Wednesday, August 24, 2011

Kisah Budak Penjual Kuih..

Assalamualaikum w.b.t

Apa khabar kalian semua? Banyak hari juga kita tak bertemu. Saya tahu anda sentiasa ternanti-nanti..hehe Perasan! hehe Apa-apa pun semoga kita semua terus diberikan kesihatan yang berpanjangan menyusuri 10 malam terakhir Ramadhan tahun ni. Semoga amal ibadah kita sentiasa diterima oleh-Nya. Amin.. :)

Semalam saya menerima satu e-mail dari seorang kenalan. E-mail itu bertajuk, 'Kisah Budak Penjual Kuih'. Menghayati e-mail itu, membuatkan saya rasa terpanggil untuk berkongsi kisah budak itu di ruangan ini. Baca, dan selamilah kisah tersebut. Tapi maaf, dek kerana kecetekkan ilmu, saya terpaksa edit email tersebut menjadi bentuk seperti di bawah. Namun, intipatinya tidak sedikitpun berbeza dari e-mail asal yang saya terima.


**********************************************************

Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuat restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul di hadapan saya.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.

"Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawab saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudia saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan? Tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik." kata saya sambil menepul-nepuk perut.

Dia beredar. Tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu, pasti ditanya,

"Tak nak beli kuih ke bang, makcik, pakcik, kakak?"
Molek bahasanya! Mamak di restoran itu pun tidak menghalang di keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihat betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk, dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak itu berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang," katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya membuka dompet dan menghulurkan not merah RM10 padanya.

"Ambil ni dik, abang sedekah. Tak payah beli kuih tu.." Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak tersebut menerima wang tersebut, lantas berterima kasih dan berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terkejutnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula not RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua belah matanya. Saya terkejut. Lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang? Nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abang beri tadi kepada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawab pertanyaannya.

"Bang, saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti kerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia dapat tahu saya bawa duit banyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang tak berupaya. Saya masih kuat bang!" Katanya begitu lancar.

Saya sebak. Sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus tanya berapa harga semua kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua?" Dia bertanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya ke dalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. Saya perhatikan dia sehingga hilang dari pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, saya berfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya. Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya! :)

********************************************************

p/s : Kita semua sentiasa sama di sisi Tuhan. Tidak kira apa pangkat dan darjat sekalipun..Apa yang penting, selagi dikurniakan kudrat, teruskanlah berusaha. Jangan hanya tahu duduk bersenang-lenang mengharapkan rezeki datang bergolek-golek dan duit datang bergunung-gunung masuk dalam poket anda. 
Wassalam..(^___^)

(harap maaf gambar tiada kena mengena dengan entry :p)



Monday, August 15, 2011

Harap 'Kalian' Sembuh Seperti Sediakala..

Assalamualaikum Reader's sekalian..

Ketemu lagi kita ya..
Ketika ini saya baru saja selesai memanaskan (tuam) bahagian lutut kiri saya yang sudah setahun mengalami kesakitan yang berpanjangan. Tidak ketahuan apa punca sebenar. Adakah ini salah satu daripada implikasi kemalangan jalan raya yang pernah saya alami penghujung Ramadhan empat tahun lalu? Kekadang akal saya membenarkan teori itu, kekadang juga saya kebingungan. Sungguh. Saya tidak tahu apa puncanya.
Teori emak mengatakan saya telah mencapai berat badan berlebihan? (Ek?? Nehi..nehi..)
Teori Mr. T : "Banyak sangat berjalan. Banyak sangat panjat tangga" (Tak panjat tangga macam mana nak sampai banglo kami Mr. T oiiii,,,)

Dek kerana sudah tidak tahan menanggung kesakitan, makanya saya terpaksa mengadu pada kedua ayah bonda. Langkah drastik yang ayah ambil sudah semestinya membawa saya ke klinik. Lalu ayah bonda menjemput saya di quarters kediaman dan saya dibawa ke Klinik & Surgeri Sendhuram yang terletak amat berhampiran dengan kampus.

Natijahnya, saya diberikan ubat sebanyak 6 jenis. Perlu dihabiskan dalam masa sebulan.

Saya perlu memiliki seunit hair dryer atau pun pengering rambut.

Pelik bukan? Saya juga pada mulanya berasa amat pelik. Tidak pernah saya ketahuan hair dryer ada banyak fungsi selain mengeringkan mahkota wanita. Hair dryer yang perlu saya miliki itu adalah untuk proses tuam lutut saya. Proses yang perlu dilakukan sekerap mungkin kerana lutut saya membengkak dengan jayanya. Hal itulah yang menyebabkan saya menanggung kesakitan bertahun lamanya. Saya juga dikehendaki memakai guard lutut, supaya bengkak di kepala lutut saya cepat surut.

Paling mencabar, NO HIGH HEELS ANYMORE !
Waduh-waduh gemana ni dong..
Berkenaan dengan serangan jantung yang saya alami, saya dinasihatkan untuk mengamalkan meminum jus epal hijau sekerap mungkin dan makan sup kaki ayam. Itu tidak menjadi kudis bagi saya. Yang membawa keserabutan adalah, saya dikehendaki meninggalkan terus makanan PEDAS dan MASAM !! Wahh..ini sudah lebih. Tuan doktor tak tau ke itu makanan ruji saya?? Saya tidak boleh hidup tanpa menjamah makanan pedas dan masam.. :(

Akanku turutkan jua saranan tuan doktor. Kesihatan lebih utama. Menurut tuan doktor lagi, jikalau saya tidak mengikut saranan yang dinyatakan, saya mungkin akan dibedah!! Oh Tidak !!!!! :( Daku tak rela...

Rakan-rakan yang budiman,
Tolong sama-sama doakan lutut dan jantung saya kembali berfungsi seperti kebiasaan ya..
Wassalam..

Saturday, August 13, 2011

Kala Wajah Daku Di Komersialkan..

"Amalina, besok pakai baju rasmi. Kamu terpilih untuk rakaman iklan kampus. Macam Iklan KLMU tu"

Pergghhh gila daku terkejut !!!

Ehem-ehem..lupa pula nak bagi salam..

Assalamualaikum..

Dua hari lepas, satu lagi cabaran + pengalaman tercatat dalam catatan perjalanan kehidupan saya. Pengalaman yang cukup-cukup berharga bagi saya dan tidak boleh dibeli di mana-mana. Saya menjalani casting untuk kali kedua. Kali pertama ketika saya ke ujibakat anjuran RTM 3 tahun lalu. Tanpa di jangka saya dipanggil untuk menghadiri casting buat kali keduanya :) Sengaja saya sebut casting, walhalnya saya tidak perlu menghadiri sebarang ujibakat pun. Sudah terang lagi bersuluh, muka saya akan terpampang dalam Iklan Kampus, ala-ala iklan KLMU yang sering keluar kat TV tu. Mesti mak bangga nih!! Mesti mak tak sangka wajah gebu anaknya ini bakal dikomersialkan..

Berbekalkan sedikit pengalaman dan bakat terendam kurniaan Ilahi, alhamdulilah, semuanya berjalan lancar. Saya tidak perlu mengambil masa yang lama untuk menyelesaikan sesi rakaman itu. Tapi pengetahuan saya sedikit kabur, saya tak tahu kemana video rakaman wajah melayu asli saya ini akan ditayangkan dan masuk siaran TV mana. Tapi tak kisah la sebab saya pun dah lama tak masuk TV..hihi Saya juga mengalami kekonfiusan, kenapa dalam ramai-ramai bebudak kelas yang vouge-vouge bagai tu, saya yang dipilih? Hairan bin ajaib. Sedangkan saya tidak pandai mengenakan eye-liner pun.. Sudah suratan dan rezeki aku di situ agaknya. Tuah ayam nampak di kaki, tuah saya memang tak pernah nampak di buku lali..haha Mujurlah saya pernah menghadiri casting sebelum ini, makanya saya sudah terbiasa dengan kamera bagai, mikrofon kecil yang diselit di kolar baju, pengawalan nada suara, gaya bahasa, lenggok badan, dan lampu-lampuan yang memeritkan muka itu. Jadi kerja menjadi lebih mudah.

Haaa ni la rupa set penggambaran yang ala-ala mengerikan gitu. Lampu tu la yang memeritkan muka saya sepanjang penggambaran. Mujur tuan director tak 'cut' scene saya banyak-banyak kali. Kalau tak, jelas dan nyata, mau terbakar kulit dinda. Bak kata Mr. T, terus gerhana muka bulan purnama :p Hokay, anda nampak tak kerusi yang tak berpenyandar tu? Ha di situlah saya dikehendaki berdiri sepanjang rakaman dibuat. Jarak antara kerusi dengan kamera perakam itu agak jauh, jadi memerlukan saya untuk melontarkan vokal sekuat mungkin. Yang penting sebutan mesti fluent ! Kalau tak kes naya ja si tuan director tu jerit "CUT !!!!"..


Me with tukang make-up yang berjasa menyapu blusher di pipi saya. Normalia, tukang make-up merangkap roomate saya. Beliau setia menemani saya sepanjang penggambaran berlangsung. Nasib baik ada beliau, kalau tak saya mesti malu-malu kucing berdepan dengan tuan director tu. Tapi sedikit lega sebab dialog saya tidaklah panjang mana. Ia memerlukan saya untuk melontarkan dialog dwi bahasa, iaitu Bahasa Ibunda dan Bahasa Penjajah. Rasa tersangatlah bangga saat saya melontarkan dialog berbunyi :

"Kami pelajar Kesetiausahaan, dilatih untuk menaip sehingga mencapai kelajuan 50 perkataan seminit, mengguris trengkas, dan shorthand"

Pendek bukan?

Yang berbaju gray tu tuan director, dan yang berbaju hitam tu salah seorang tenaga kerja. Seronok kerja dengan mereka-mereka ini. Kenapa saya kata seronok? Sebab saya sudah pernah kerja dengan mereka sebelum ini. Masih ingat entry saya yang bertajuk Kenangan Sebagai Penerima Anugerah?? (Cepat klik kalau belum baca.hehe) Entry itu antara entry terawal yang saya hasilkan setelah diri bergelar BLOGGER. Entry yang tidak punya gaya bahasa yang super bombastik. Mereka dalam gambar di atas adalah individu-individu yang sama berkerjasama dengan saya sikit masa dulu.


Zawatil Ishqi & Normalia yang setia menemani saya sehingga selesai sesi rakaman. Terima Kasih bebanyak. Next time kita masuk TV sesama ok.. Kalaulah Nadia Mazlan ada sama, she will be a part of us :(
Sehingga bertemu lagi.. Wassalam..

*Alhamdulillah sudah 13 hari kita menunaikan fardu puasa. Semoga kita terus diberikan kekuatan dan kesihatan yang berpanjangan dalam menjalani ibadah yang masih berbaki 17 hari sahaja lagi.. :)

Wednesday, August 10, 2011

Ramadhan Yang Penuh Cabaran

Salam Ramadhan semua..
Assalamualaikum w.b.t

Hari ini genab sepuluh hari kita menunaikan ibadah puasa. Sudah sepuluh hari juga Pak Su meninggalkan dunia nyata. Sudah sepuluh hari juga saya berpuasa sebagai perantau. Ramadhan kali ini saya diuji oleh Tuhan tanpa henti. Hanya kesabaran menjadi pengubatnya. Ramadhan berbaki 20 hari lagi. Masih kuatkah saya menghadapi kesemua cabaran yang Tuhan utuskan kepada saya?

Ujian pertama dimulai dengan pemergian Pak Su iaitu di saat seluruh umat Islam sedang menghitung detik menyambut 1 Ramadhan. Pak Su pergi meninggalkan kami tanpa sebarang pesan. Pak Su tinggalkan kami saat kami sedang nyenyak tidur kepenatan. Pak Su tinggalkan kami secara sendirian. Tiada seorang pun anggota keluarga disisi Pak Su di ambang sakaratul maut mejemput. Kami redha.

Ujian kedua pula, lutut saya berterusan mengalami kesakitan yang maha dasyat. Apatahlagi saya bergerak tanpa henti. Memanjat tangga-tangga kejayaan setiap hari, berjalan berpuluh-puluh kilometer saban minit, mengusung badan ke hulu ke hilir demi segulung kejayaan. Kesakitan menyengat tiap saat. Saya terus bersabar. Tidak saya khabarkan pada kedua orang tua. Cukuplah. Saya tidak mahu mereka bersusah-payah untuk saya. Hanya berbekalkan ubat penahan sakit, saya paksa diri untuk terus bertahan. Walhalnya ubat itu tidak sedikit pun memberi kesan. Malahan anggota saya yang satu itu terus-terusan kesakitan.

Ujian ketiga. Secara tiba-tiba saya mengalami kesakitan di bahagian jantung. Saya anggap itu serangan jantung kerana saya belum pernah terkena serangan seumpama itu. Menyucuk-nyucuk sakitnya. Jantung saya berdegup begitu kencang persis pelari yang baru menamatkan larian. Saya cuma memikirkan apa kesudahan kepada kesakitan yang saya alami. Saya terus membayangkan diri saya di ambang kematian. Bermalam-malam tidur saya tidak nyenyak. Sakit teramat, Tuhan saja yang tahu.  Menurut salah seorang dari pensyarah yang rapat dengan saya, Cik Izaati, saya mengalami petanda awal stress kecil. Saya akui saya sememangnya stress di permulaan semester akhir lagi.

Dalam berperang dengan kesakitan, saya terpaksa menghadapi tugasan-tugasan kehendak pensyarah, menjawab beraneka Quiz, berkejaran ke sana ke mari, berkorban jiwa dan raga untuk kelancaran kelas saya. Saya pasrah. Saya melakukan kesemuanya dengan penuh rela walaupun terkadang jiwa saya sendiri terseksa menghadapi kerenah mereka. Saya terus mengukir senyuman penuh kepahitan. 


Namun saya percaya, Tuhan hanya menguji bersesuai dengan kemampuan hamba-Nya. Jika ini semua balasan atas segala salah silap saya pada masa lau, saya redha. Ujian-ujian inilah yang terus menguatkan saya. Dan saya tersangat pasti, setiap ujian ada HIKMAHNYA. Wallahua'lam..



Selamat Berbuka :)

*Besok saya akan menjalani satu shooting untuk iklan kampus saya. Iklan berbentuk promosi kos yang sedang saya pelajari. Doakan kelancaran saya berdialog di esok hari.. :D

Thursday, August 4, 2011

Kucupan Terakhir Buat Pak Su (1)

Assalamualaikum..

Entry saya masih lagi berkisar tentang Pak Su. Hari Rabu tiga minggu lalu iaitu 20 Julai 2011, adik meninggalkan pesanan di kotak mailbox saya. Pesanan yang menyentapkan tangkai hati saya.

"Kak, Pak Su dah tak sedar. Kondisi makin teruk. Malam ni Mak Tok tunggu di hospital.."

Saya terkaku.

Lantas saya terus menekan nombor telefon bonda di skrin telefon paling mahal di dunia kurniaan Mr. T.  Agak kurang ringkas jawapan bonda.

"Badan Pak Su membengkak. Pak Su dah tak sedar. Esok kakak habis kelas mak pi ambik."

Keesokkannya, saya pulang. Pulang terus ke hospital, menuju 'rumah' Pak Su kini. Tapi bukan lagi wad CRW, tapi Pak Su sudah berpindah ke wad CCU. Saya tabahkan hati. Tidak mahu bersangka buruk. Minggu lalu, ketika hari saya melawat Pak Su bersama-sama Mr. T dan bonda, Pak Su sudah nampak segar. Malah Pak Su dengan agak berselera menghirup air 100 Plus yang kami bawa. Pak Su bersembang dengan kami. Pak Su berkenalan dengan Mr. T, bakal anak saudaranya.

Namun, saya tidak boleh terus menerpa ke arah katil Pak Su. Wad CCU dikawal dengan penuh rapi. Hanya dua orang pelawat sahaja yang dibenarkan masuk melawat dalam satu-satu masa. Ya kami harus akur dengan arahan itu demi memastikan kesihatan Pak Su. Jam 4.30 petang, tiba waktu melawat. Saya masuk bersama adik sepupu saya, Atikah melawat Pak Su. Ya Allah! Hanya perkataan itu sahaja yang keluar dari bibir saya. Pak Su sememangnya tidak sedarkan diri. Mesin penyambung hayat yang membingitkan telinga dipasang di kiri dan kanan katil Pak Su. Dada Pak Su berselirat dengan wayar. Mulut Pak Su disumbat dengan wayar bersais dua kali ganda getah paip biasa! Kaki dan tangan Pak Su diikat di penghadang katil. Badan Pak Su membengkak. Mustahil dalam masa tidak sampai seminggu saya tidak menjenguk Pak Su, Pak Su sudah se'gemuk' itu!! Alunan ayat suci Al-Quran dipasang dibilik yang menempatkan sekujur jasad Pak Su itu. Saya segara menutup mulut yang akan mengeluarkan tangis pada bila-bila masa sahaja. Empangan mata saya penuh dan hampir melimpah. Saya sebak. Terkaku. Saya usap-usap belakang tangan bengkak Pak Su. Saya usap-usap perlahan-lahan, saya mahu Pak Su tahu kehadiran saya. Saya renung Pak Su lama-lama. Mutiara jernih mengalir perlahan-lahan, tapi bukan dari kelopak mata sederhana besar saya, tapi dari kelopak mata Pak Su yang terpejam rapat...

Adakah Pak Su sedar kehadiran kami? Apakah Pak Su sedang menanggung sakit yang teramat sampaikan mengalirkan air mata jantannya yang belum pernah saya lihat seumur hidup saya. Saya tidak sanggup berlama-lamaan menyeksa Pak Su sebegitu. Saya pasti Pak Su boleh mendengar dengan jelas setiap pertuturan kami. Saya pegang lengan Atikah, mengajaknya keluar dari ruangan itu. Dada saya memang akan pecah menanggung sebak begini. Sekejap sahaja saya tinggalkan Pak Su, sudah begitu keadaannya? Saya keliru. Mengapa begitu cepat sekali Pak Su berubah?

Saya keluar dari ruangan itu dan menyertai kaum keluarga yang lain yang sudah beberapa hari berkampung di hadapan CCU. Masing-masing mula berbincang tahap kesihatan Pak Su. Masing-masing mengeluarkan pendapat sendiri, adakah Pak Su patut ditebuk lehernya untuk membuang kahak yang beku sepertimana yang disarankan tuan doktor. Saya membisu. Tidak tahu apa yang harus dilafazkan. Apatah lagi untuk menyusun ayat berbunga-bunga seperti sedia kala di saat keadaan genting seperti ini. Saya menangis semahunya. Tersedu-sedan menahan tangis. Saya masih terbayangkan keadaan Pak Su pada hari pertama dimasukkan ke CRW 14 Julai lalu. Saya masih terbayangkan renungan mata Pak Su yang penuh kesakitan dan kesukaran. Saya masih terbayangkan kepayahan Pak Su bernafas dengan sendiri. Saya masih terbayangkan keperitan Pak Su menghirup minuman yang saya bawa untuknya. Saya masih terbayangkan Pak Su terpaksa membongkokkan tubuh kurusnya berkali-kali demi membolehkannya menyedut nafas sendiri. Saya masih terbayangkan semua itu. Hanya saya yang lihat keadan Pak Su ketika itu. Saya masih tidak dapat melupakan renungan Pak Su kepada saya, berterima kasih mungkin, kerana saya mengiringinya ke wad CRW dan memeluk pakaian lusuhnya. Saya tidak dapat lupakan. Tersekat-sekat saya bercerita kepada ahli keluarga yang lain. Harapan saya cuma satu. Saya cuma mahu Pak Su sedar semula dan kami boleh merapatkan hubungan kembali seperti zaman kanak-kanak dahulu.

*******************************************************

Minggu kedua Pak Su di CCU (28 Julai 2011), saya pulang lagi menziarahinya. Mr. T juga turut serta sekali lagi. Alhamdulilah. Saya gembira. Pak Su sudah sedar. Pak Su nampak sihat sepenuhnya, cuma Pak Su tidak mampu untuk berdiri dan masih dipantau rapi. Pak Su segera melambai setelah ternampak susuk tubuh saya menuju ke bilik kecilnya. Saya membalas lambaian itu seadanya. Saya hadiahkan senyuman penuh keikhlasan kepada Pak Su, harapan saya Pak Su akan segera sembuh. 

Saya kucup tangan Pak Su. Sudah bertahun saya tidak mengucup tangan itu. Pak Su tersenyum dalam kepayahan. Namun wajah Pak Su sememangnya nampak segar. Andaian saya esok atau lusa Pak Su mesti akan dibenarkan keluar dari wad itu dan bebas menyedut udara segar seperti biasa. Becok mulut saya bertanya itu dan ini kepada Pak Su. Gelojoh saya bertanya keadaan Pak Su. Tidak sabar-sabar saya menyelak kain selimut yang menutupi tangan kiri Pak Su. Tapi saya pelik, kenapa Pak Su hanya menggeleng dan mengangguk sahaja menjawab pertanyaan demi pertanyaan dari saya? Kadang-kadang Pak Su menggoyang-goyangkan tangan demi menjawab tembakan soalan saya. Pak Su menunjukkan tangannya yang masih bengkak. Saya memicit-micit kaki Pak Su. Pak Su menggoyang-goyangkan tangannya lagi. Kenapa Pak Su??

"Kakak, Pak Su tak boleh nak cakap"

Mak Tok menjawab persoalan-persoalan yang menerjah akal saya sedari tadi. Sekali lagi saya terkaku. Sampai begitu sekali??? Kenapa tiba-tiba sahaja Pak Su tidak boleh bercakap?

~tempat kami berkampung saban minggu~


*Entry akan di sambung..

Monday, August 1, 2011

Alfatihah Buat Pak Su

Assalamualaikum..

Pak Su saya sudah kembali ke Rahmatullah tepat 1.45 am, 31 Julai 2011. Arwah Pak Su selamat disemadikan pada pukul 2.00 petang. Semoga Pak Su tenang di sana setelah menghadapi episod kesakitan yang menyeksakan..

Al-Fatihah buat arwah Pak Su. Selamat 'berehat' buat Pak Su.
 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design