1.15am : Tidurku terganggu. Nyanyian telefon tangan milik bonda nyaring menusuk telinga dan mendebarkan dada. Aku pantas mencelikkan mata walaupun tidak seluas mana. Suara bonda memecahkan kesunyian malam. Entah siapa-siapa yang membuat panggilan awal pagi begini.
"Innalillahirojiun.. Bila?" Nada terkejut dari suara bonda menambahkan getaran di dada. Mataku terbuka seluas-luasnya. Benakku sesak. Siapa meninggal??
"Awat?" Suara adik pula bertanya bonda. Pastinya tidur adik juga terganggu dek panggilan itu.
"Mizah call, Pak Cik Sabri dah meninggal." Innalillah..
**************************************************************
Pak Cik Sabri adalah kenalan keluargaku. Aku mengenalinya seawal usiaku lima tahun. Kami pernah tinggal berjiran di daerah Sik suatu ketika dahulu. Hubungan kekeluargaan antara kami amat akrab sekali persis saudara sendiri sedangkan hakikatnya kami langsung tiada pertalian darah hatta setitispun! Keluargaku dan keluarganya kerap mengadakan trip bersama.
Tanggal 13 Januari lalu, sekali lagi ayah dan Pak Cik Sabri berpakat membawa keluarga bercuti ke Cameron Hinglands. Aku lantas memberitahu bonda, aku tidak inginkan lagi percutian seumpama itu ke Cameron dengan alasan sudah bosan. Kini hatiku dipagut pilu. Ya. Tidak akan ada lagi trip yang seumpama itu kerana Pak Cik Sabri sudahpun dijemput pulang menghadap Ilahi setelah genab separuh abad usianya. Kenangan-kenangan yang tercipta sebelum ini kembali menembusi ruangan mata. Usik-mengusik dan gurau-senda kami bakal menjadi memori yang tak akan dilupa.
Pak Cik Sabri seorang seniman yang berbakat. Karyanya kerap menghiasi dada-dada akhbar mahupun majalah, malahan nukilan sajaknya pernah dibukukan. Aku amat mengagumi bakatnya itu. Hanya karya berjilidnya, JEJAK ANA, sahaja yang terus kekal bersama kami yang masih tinggal di dunia.
Pak Cik Sabri, kami pasti merinduimu dan yang pastinya kehendakku telah dimakbulkan olehNya. Tidak akan ada lagi percutian kita bersama. Semoga engkau damai di sana. Semoga engkau tenang di negeri abadi itu. Kami pasti menyusulimu nanti.
Al-Fatihah.