Monday, January 30, 2012

Kadangkala Penulisan Harus Berehat Seketika.

Assalamuaikum..
Sudah 22 hari sepi dari dunia penulisan. Bukan lari bersembunyi, sekadar muhasabahkan diri dan menghabiskan masa bersama keluarga dengan cara yang berkualiti. Dunia penulisan terpaksa 'direhatkan' buat sementara waktu. Apakah ada yang ternanti-nanti hasil karya penulisanku yang tidak seberapa ini? Ahhh. Entah siapa-siapa diri ini.
Dalam tempoh 22 hari lalu, kebanyakkan waktu dihabiskan dengan berfikir dimana kekurangan diri dan mencari sekiranya lembaran peribadi carik dimana-mana dan perlu ditampal dengan lembaran yang berbaur lebih positif. Saya juga mengambil kesempatan bercuti ke tempat kegemaran ayah bonda - Cameron Highlands yang sudah hilang kesejukkan dek kerana pesatnya pembangunan. Turutkan sahaja kemahuan ayah bonda yang inginkan percutian berkualiti kami sekeluarga.
Memenuhi jemputan kenduri-kendara sanak saudara. Welcome to the family Sis Adura! Selamat Pengantin Baru Sis Adura dan Kapten Farid.. Semoga berbahagia hendaknya..

Isnin minggu lalu juga mencatatkan memori duka kepada keluarga Datin Zaiton (besan nenda) yang telah dijemput pulang menghadap Maha Pencipta, juga keluarga arwahyarham Zainol Abidin (saudara sebelah ayah, saya gelar Tok Cik Bidin) yang juga telah kembali kepada-Nya. 

Al-Fatihah. 


Sunday, January 8, 2012

Pertemuan Mengusik Jiwa : Wanita Itu Cerminku Di Usia Senja

Semalam, usai menunaikan fardhu Maghrib aku pantas mengenakan hijab di kepala. Sementara menanti ketibaan family Makcik Norma dan Mr. T, ada misi yang perlu aku laksanakan. Misi yang memerlukan aku ambush pasar malam Taman Nuri. Ayah mengarahkan aku pergi membeli durian untuk disajikan kepada tetamu sebentar lagi. Belum sempat melangkah keluar, kedengaran seperti ngauman motosikal dimatikan di laman rumah dan serentak dengan itu lafaz salam berkumandang dari luar. Aku, mak, dan ayah saling berpandangan. Siapa datang?

Emak membuka pintu. Emak seakan terpinga-pinga kerana tidak mengenali tetamu yang hadir. Aku turut sama menyibukkan diri. Sepasang suami isteri datang dengan menunggang sebuah motosikal lusuh. Ayah menjenguk ke muka pintu.

"Pak Njang!! Mai masuk Pak Njang, Mak Njang..!" Kedengaran ayah bersuara menyapa tetamu. Gembira campur terkejut. Ayah menyambut mereka di muka pintu.

Pak Njang? Pak Njang mana? Aku cukup prihatin terhadap kesemua sanak-saudara tidak kira dari sebelah emak mahupun sebelah ayah. Namun mengapa raut wajah lelaki yang ayah gelar 'Pak Njang' itu tidak pernah aku lihat selama 23 tahun 21 hari aku hidup di muka bumi ini?? Siapakah gerangan lelaki itu?? Rupa lelaki itu seakan-akan Tok Ayah (datukku di sebelah ayah), kulitnya juga sama - hitam manis. Mungkinkah adik Tok Ayah?

"Kakak, Adik, mai salam. Ni Tok Njang, adik Tok Ayah!" Suara ayah membuatkan tanda seruan yang terlompat-lompat dibenakku habis bersepai. Benarlah, itu adik Tok Ayah. Namun seumur hidupku, inilah kali pertama aku bertemu empat mata dengannya.

Aku menghulurkan tangan dan tunduk tertib mencium tangan lelaki itu. Aku tersenyum mesra memandang Tok Njang. Terasa kasih pantas meresap ke dalam jiwa. Entah mengapa aku rasa kasihan melihat lelaki itu.

"Ni yang sulung." Ayah memperkenalkanku kepada Tok Njang suami isteri. Aku lantas meminta diri untuk terus ke pasar malam. Pastinya ruang yang aku tinggalkan untuk mereka akan merungkai segala rindu dendam setelah lama tidak bersua. Baru aku teringat sesuatu. Mak Tok (nenekku di sebelah ayah) dan emak pernah bercerita tentang seorang 'adik Tok Ayah' yang sering menghilangkan diri. Mengapa dia menghilangkan diri? Hanya Tok Njang saja yang tahu jawapannya. Semenjak itu aku dan sepupu-sepupuku sibuk berbincang dan tertanya-tanya bagaimana rupa adik Tok Ayah yang satu itu. Antara kami semua, tidak ada seorang pun yang pernah melihat wajah Tok Njang. Pertemuan dengan Tok Njang yang tidak dijangka itu sememangnya mengusik jiwaku.

Aku pulang dengan membawa 12 biji durian. Mr. T membuka kesemua durian itu dan dihidangkan kepada tetamu. Sambil menikmati hidangan makan malam,

"Macam muka Kak Yam," Kata isteri Tok Njang sambil memandangku. Kak Yam yang dimaksudkan ialah nendaku. Aku hanya ketawa. Tidak dapat disangkal lagi kerana sememangnya itulah hakikatnya. Aku sememangnya mirip nenda. Aku bagaikan cermin nenda di usia muda. Aku mewarisi nenda dalam banyak perkara. Baik dari segi paras rupa, tona kulit mahupun suara. Sikapku juga banyak yang diwarisi dari nenda. Pergilah ke mana sahaja, aku tidak akan terlepas dari menerima komen seumpama itu.

Cuma Mr. T sahaja yang tidak mengakuinya. Katanya nenda lebih lembut dariku sedangkan aku kepala batu! Sebenarnya Mr. T tidak pernah tahu, kepala batu itulah yang aku warisi dari nenda sebenar-benarnya!
~sama tak??~
Ini pula Tok Ayah..
 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design