Sunday, February 26, 2012

Bilik Terakhir Seorang Banduan..

FAKTA YG SANGAT MENGEJUTKAN......harus semua ambil iktibar... SEBAB_SEBAB KENAPA PENJARA PUDU DITUTUP...???!!! Berlaku di Penjara Pudu Kuala Lumpur di suatu ketika dulu. Hanya boleh disebarkan pada orang2 tertentu sahaja... Sebelum Penjara Pudu ditutup dulu pernah diceritakan bahawa terdapat satu bilik dipanggil "Bilik Terakhir". Dibilik inilah seringnya berlaku kejadian pelik sejak Penjara Pudu ditutup. Dinamakan "BILIK TERAKHIR " adalah kerana dulu ia merupakan bilik kediaman terkahir bagi si pesalah jenayah berat sebelum menjalani hukuman gantung sampai mati pada keesokan harinya dibilik gantung.. Di BILIK TERAKHIR inilah pesalah dikatakan akan meratap,menangis, menjerit, bercakap seorang diri dan berbagai lagi perlakuan kerana menyesali kesalahan mereka yang lalu. Mereka menjadi begitu kerana dikatakan tidak kuat semangat menghadapi maut keesokan harinya yang telah diketahui mereka. Menurut kata warden-warden yang masih ada di Penjara Pudu sewaktu proses pengosongan Penjara Pudu dijalankan, mereka sering terdengar suara-suara sayu meminta tolong, suara orang menangis dan bermacam-macam lagi dari Bilik Terakhir tesebut. Tak kurang juga ada diantara warden yang terlihat seekor kambing hitam sering masuk menembusi pintu bilik itu tanpa dibuka dan kemudian tidak pula kelihatan kambing keluar semula. Ramai bomoh dan pawang yang dipanggil bagi memulihkan bilik tersebut mengatakan bahawa suara-suara yang sering kedengaran diwaktu malam dari Bilik Terakhir itu adalah akibat roh-roh pesalah yang mati ditali gantung tersebut tidak tenteram kerana mati mereka ditali gantung. Nak dijadikan cerita pada suatu malam Jumaat ketika hujan renyai-renyai seorang warden telah ditugaskan mengawal kawasan yang berhampiran dengan "Bilik Terakhir" itu. Ketika sedang berkawal kira-kira lebih kurang pukul 01:00 pagi beliau terdengar seperti tapak kaki sedang berlari-lari berhampiran bilik tersebut. Ia cuba beranikan diri untuk untuk melihat apakah bendanya itu.Sedang ia mengamat-amati maka terlihatlah dalam kesamaran seekor kambing hitam sedang menuju kearah Bilik Terakhir itu lalu lesap begitu saja. Ia berasa harian bagaimana seekor kambing boleh ada dikawasan itu? Oleh kerana ingin tahu ia beranikan juga diri menghampiri Bilik Terakhir itu. Alangkah terperanjatnya mendapati pintu bilik itu telah bertukar menjadi pintu gua. Mulalah ia berasa gementar, seram serta menggigil ketakutan namun diberanikan juga diri memasuki pintu gua yang samar-samar itu sambil meninjau- ninjau didalamnya jika terlihat akan kambing tadi. Apabila sampai je kedalam gua tersebut alangkah terperanjatnya ia bila didapati banyak harta karun dalamnya. Ia cuba mengambil harta itu tetapi tiba-tiba hilang dari pandangan lalu menjelmalah satu lembaga yang meFB ngerikan seraya berkata, "Heyyyyyy manusiaaa. Jangan awak sentuh harta itu. Hartaaaa itu bukan kauuu yang punyaaaa " " Pakkkkkktammmm Gennnduttttt yang punyaaaa!! " Ha Ha Ha Ha Ha " Yaaaaaaa, Paktammm Gendutttt yang punyaaaaaa ... " udah tuuuuuuuuu.. ...... peeee buat keja........ ......... ..... Tahniah kerana minat membaca.


p/s:-aku pun terkena... :-D
~story asal, kredit to FB Kelab Anak Kedah

Friday, February 24, 2012

Perginya Seorang Seniman (2)

Diam tak diam seminggu sudah Brirasa pergi meninggalkan nama. Pergi meninggalkan dunia nyata. Pergi meninggalkan karya. Pergi meninggalkan keluarga. Pergi menghadap Maha Pencipta. Pergi sejauh-jauhnya. Pergi selama-lamanya. Pergi yang tak akan kembali. Pergi tinggalkan anak dan isteri. Pergi yang terus diratapi hingga kini.

Sejujurnya aku turut merasakan kehilangan. Keakraban yang terjalin antara keluarga kami mewujudkan rasa 'kehilangan' itu. Ralatnya disini, aku tidak berkesempatan memberikan penghormatan terakhir kepada Brirasa. Pada malam dikhabarkan berita pemergian beliau, aku tidak terdaya mencelikkan mata kerana baru sahaja terlena. Terlena dalam kepenatan otak berfikir untuk mencambahkan idea bagi sesi Makroteaching untuk melayakkan aku bergelar seorang pensyarah di sebuah kolej. Sementara di hari pengebumian beliau pula, aku sedang bertungkus-lumus menghasilkan slide presentation untuk sesi makroteaching itu. Ralat. Sungguh. Benar-benar ralat.

Hanya selepas empat hari pemergiannya, baru aku berkesempatan berkunjung ke istana tinggalan Brirasa. Istana yang kerap kali aku kunjungi disambut dengan senyuman lelaki romantis itu. Senyuman itu seakan ada. Aku dapat merasakannya di segenap ruang istana itu. Namun hampa. Brirasa ternyata sudah tiada.

Terasa mahu pecah empangan air mata 'batu' ku ini demi mendengar ceritera detik-detik akhir Brirasa menyedut udara dunia. Berkaca mata Mak Cik Norma (balu Brirasa) saat kisah itu disampaikan ke telingaku. Brirasa pergi mudah sekali. Tidak sakit berbulan-bulan jauh sekali menyusahkan orang. Hanya sakit dada dan sesak nafas dan secara perlahan disedari beliau sudah lemah longlai di pegangan isteri dan seorang jiran yang cuba menenangkannya. Bukan semua orang punya 'nikmat' kematian seperti itu. Pemergian mengejut itulah yang membuatkan sahabat-handai, rakan taulan dan seluruh isi alam ini yang mengenali beliau serasa bagaikan terkena renjatan elektrik! Kami benar-benar terkejut. 

Brirasa pergi meninggalkan seorang isteri, dua orang cucu yang belum mengerti erti kehilangan, dan tiga orang anak yang harus tabah demi seorang mama.

Siapa Brirasa?

Brirasa dan Pak Cik Sabri dalam entry sebelum ini adalah insan yang sama tiada beza. Brirasa nama penanya. Sabri Hashim nama sebenar-benarnya.
~Brirasa berbaju maroon~


~Suara sinis melabelkan blog ini sebagai blog 'kematian' dek kerana banyaknya cerita 'kematian' kenalan mahupun keluarga terdekat aku paparkan disini. Biarlah...

Tuesday, February 14, 2012

Perginya Seorang Seniman

Malam ini terasa amat dingin sekali. Hujan turun seketika cuma tetapi menghantarkan rasa dingin yang tiada taranya. Usai saling membalas salam dengan Mr.T, aku rebahkan kepala di atas tilam. Aku biarkan kepala tidak berbantal sambil lengan terus melekap di dahi. Aku membuang pandangan kosong ke siling rumah. Hakikatnya mataku sudah mengantuk benar tapi peliknya aku masih berjaga. Jarum jam merangkak ke angka 12.30am. Otakku masih ligat berfikir dan membayangkan apa yang akan terjadi dalam sesi 16 Februari ini. Berdebar-debar menanti tibanya hari itu. Ada apa dengan 16 Februari nanti? Biarlah menjadi rahsia dahulu. Tanpa sedar, aku terlelap juga.

1.15am : Tidurku terganggu. Nyanyian telefon tangan milik bonda nyaring menusuk telinga dan mendebarkan dada. Aku pantas mencelikkan mata walaupun tidak seluas mana. Suara bonda memecahkan kesunyian malam. Entah siapa-siapa yang membuat panggilan awal pagi begini.

"Innalillahirojiun.. Bila?" Nada terkejut dari suara bonda menambahkan getaran di dada. Mataku terbuka seluas-luasnya. Benakku sesak. Siapa meninggal??

"Awat?" Suara adik pula bertanya bonda. Pastinya tidur adik juga terganggu dek panggilan itu.

"Mizah call, Pak Cik Sabri dah meninggal." Innalillah.. 

**************************************************************

Pak Cik Sabri adalah kenalan keluargaku. Aku mengenalinya seawal usiaku lima tahun. Kami pernah tinggal berjiran di daerah Sik suatu ketika dahulu. Hubungan kekeluargaan antara kami amat akrab sekali persis saudara sendiri sedangkan hakikatnya kami langsung tiada pertalian darah hatta setitispun! Keluargaku dan keluarganya kerap mengadakan trip bersama.

Tanggal 13 Januari lalu, sekali lagi ayah dan Pak Cik Sabri berpakat membawa keluarga bercuti ke Cameron Hinglands. Aku lantas memberitahu bonda, aku tidak inginkan lagi percutian seumpama itu ke Cameron dengan alasan sudah bosan. Kini hatiku dipagut pilu. Ya. Tidak akan ada lagi trip yang seumpama itu kerana Pak Cik Sabri sudahpun dijemput pulang menghadap Ilahi setelah genab separuh abad usianya. Kenangan-kenangan yang tercipta sebelum ini kembali menembusi ruangan mata. Usik-mengusik dan gurau-senda kami bakal menjadi memori yang tak akan dilupa.

Pak Cik Sabri seorang seniman yang berbakat. Karyanya kerap menghiasi dada-dada akhbar mahupun majalah, malahan nukilan sajaknya pernah dibukukan. Aku amat mengagumi bakatnya itu. Hanya karya berjilidnya, JEJAK ANA, sahaja yang terus kekal bersama kami yang masih tinggal di dunia.

Pak Cik Sabri, kami pasti merinduimu dan yang pastinya kehendakku telah dimakbulkan olehNya. Tidak akan ada lagi percutian kita bersama. Semoga engkau damai di sana. Semoga engkau tenang di negeri abadi itu. Kami pasti menyusulimu nanti.

Al-Fatihah.

Wednesday, February 1, 2012

Dahlah Hitam, Tak Sedar Diri..!

Assalamualaikum.

Relaks kawan-kawan. Entry ini bukanlah bertujuan untuk mengutuk sesiapa, tetapi saya cuba untuk membuka minda sesetengah individu yang terlalu takut untuk mengenakan pakaian yang terang-benderang warnanya. Sudah agak lama sebenarnya saya memerhatikan senario ini. Lazimnya kita boleh lihat, yang dianugerahkan kulit cerah akan mengenakan pakaian yang terang bulan, manakala yang dianugerahkan kulit gelap sekadar berani untuk memakai pakaian yang malap-malap sahaja. Saya tahu ramai juga kalangan berkulit 'tan' ini berani menyuaipadankan warna pakaian, tetapi hanya segelintir sahaja.

Saya pernah terdengar perbualan sepasang sahabat ketika menaiki bas Jengka Liner menuju ke Alor Setar lewat masa dulu. Mencuri dengar sebetulnya.

"Kenapa kau tak nak beli baju oren tadi? Aku tengok cantik sangat dan sepadan dengan kau design dia" Si A memulakan bicara.

"Tak naklah. Macam tak ngam la dengan warna kulit aku. Kau tak apalah, kulit cerah. Nanti tak pasal-pasal saja kawan-kawan gelakkan aku. Kau tahu, dulu aku pernah pakai warna merah terang masa jadi pengapit kakak aku kahwin. Aku terdengar salah seorang ahli keluarga mertua kakak aku cakap, 'Eh, dahlah hitam, pakai terang-terang pula. Tak sedar diri betullah adik si Nana tu'."  Agak panjang lebar Si B membalas persoalan Si B.

Kepala saya tergeleng-geleng. Kebetulan pula keadaan bas yang sedang bergerak ketika itu agak terhuyung-hayang, kalau tidak nescaya penumpang di sebelah saya akan kehairanan demi melihat kepala saya yang tergeleng tanpa irama secara tiba-tiba :p

Saya menoleh ke sisi, cuba untuk melihat 'kehitaman' yang dimaksudkan Si B. Namun kepekatan malam membantutkan penglihatan saya. Setelah itu saya terlena dan hanya tersedar ketika bas berhenti di Perhentian Parit Buntar, Perak. Tidur saya terganggu dek kesilauan lampu dalam bas yang dinyalakan dengan terangnya. 
Saya lihat, kedua rakan yang duduk di seat bersebelahan saling berpelukan dan berpamitan. Seorang berkulit gelap persis gadis India, dan seorang lagi pula berkulit gelap persis gadis keturunan Cina. Tahulah saya yang mana satu si A dan yang mana satu Si B. Saya perhatikan penampilan Si B. Beliau mengenakan blause dan skirt warna hitam, dan tudung berbunga-bunga kecik, juga warna hitam! Betapa kasihannya saya pada gadis itu.

Bas kembali meneruskan perjalanan setelah Si B dan beberapa penumpang menamatkan perjalanan mereka. Jam menunjukkan angka 3 pagi. Mata saya terasa tidak mengantuk lagi. Saya kembali terfikirkan perbualan yang saya dengar tadi. Betapa Si B trauma dengan warna. Ingatan saya terkenangkan salah seorang bekas guru saya ketika di sekolah menengah dahulu, Puan Ara. Puan Ara juga tidak dianugerahkan kulit cerah sepertimana Si B. Namun, sehari-harian Puan Ara akan bermain dengan warna. Pakaiannya terang-terang belaka dan menyilaukan mata. Puan Ara memang berani dalam soal warna.

Kata-kata Puan Ara masih terngiang-ngiang di gegendang telinga saya hingga kini.

"Orang memang suka mengutuk kurniaan Ilahi terhadap kita. Tapi satu ja, kalau orang berkulit cerah sahaja boleh pakai baju terang, jawabnya sampai matilah manusia hitam macam saya ni kena pakai baju gelap! Kulit saya takkan tukar warna sampai bila-bila!"

Tabik hormat untuk Puan Ara!
 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design