Sunday, October 30, 2016

SEKEPING ROTI CANAI KUAH KARI

Roti canai hanya ada kat malaysia. Terpulang nak cicah dengan kari, kuah dal, daging hitam, susu, malahan ada yang cicah dengan gula. kau boleh pilih nak makan kat kedai mamak atau warung tepi jalan cicah kari letak sambal tengah-tengah. Fuh sambil menaip pun air liur aku meleleh beb bila teringat roti canai warung tepi kubur depan balai polis tu!

Aku zaman budak-budak memang SELFISH. Pentingkan diri sendiri. Aku selalu cemburu dengan adik aku sebab bagi aku mak ayah lebih sayang dia berbanding aku. Bodoh sangat perangai. Walhal aku cuma dua beradik. Hanya aku dan dia. Sorang lelaki sorang perempuan memang tiada beza kasih sayang yang mak ayah bagi. Aku ingat lagi kejadian di hari jumaat tahun 2001, masa tu aku tingkatan 1 adik darjah 4. Tiap-tiap jumaat aku kayuh basikal pi tusyen bahasa arab rumah Ustazah Fatimah. Nak jadi cerita pagi tu ayah beli roti canai. Aku tak makan walau secubit sebab elok-elok aku siap kawan aku dah kalut picit loceng 'gerek' kat depan pintu. Tengah tusyen haram nak fokus sebab dok teringat roti canai bawah tudung. Gigih aku kayuh basikal nak bagi cepat sampai rumah, sambil lap peluh dengan hujung naju, laju aku serbu dapur dan selak tudung saji.  Darah terus naik ke kepala bila tengok roti canai besar hama pun takdak bawah tudung, Yang tinggal cuma sisa kuah! Panas ja kelopak mata aku ni. Terus zass aku serang adik aku yang tengah main game dalam bilik yang dia kunci dari dalam. Mengamuk berapi aku depan pintu bilik sebab dia habiskan roti canai tak simpan kat aku. Aku peduli apa, yang aku hangin awat dia makan roti canai tu. Sepatahpun dia tak menjawab. Aku dah macam histeria. Syaitonnirrojim berjaya hasut aku. Aku hempas pintu bilik aku dan menangis macam org gila. Aku lapar kot, kayuh basikal macam ribut semata-mata nak balik makan tengok-tengok benda tu habis licin. Kecewa tahap dewa kau tau. 

Aku dengar adik aku bukak pintu bilik dia dan kayuh gerek Leerun hijau dia tu. Aku tak tau dia nak pi mana. Aku tengok ada lebihan syiling atas katil dia. Tetiba aku nampak kelibat dia lintas kat jalan belakang rumah. Dupdap-dupdap jantung aku. Mana aku tau dia nak lari rumah sebab aku marah dia tadi. Lagi lebat air mata aku turun. Dahlah mak ayah takdak kat rumah masa tu. 20 minit lepas tu tetiba adik aku balik. Aku cepat-cepat lari masuk bilik balik, bajet aku tak sedar pun dia keluar. Huuu lega. Tinggi sgt imaginasi aku tadi.

Adik ketuk bilik aku.

"Kak roti canai habis. aku beli cucoq kat hang. Makan la" wuaaaaa aku sambung teriak. Dia sanggup kayuh gerek jauh-jauh dan guna duit simpanan dia untuk beli kuih kat aku. Dia baru darjah 4 woi. Aku ni yang bangang! (adik, aku tak pasti hang ingat dak lagi kisah ni. Tapi aku sentiasa terbayang-bayang dan mengundang tangis berpanjangan setiap kali aku terkenang..)

Masa berlalu dan adik jadi agak pendiam. Masa dia banyak dihabiskan dalam bilik atau main bola di padang. Pastu dia pi dok asrama tinggallah aku seketoi di rumah. Aku dengan adik taklah rapat macam isi dengan kuku. Adik jenis memendam rasa, aku jenis pulun nak dapat perhatian 24 jam. Memang buruk sangat perangai aku zaman 'jahiliah' dulu. Tambahan pulak dia dok asrama jadi tak banyak yang aku share dengan dia. 

Pastu lepass habis STPM aku dapat tawaran jadi cikgu sandaran. Dapat gaji aku bagi adik RM50. Boleh tgk muka dia happy dapat duit yg aku bagi. Kemudian lepas berenti buat degree kat UITM aku kerja dengan Jabatan Perangkaan. Masa ni adik belajar di Terengganu. Time hantar dia kat stesen bas aku bagi jugak duit poket kat dia walaupun dia belajar 'full coverage' dengan syarikat minyak tu dan elaun dia lebih tinggi daripada gaji aku dulu. 

Aku jenis cengeng. Dari dulu sampai dah beranak pinak ni pun, setiap kali adik atau ayah peluk aku wajib dada aku sebak, mata aku berair. Sebab keluarga aku ciput jadi aku tersangat-sangat menghargai setiap detik bersama depa. Pernah satu masa aku berkongsi rasa dengan adik saat dia hantar aku pulang. Aku menangis tanpa segan silu depan dia. Aku rasa puas boleh luah semua yang terbuku di dada dan berat dalam kepala tentang masalah hidup aku yang penuh pancaroba. Kalau selama ni aku rasa adik tak pernah peduli perasaan aku, tak pernah sayang aku, tak pernah kisahkan aku, ternyata aku silap. 

"Hang ada masalah, hang cerita ja kat aku. Kita adik beradik. Kita dua beradik ja. Aku cuma ada hang. Hang cuma ada aku" adik peluk aku salurkan semangat dan kekuatan sambil muka aku lencun dek tangisan. Hiba sungguh aku rasa waktu tu. 
Masa aku final semester waktu buat diploma dulu, ada kes yang sampai aku kena hadap pegawai HEP tu (ada aku cerita kat blog ni dulu), aku balik rumah dan protes. Berapi-api aku marah. Satu ayat adik yg aku tak boleh lupa,

"sapa buat hang bagitau aku. mai aku pi cari dia" lagak samseng bunyinya..hahaha

Lani masing-masing kami dah berumah tangga. Ada keluarga, kerjaya, dan hidup sendiri. Jarang bertemu muka tapi kisah roti canai tu sentiasa bermain di kepala aku. Sebab roti canai tu lah aku jadi manusia yang dah tak berapa pentingkan diri sendiri. Sebab roti canai tu la aku belajar menghargai satu-satunya adik yang aku ada di muka bumi ni. Sebab roti canai tu la aku tau ada adik yang sayang aku walaupun tak pernah dia luahkan kat aku.

Air dicincang tak akan putus.

Hadoiii sapa potong bawang pulak ni habis meleleh air mata aku.. ok bye.
 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design