pintu.

Pak Njang? Pak Njang mana? Aku cukup prihatin terhadap kesemua sanak-saudara tidak kira dari sebelah emak mahupun sebelah ayah. Namun mengapa raut wajah lelaki yang ayah gelar 'Pak Njang' itu tidak pernah aku lihat selama 23 tahun 21 hari aku hidup di muka bumi ini?? Siapakah gerangan lelaki itu?? Rupa lelaki itu seakan-akan Tok Ayah (datukku di sebelah ayah), kulitnya juga sama - hitam manis. Mungkinkah adik Tok Ayah?

"Kakak, Adik, mai salam. Ni Tok Njang, adik Tok Ayah!" Suara ayah membuatkan tanda seruan yang terlompat-lompat dibenakku habis bersepai. Benarlah, itu adik Tok Ayah. Namun seumur hidupku, inilah kali pertama aku bertemu empat mata dengannya.

Aku menghulurkan tangan dan tunduk tertib mencium tangan lelaki itu. Aku tersenyum mesra memandang Tok Njang. Terasa kasih pantas meresap ke dalam jiwa. Entah mengapa aku rasa kasihan melihat lelaki itu.

"Ni yang sulung." Ayah memperkenalkanku kepada Tok Njang suami isteri. Aku lantas meminta diri untuk terus ke pasar malam. Pastinya ruang yang aku tinggalkan untuk mereka akan merungkai segala rindu dendam setelah lama tidak bersua. Baru aku teringat sesuatu. Mak Tok (nenekku di sebelah ayah) dan emak pernah bercerita tentang seorang 'adik Tok Ayah' yang sering menghilangkan diri. Mengapa dia menghilangkan diri? Hanya Tok Njang saja yang tahu jawapannya. Semenjak itu aku dan sepupu-sepupuku sibuk berbincang dan tertanya-tanya bagaimana rupa adik Tok Ayah yang satu itu. Antara kami semua, tidak ada seorang pun yang pernah melihat wajah Tok Njang. Pertemuan dengan Tok Njang yang tidak dijangka itu sememangnya mengusik jiwaku.

Aku pulang dengan membawa 12 biji durian. Mr. T membuka kesemua durian itu dan dihidangkan kepada tetamu. Sambil menikmati hidangan makan malam,

"Macam muka Kak Yam," Kata isteri Tok Njang sambil memandangku. Kak Yam yang dimaksudkan ialah nendaku. Aku hanya ketawa. Tidak dapat disangkal lagi kerana sememangnya itulah hakikatnya. Aku sememangnya mirip nenda. Aku bagaikan cermin nenda di usia muda. Aku mewarisi nenda dalam banyak perkara. Baik dari segi paras rupa, tona kulit mahupun suara. Sikapku juga banyak yang diwarisi dari nenda. Pergilah ke mana sahaja, aku tidak akan terlepas dari menerima komen seumpama itu.

Cuma Mr. T sahaja yang tidak mengakuinya. Katanya nenda lebih lembut dariku sedangkan aku kepala batu! Sebenarnya Mr. T tidak pernah tahu, kepala batu itulah yang aku warisi dari nenda sebenar-benarnya!
~sama tak??~
Ini pula Tok Ayah..

Saturday, January 7, 2012

Seringkali Lelaki Itu Mengundang Rasa Sebakku..

"Kakak, nak broadband tak? Ayah nak tidur dah.." Perlahan ayah bertanya.

"Ayah sudah guna dah ke?" Aku jawab pertanyaan ayah juga dengan jawapan berbentuk pertanyaan.

"Laptop ayah tak boleh nak guna. Tak apalah, kakak guna ja la. Lagipun ayah dah mengantuk."

Modem broadband CELCOM itu bertukar tangan. Dahiku sedikit berkerut. Laptop tak boleh connect? Dah tu selama berjam-jam aku tengok ayah tekun mengadap skrin, ayah sekadar memandang skrin kosong atau main game?? Aku tahu ayah berbohong kerana mata ayah tampak masih segar.

"Laptop kakak boleh guna, ayah ambil la," pelawaku.

"Tak apalah. Ayah tidur dulu," seraya itu ayah menutup pintu biliknya.

Aku terpaku. Persoalan demi persoalan mula menyerang mindaku. Kenapa dan mengapa ayah tidak menggunakan sahaja komputer ribaku sedangkan sememangnya komputer riba milik ayah tidak boleh disambungkan talian? Adakah ayah merasa segan untuk menggunakan barangan anaknya ini? Baranganku juga adalah milik ayah. Tiba-tiba rasa sebak menggebu di jiwaku. Sikap ayah memang begitu. Ayah tidak suka menyusahkan anak-anaknya. Anak-anak ayah tidak pernah tahu jika ayah dalam kesusahan.

Semalam, aku dalam kesusahan. Aku ingin keluar mengambil angin dengan seorang rakan tapi tidak punya wang. Lalu, sewenang-wenangnya aku minta pada ayah, "Ayah, nak duit sikit." Tanpa banyak bicara, ayah menghulurkan sekeping not merah dan sekeping not biru air laut laut menjadikan jumlahnya RM60. Aku langsung lupa mengucapkan terima kasih! Anak jenis apakah aku ini??

Bagaimana agaknya kehidupanku sekiranya ayah sudah tiada lagi? Aku rapat dengan mak, tetapi aku manja dengan ayah. Aku menangis dan terus menangis mengenangkan segala pengorbanan ayah menyara pengajianku tanpa mengeluh. Tangisanku seakan tidak mahu berhenti demi membaca kiriman SMS ayah yang tidak akan aku padam sampai bila-bila :

"Ayah bangga betul dengan anak ayah ni. Semoga dapat anugerah Hari Konvo nanti."

Itu reaksi ayah sebaik sahaja aku memberitahunya tentang keputusan peperiksaan semester akhirku, 3.77. Empangan air mataku mengalir lesu setiap kali mengulangi membaca kiriman mesej itu. Aku tahu ayah berbangga denganku. Pastinya ayah sentiasa mengharapkan begitu. Apa agaknya perasaan ayah sekiranya keputusan peperiksaanku sekadar 'atas pagar' sahaja? Aku sedih. Sedih memikirkan hingga kini aku masih belum dapat menghulurkan belanja untuk mak dan ayah kerana belum bekerja. Sedih memikirkan sekiranya tidak sempat berbakti untuk mereka.. :'(

Aku terdengar ayah batuk. Aku tahu ayah masih belum tidur..

Imbasan 2011

Catatan pertama di tahun baru. Masih belum terlambat nak ucapkan Selamat Tahun Baru untuk semua. Semoga kita menjadi insan yang lebih beriman berbanding tahun sebelumnya. Sepatutnya imbasan diisi di 'helaian' terakhir lembaran 2011, namun dek kerana kelembapan line internet, jadi tak boleh la nak kenang-kenang kejadian dan peristiwa sepanjang 2011.

Antara yang manis di tahun 2011 :
 *Bergelar tunangan orang.. :)
*Berjaya menamatkan latihan praktikal dengan keputusan Cemerlang..
 *Kembali bertemu rakan sepermainan..
 *Aidilfitri di Kedai Mamak!
 *Kelahiran Nurul Najihah :)
*Family Gathering..
*Besday Party kecil-kecilan..
Yang pahit :
*Kehilangan arwah Pak Su akibat komplikasi jantung..
~arwah bediri dan berbaju merah hati. Al-Fatihah~
p/s : Kalau pandai, tilik gambar di atas dan cari saya yang mana.. haha :p
 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design