Thursday, November 29, 2012

Pregnancy Journey

Assalamualaikum...
Fuhhhh memula nak senyum je panjang-panjang macam jalan keretapi Perlis-Johor... Lama gila tak merepek meraban kat dada blog yang paling dicintai ni.. Harini baru 'seru' itu sampai setelah agak berkurun lama..

Kemana daku menghilang?

Oh! Tidak menghilang ke mana-mana. Hanya mengasuh diri ini untuk sesuai dan serasi dengan kehidupan yang maha baru dan serba-serbi harus dipelajari.

Meh nak story-mory sikit apa benda yang nampak macam complicated sangat tu kan..

*Mei 2012*

Melalui fasa-fasa terawal alam rumah tangga. Tak rasa langsung macam dah kahwin. Rasa macam zaman dok bercenta dulu jugak. Kadang-kadang main buat sesuatu sesedap hati ja. Lupa yang geran dari tangan ayah dah bertukar. Keadaan masa ini agak kelam-kabut dengan status baru apatah lagi mengamalkan PJJ. Suami di Kedah, daku di Perak. Seminggu habis hampir seribu campur tolak kos tol-minyak-penginapan-makan dan segala bagai hal remeh-temeh. Tapi alhamdulilah, semuanya serba sempurna. Kadang-kadang sampai seminggu suami jadi warga Perak. Sebut saja homestay atau hotel sekitar pekan Taiping atau Kemunting, boleh dikatakan hampir semuanya kami pernah menginap. Last-last jumpa homestay paling murah di abad ini. Hanya RM10 untuk satu malam!! Tak percaya? Itulah hakikatnya. Selesa dan jimat kot. Kami pun buat keputusan jadi penghuni tetap homestay ni saban minggu :) 

*Jun 2012*

Masa ni beban kerja makin bertambah. Kadang-kadang terfikir nak benti keja dan jadi suri rumah sepenuh masa. Lagi sempurna rasanya sebab dekat dengan suami dan family. Pastu kos jugak boleh jimat-sejimatnya. Almaklumlah ada dua rumah. Perbelanjaan berganda. Jiwa dan raga terseksa. Pertengahan bulan Jun, dok rasa sengal-sengal badan dan sakit pinggang tahap gaban. Hairan bin ajaib. Petanda kanser,kah ini? Mula dok imagine macam-macam..haha Nak buat apa pun semua jadi malas. Kerja jugak jadi tak fokus. Hari-hari dok buat ratapan nasib kat suami. Dah tak tahan sangat pi la satu kelinik kat depan kolej tu. Doc tanya, sakit apa? Aku pun jawab sakit pinggang. Doc tu tanya, pernah accident, kena pukul atau jatuh? Memang sah la pernah. Kan ke aku pernah buat kuak kura-kura 4 tahun lepas sampai patah tangan tu..huhu Cek sana cek sini dok pun macam dah buntu. Buat urine test, "Tahniah, dah nak masuk 6 minggu" senyum-senyum doc tu. Hah?? Aku ternganga, encik somi lagi besar mulut dia. Sejujurnya tak ready!

*Julai 2012*

Rasa agak tertekan. Mana dengan baru nak ceburi alam isteri, nak terokai alam family baru, ni nak kena berlatih alam keibuan pulak. Syukur tak dapat muntah-muntah macam orang lain. Cuma tak lalu makan sampai air kering dalam badan. Dok menghitung hari ja, bila la nak tamat kontrak kerja ni. Tak sabar nak balik dok dekat dengan family. Nak-nak pulak dah masuk bulan posa. Lagi-lagi tak bertenaga. Somi hari-hari dok garu kepala tak gatal. Bini dia dah tak lalu makan. Berat badan bini habis dia serap dan kesudahannya dia yang jadi belon. Raya pun rasa tak seronok. Letih tak bermaya.

*Ogos 2012*

Fuh! Lega kontrak kerja dah tamat dan tak disambung! Memang plan nak benti keja terus kalau kontrak bersambung sebab dah dak daya dok jauh-jauh dari somi dalam keadaan macam ni. So episod kehidupan baru pun bermula. Mula jadi suri rumah tak dak tangga, sepenuh masa dan jiwa raga. Nasi langsung tak lalu. Malam-malam demand nak makan roti canai. Terpaksalah pak cik tu pi beratur beli roti canai. Sapa tak sayang bini oii.. Rasa alam perkahwinan tu lebih nikmat bila dok sekali ni. Sempurna dan tak lagi caca-marba..

*September 2012*

Dok rasa tak percaya lagi betul ka dah nak jadi mommy?? Sedara-mara, sepupu-sepapat, sahabat rapat pun macam dok konfius jugak. Paling seksa makan makin tak lalu. Sampaikan baju dan seluar zaman pap ye-ye dulu boleh pakai balik. Bila jalan-jalan sendiri ada ja jejaka-jejaka dok curi-curi pandang lagi..Muka serius kuncup. Rasa cun la pulak kurus camni..haha Somi hari-hari dok pesan, dah ada laki oii jangan dok perasan sangat.

*Oktober 2012*

Masa ni muka, kaki, perut dah mula membengkak. Muka dah back to normal. Kembang sa-taman. Kaki dah macam donut terlebih yis. Tupun bila orang tegur daku mati-matian menafikan. Konon memang kaki aku jenis camni. Sedar-sedar kasut habis tak muat! Time nak keluar rumah ja mula susah hati tak dak kasut dah nak pakai. Tapi makan masih dok tak lalu walaupun baby dah mula menari-nari, mak dia dok lembik macam tapai basi lagi.. Aduhaiiii... Dapat tabiat baru pulak. Makanan yang ada di rumah tak kira la rumah sendiri ka, rumah family ka rumah mentua ka, semua tak ada selera. Makanan kat restoran dan kedai-kedai luar ja yang dok teringin dan lalu sikit makan..hehe

*November 2012*

Kaki dan jari-jemari tangan membengkak dengan jayanya. Kasut dari sais 6 dah jadi sais 9. Ada satu pagi tu pi beli nasi lemak kat depan rumah, makcik nasi lemak tu tanya, dok tunggu hari ka? Gulp! Tersedak macam tertelan guli besar ibu jari. Lambat lagi makcik oiii... Ni penangan bertiga, bukan berdua makcik..hehe Besar sangatkah daku? Mampus nak maintain balik lepas ni. Makan tolak batu, kayu dengan besi ja. Yang lain semua hentam. Tiap-tiap malam wajib 2 menu. Kadang-kadang dah hentam burger sebijik, tapi mata dok jeling-jeling burger encik somi punya sampai naik juling lagi. Haru..haru..

Tu la dulu kot nak cerita. Panjang lagi ni. Tak larat nak duduk dah. Lenguh pinggang segala bagai dahni. Tambah-tambah ada yang dok buat aksi akrobatik ni. Lapar agaknya. Esok lusa sambung lagi. Daaa...

Thursday, June 28, 2012

Aku Terima Nikahnya..

Assalamualaikum.......

Tiba-tiba saya kembali muncul di ruangan ni. Tanpa di duga idea datang secara menggila. Maaf. Itu seharusnya perkataan pertama yang sepatutnya menjadi permulaan di ruangan ini.
Lewat masa ini, saya langsung tiada waktu untuk bermain dengan ayat berbunga-bunga dan super bombastik seperti sediakala. Mahu saya kongsikan di sini, status sudah berubah kini. Dari kanak-kanak yang hanya tahu bergembira, menjadi gadis remaja yang penuh impian di dada. Kini saya sedang mengulit bahagia mengisi fasa-fasa penting bagi membolehkan saya dilabelkan sebagai seorang wanita yang berjaya.



Wassalam.. :)

Monday, April 2, 2012

Betapa Aku Rindu Pada Baju Loreng..


Wira-wirawati harapan bangsa
Tiba masa pasti berjaya
Kita sahut cabaran
Bergerak seiringan
Demi mencapai wawasan

Kenali rakan pelbagai budaya
Selami warisan kita yang kaya
Bersama bergandingan
Tiada perbezaan
Kita warga Malaysia


Assalamualaikum..
Memulakan entry dengan senang hati. Menyanyi suka-suki. Pernahkah kamu-kamu terdengar lagu di atas? Lagu tema untuk PLKN di setiap kem latihan seluruh Malaysia.. Terus terang aku katakan, aku sedang menanggung rindu yang mendalam terhadap baju rasmi PLKN, BAJU LORENG!!

Pelik? Ya memang pelik. Pelik tetapi benar. Aku sedang merindui baju yang tebal dan panas itu. Aku sedang dan teramat merindui baju yang berwarna biru, putih, dan hitam itu. Rindu pada kawan-kawan, rindu saat berdiri tegak di bawah terik mentari membiarkan wajah rentung terbakar bagaikan malam tanpa bulan dan bintang, rindu berlari-lari bagai sekumpulan itik kembali ke kandang, dan yang pasti tersangat rindu DI DENDA BERKAWAD KAKI TANPA HENTI bagaikan pendatang! Sungguh. Kenangan itu amat mengusik perasaan hinggakan tanpa sedar mengundang tangis yang berpanjangan.

19 Mac 2006, tarikh penting yang tidak dapat dilupuskan dari kotak memori kecilku ini. Tarikh di mana aku bergelar seorang Wirawati. Tarikh di mana aku belajar erti kesabaran, semangat berkumpulan, semangat persabahatan, dan yang paling penting belajar mengepos surat cinta berkajang-kajang panjangnya (Al-maklumlah bercinta dengan penghulu a.k.a ketua pelatih..kehkehkeh)..

Kem Syruz, Bukit Mertajam, Pulau Pinang menjadi saksinya.

Kem Syruz dalam kenangan..
See betapa segaknya aku berbaju loreng dengan kasut yang berat. Perkara yang paling penting untuk kalian perhatikan, betapa kurus kedingnya daku tika dan waktu ini!
~Miss u guys~


*Walaupun bercampur pelbagai bangsa dan agama, kami dilatih untuk tidak berpuak-puak dan menghapuskan semangat perkauman! Tetapi bermula kejadian sepanjang Ramadhan lalu, aku mula 'memangkah' keturunan itu. Wassalam..

Saturday, March 17, 2012

Selamat Sudah Kawanku Kawen!

Sekejapan sahaja seminggu sudah salah seorang sahabat akrab saya, Nurul Nadia Mazlan selamat di ijab qabulkan dengan pasangannya Syafiq Amin. Sedang berbulan madu di awan biru hendaknya. Nadia sahabat saya (merangkap teman pi makan di hotel saban minggu, teman pi beli makan kat cafe tak kira masa, teman sekelas, teman memanjat tangga-tangga kejayaan, teman seusia, teman ketawa, teman gila-gila, teman bercerita, teman kerja kumpulan, teman jumpa pensyarah, dan segala-galanya yang berkaitan dengan 'teman'). :D

Tanggal 10 Mac lalu, Nadia selamat dinikahkah setelah enam tahun menyulam rasa mengendong cinta (tapi betul ke enam tahun? Terkonfius di situ, mungkin tepat mungkin tidak nanti saya rujuk pada empunya cinta). Majlis pernikahan dan pernikahan Nadia ini menjadikan saya terasa amat dihargai. Dalam ramai-ramai rakan, Nadia memilih saya untuk menjadi pengapit dan mengapitnya sepanjang dua hari majlis berlangsung. Secara tepat, saya menandatangani kontrak sebagai pengapit selama 3 hari 2 malam. Sebenarnya sudah lama saya menantikan tawaran sebagai PENGAPIT. Al-maklumlah, pengapit juga tak kurang glamernya dengan pengantin (jenis gila glamer ni tak boleh nak cakap apa lagi dah). Mungkin atas faktor itu Nadia memilih saya untuk menjadi pengapit..hehe Apatahlagi saya belum bekerja setelah tamat pengajian 3 bulan lalu, jadi saya terima tawaran Nadia itu dengan hati yang melonjak-lonjak!

Majlis pernikahan dan persandingan berlangsung dalam suasana meriah. Pengantin dan keluarga sepakat memilih rona ungu sebagai tema. Saya seorang sahaja yang lari daripada tema. Nadia menetapkan pengapit memakai rona putih.
Malam sebelum berlangsung majlis pernikahan, Nadia diinaikan oleh MakSu. Merah jarinya, menaikkan mood pengantin :) Saya setia menanti di sisi. Belajar dan ambil pengalaman dari Nadia..hehe
Di hening pagi saya menemani Nadia ke A tu Z untuk disolekkan. Tengoklah, pengantin tidak cukup tidur angkara berjaga di malam hari menanti inai merah di jari.
Transformasi wajah Nadia. Berbeza dan naik seri, kan? Cantik. Giliran saya nanti entah bagaimana :p
Harap maap la yek. Pengapit tak sempat nak touch up. Bagi laluan kepada pengantin. Mr. T cakap, muka saya macam tak mandi. (Tak cukup tidur sebenarnya)
Sendu seorang isteri. Nadia pada mulanya hanya ketawa-ketawa, mungkin dihatinya langsung tida merasa apa-apa kerana bukan dia yang akan berjabat tangan dengan Qadi. Akhirnya, sendu berlagu juga. Satu perasaan yang hanya dirasai oleh mereka-mereka yang pernah dan telah melalui proses ijab dan qabul.
 Ciuman hormat dan kasih seorang isteri.
Ambil berkat dengan pengantin. Bila saya akan jadi pengantin begini? Dibawah ni pula gambar-gambar sekitar saya menjalankan tugas sebagai pengapit. Best sebenarnya jadi pengapit ni. Jadi kepada sesiapa yang memerlukan khidmat pengapit, jangan segan silu hubungi saya ye.

Buat Nadia dan Syafiq, saya doakan kalian aman bahagia hingga hujung nyawa, dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah dan sentiasa dilindungi oleh-Nya. 
Tahniah juga kepada Makcik Nab dan Pakcik Lan kerana terima menantu lagi, menantu lelaki tunggal dalam family. Terima kasih atas layanan kalian sekeluarga sepanjang saya menginap di sana. Terasa bagaikan family sendiri. 

(p/s : pengapit sampai demam-demam. Tak kisahlah, janji saya puas hati dapat menaburkan bakti..)

Sunday, February 26, 2012

Bilik Terakhir Seorang Banduan..

FAKTA YG SANGAT MENGEJUTKAN......harus semua ambil iktibar... SEBAB_SEBAB KENAPA PENJARA PUDU DITUTUP...???!!! Berlaku di Penjara Pudu Kuala Lumpur di suatu ketika dulu. Hanya boleh disebarkan pada orang2 tertentu sahaja... Sebelum Penjara Pudu ditutup dulu pernah diceritakan bahawa terdapat satu bilik dipanggil "Bilik Terakhir". Dibilik inilah seringnya berlaku kejadian pelik sejak Penjara Pudu ditutup. Dinamakan "BILIK TERAKHIR " adalah kerana dulu ia merupakan bilik kediaman terkahir bagi si pesalah jenayah berat sebelum menjalani hukuman gantung sampai mati pada keesokan harinya dibilik gantung.. Di BILIK TERAKHIR inilah pesalah dikatakan akan meratap,menangis, menjerit, bercakap seorang diri dan berbagai lagi perlakuan kerana menyesali kesalahan mereka yang lalu. Mereka menjadi begitu kerana dikatakan tidak kuat semangat menghadapi maut keesokan harinya yang telah diketahui mereka. Menurut kata warden-warden yang masih ada di Penjara Pudu sewaktu proses pengosongan Penjara Pudu dijalankan, mereka sering terdengar suara-suara sayu meminta tolong, suara orang menangis dan bermacam-macam lagi dari Bilik Terakhir tesebut. Tak kurang juga ada diantara warden yang terlihat seekor kambing hitam sering masuk menembusi pintu bilik itu tanpa dibuka dan kemudian tidak pula kelihatan kambing keluar semula. Ramai bomoh dan pawang yang dipanggil bagi memulihkan bilik tersebut mengatakan bahawa suara-suara yang sering kedengaran diwaktu malam dari Bilik Terakhir itu adalah akibat roh-roh pesalah yang mati ditali gantung tersebut tidak tenteram kerana mati mereka ditali gantung. Nak dijadikan cerita pada suatu malam Jumaat ketika hujan renyai-renyai seorang warden telah ditugaskan mengawal kawasan yang berhampiran dengan "Bilik Terakhir" itu. Ketika sedang berkawal kira-kira lebih kurang pukul 01:00 pagi beliau terdengar seperti tapak kaki sedang berlari-lari berhampiran bilik tersebut. Ia cuba beranikan diri untuk untuk melihat apakah bendanya itu.Sedang ia mengamat-amati maka terlihatlah dalam kesamaran seekor kambing hitam sedang menuju kearah Bilik Terakhir itu lalu lesap begitu saja. Ia berasa harian bagaimana seekor kambing boleh ada dikawasan itu? Oleh kerana ingin tahu ia beranikan juga diri menghampiri Bilik Terakhir itu. Alangkah terperanjatnya mendapati pintu bilik itu telah bertukar menjadi pintu gua. Mulalah ia berasa gementar, seram serta menggigil ketakutan namun diberanikan juga diri memasuki pintu gua yang samar-samar itu sambil meninjau- ninjau didalamnya jika terlihat akan kambing tadi. Apabila sampai je kedalam gua tersebut alangkah terperanjatnya ia bila didapati banyak harta karun dalamnya. Ia cuba mengambil harta itu tetapi tiba-tiba hilang dari pandangan lalu menjelmalah satu lembaga yang meFB ngerikan seraya berkata, "Heyyyyyy manusiaaa. Jangan awak sentuh harta itu. Hartaaaa itu bukan kauuu yang punyaaaa " " Pakkkkkktammmm Gennnduttttt yang punyaaaa!! " Ha Ha Ha Ha Ha " Yaaaaaaa, Paktammm Gendutttt yang punyaaaaaa ... " udah tuuuuuuuuu.. ...... peeee buat keja........ ......... ..... Tahniah kerana minat membaca.


p/s:-aku pun terkena... :-D
~story asal, kredit to FB Kelab Anak Kedah

Friday, February 24, 2012

Perginya Seorang Seniman (2)

Diam tak diam seminggu sudah Brirasa pergi meninggalkan nama. Pergi meninggalkan dunia nyata. Pergi meninggalkan karya. Pergi meninggalkan keluarga. Pergi menghadap Maha Pencipta. Pergi sejauh-jauhnya. Pergi selama-lamanya. Pergi yang tak akan kembali. Pergi tinggalkan anak dan isteri. Pergi yang terus diratapi hingga kini.

Sejujurnya aku turut merasakan kehilangan. Keakraban yang terjalin antara keluarga kami mewujudkan rasa 'kehilangan' itu. Ralatnya disini, aku tidak berkesempatan memberikan penghormatan terakhir kepada Brirasa. Pada malam dikhabarkan berita pemergian beliau, aku tidak terdaya mencelikkan mata kerana baru sahaja terlena. Terlena dalam kepenatan otak berfikir untuk mencambahkan idea bagi sesi Makroteaching untuk melayakkan aku bergelar seorang pensyarah di sebuah kolej. Sementara di hari pengebumian beliau pula, aku sedang bertungkus-lumus menghasilkan slide presentation untuk sesi makroteaching itu. Ralat. Sungguh. Benar-benar ralat.

Hanya selepas empat hari pemergiannya, baru aku berkesempatan berkunjung ke istana tinggalan Brirasa. Istana yang kerap kali aku kunjungi disambut dengan senyuman lelaki romantis itu. Senyuman itu seakan ada. Aku dapat merasakannya di segenap ruang istana itu. Namun hampa. Brirasa ternyata sudah tiada.

Terasa mahu pecah empangan air mata 'batu' ku ini demi mendengar ceritera detik-detik akhir Brirasa menyedut udara dunia. Berkaca mata Mak Cik Norma (balu Brirasa) saat kisah itu disampaikan ke telingaku. Brirasa pergi mudah sekali. Tidak sakit berbulan-bulan jauh sekali menyusahkan orang. Hanya sakit dada dan sesak nafas dan secara perlahan disedari beliau sudah lemah longlai di pegangan isteri dan seorang jiran yang cuba menenangkannya. Bukan semua orang punya 'nikmat' kematian seperti itu. Pemergian mengejut itulah yang membuatkan sahabat-handai, rakan taulan dan seluruh isi alam ini yang mengenali beliau serasa bagaikan terkena renjatan elektrik! Kami benar-benar terkejut. 

Brirasa pergi meninggalkan seorang isteri, dua orang cucu yang belum mengerti erti kehilangan, dan tiga orang anak yang harus tabah demi seorang mama.

Siapa Brirasa?

Brirasa dan Pak Cik Sabri dalam entry sebelum ini adalah insan yang sama tiada beza. Brirasa nama penanya. Sabri Hashim nama sebenar-benarnya.
~Brirasa berbaju maroon~


~Suara sinis melabelkan blog ini sebagai blog 'kematian' dek kerana banyaknya cerita 'kematian' kenalan mahupun keluarga terdekat aku paparkan disini. Biarlah...

Tuesday, February 14, 2012

Perginya Seorang Seniman

Malam ini terasa amat dingin sekali. Hujan turun seketika cuma tetapi menghantarkan rasa dingin yang tiada taranya. Usai saling membalas salam dengan Mr.T, aku rebahkan kepala di atas tilam. Aku biarkan kepala tidak berbantal sambil lengan terus melekap di dahi. Aku membuang pandangan kosong ke siling rumah. Hakikatnya mataku sudah mengantuk benar tapi peliknya aku masih berjaga. Jarum jam merangkak ke angka 12.30am. Otakku masih ligat berfikir dan membayangkan apa yang akan terjadi dalam sesi 16 Februari ini. Berdebar-debar menanti tibanya hari itu. Ada apa dengan 16 Februari nanti? Biarlah menjadi rahsia dahulu. Tanpa sedar, aku terlelap juga.

1.15am : Tidurku terganggu. Nyanyian telefon tangan milik bonda nyaring menusuk telinga dan mendebarkan dada. Aku pantas mencelikkan mata walaupun tidak seluas mana. Suara bonda memecahkan kesunyian malam. Entah siapa-siapa yang membuat panggilan awal pagi begini.

"Innalillahirojiun.. Bila?" Nada terkejut dari suara bonda menambahkan getaran di dada. Mataku terbuka seluas-luasnya. Benakku sesak. Siapa meninggal??

"Awat?" Suara adik pula bertanya bonda. Pastinya tidur adik juga terganggu dek panggilan itu.

"Mizah call, Pak Cik Sabri dah meninggal." Innalillah.. 

**************************************************************

Pak Cik Sabri adalah kenalan keluargaku. Aku mengenalinya seawal usiaku lima tahun. Kami pernah tinggal berjiran di daerah Sik suatu ketika dahulu. Hubungan kekeluargaan antara kami amat akrab sekali persis saudara sendiri sedangkan hakikatnya kami langsung tiada pertalian darah hatta setitispun! Keluargaku dan keluarganya kerap mengadakan trip bersama.

Tanggal 13 Januari lalu, sekali lagi ayah dan Pak Cik Sabri berpakat membawa keluarga bercuti ke Cameron Hinglands. Aku lantas memberitahu bonda, aku tidak inginkan lagi percutian seumpama itu ke Cameron dengan alasan sudah bosan. Kini hatiku dipagut pilu. Ya. Tidak akan ada lagi trip yang seumpama itu kerana Pak Cik Sabri sudahpun dijemput pulang menghadap Ilahi setelah genab separuh abad usianya. Kenangan-kenangan yang tercipta sebelum ini kembali menembusi ruangan mata. Usik-mengusik dan gurau-senda kami bakal menjadi memori yang tak akan dilupa.

Pak Cik Sabri seorang seniman yang berbakat. Karyanya kerap menghiasi dada-dada akhbar mahupun majalah, malahan nukilan sajaknya pernah dibukukan. Aku amat mengagumi bakatnya itu. Hanya karya berjilidnya, JEJAK ANA, sahaja yang terus kekal bersama kami yang masih tinggal di dunia.

Pak Cik Sabri, kami pasti merinduimu dan yang pastinya kehendakku telah dimakbulkan olehNya. Tidak akan ada lagi percutian kita bersama. Semoga engkau damai di sana. Semoga engkau tenang di negeri abadi itu. Kami pasti menyusulimu nanti.

Al-Fatihah.

Wednesday, February 1, 2012

Dahlah Hitam, Tak Sedar Diri..!

Assalamualaikum.

Relaks kawan-kawan. Entry ini bukanlah bertujuan untuk mengutuk sesiapa, tetapi saya cuba untuk membuka minda sesetengah individu yang terlalu takut untuk mengenakan pakaian yang terang-benderang warnanya. Sudah agak lama sebenarnya saya memerhatikan senario ini. Lazimnya kita boleh lihat, yang dianugerahkan kulit cerah akan mengenakan pakaian yang terang bulan, manakala yang dianugerahkan kulit gelap sekadar berani untuk memakai pakaian yang malap-malap sahaja. Saya tahu ramai juga kalangan berkulit 'tan' ini berani menyuaipadankan warna pakaian, tetapi hanya segelintir sahaja.

Saya pernah terdengar perbualan sepasang sahabat ketika menaiki bas Jengka Liner menuju ke Alor Setar lewat masa dulu. Mencuri dengar sebetulnya.

"Kenapa kau tak nak beli baju oren tadi? Aku tengok cantik sangat dan sepadan dengan kau design dia" Si A memulakan bicara.

"Tak naklah. Macam tak ngam la dengan warna kulit aku. Kau tak apalah, kulit cerah. Nanti tak pasal-pasal saja kawan-kawan gelakkan aku. Kau tahu, dulu aku pernah pakai warna merah terang masa jadi pengapit kakak aku kahwin. Aku terdengar salah seorang ahli keluarga mertua kakak aku cakap, 'Eh, dahlah hitam, pakai terang-terang pula. Tak sedar diri betullah adik si Nana tu'."  Agak panjang lebar Si B membalas persoalan Si B.

Kepala saya tergeleng-geleng. Kebetulan pula keadaan bas yang sedang bergerak ketika itu agak terhuyung-hayang, kalau tidak nescaya penumpang di sebelah saya akan kehairanan demi melihat kepala saya yang tergeleng tanpa irama secara tiba-tiba :p

Saya menoleh ke sisi, cuba untuk melihat 'kehitaman' yang dimaksudkan Si B. Namun kepekatan malam membantutkan penglihatan saya. Setelah itu saya terlena dan hanya tersedar ketika bas berhenti di Perhentian Parit Buntar, Perak. Tidur saya terganggu dek kesilauan lampu dalam bas yang dinyalakan dengan terangnya. 
Saya lihat, kedua rakan yang duduk di seat bersebelahan saling berpelukan dan berpamitan. Seorang berkulit gelap persis gadis India, dan seorang lagi pula berkulit gelap persis gadis keturunan Cina. Tahulah saya yang mana satu si A dan yang mana satu Si B. Saya perhatikan penampilan Si B. Beliau mengenakan blause dan skirt warna hitam, dan tudung berbunga-bunga kecik, juga warna hitam! Betapa kasihannya saya pada gadis itu.

Bas kembali meneruskan perjalanan setelah Si B dan beberapa penumpang menamatkan perjalanan mereka. Jam menunjukkan angka 3 pagi. Mata saya terasa tidak mengantuk lagi. Saya kembali terfikirkan perbualan yang saya dengar tadi. Betapa Si B trauma dengan warna. Ingatan saya terkenangkan salah seorang bekas guru saya ketika di sekolah menengah dahulu, Puan Ara. Puan Ara juga tidak dianugerahkan kulit cerah sepertimana Si B. Namun, sehari-harian Puan Ara akan bermain dengan warna. Pakaiannya terang-terang belaka dan menyilaukan mata. Puan Ara memang berani dalam soal warna.

Kata-kata Puan Ara masih terngiang-ngiang di gegendang telinga saya hingga kini.

"Orang memang suka mengutuk kurniaan Ilahi terhadap kita. Tapi satu ja, kalau orang berkulit cerah sahaja boleh pakai baju terang, jawabnya sampai matilah manusia hitam macam saya ni kena pakai baju gelap! Kulit saya takkan tukar warna sampai bila-bila!"

Tabik hormat untuk Puan Ara!

Monday, January 30, 2012

Kadangkala Penulisan Harus Berehat Seketika.

Assalamuaikum..
Sudah 22 hari sepi dari dunia penulisan. Bukan lari bersembunyi, sekadar muhasabahkan diri dan menghabiskan masa bersama keluarga dengan cara yang berkualiti. Dunia penulisan terpaksa 'direhatkan' buat sementara waktu. Apakah ada yang ternanti-nanti hasil karya penulisanku yang tidak seberapa ini? Ahhh. Entah siapa-siapa diri ini.
Dalam tempoh 22 hari lalu, kebanyakkan waktu dihabiskan dengan berfikir dimana kekurangan diri dan mencari sekiranya lembaran peribadi carik dimana-mana dan perlu ditampal dengan lembaran yang berbaur lebih positif. Saya juga mengambil kesempatan bercuti ke tempat kegemaran ayah bonda - Cameron Highlands yang sudah hilang kesejukkan dek kerana pesatnya pembangunan. Turutkan sahaja kemahuan ayah bonda yang inginkan percutian berkualiti kami sekeluarga.
Memenuhi jemputan kenduri-kendara sanak saudara. Welcome to the family Sis Adura! Selamat Pengantin Baru Sis Adura dan Kapten Farid.. Semoga berbahagia hendaknya..

Isnin minggu lalu juga mencatatkan memori duka kepada keluarga Datin Zaiton (besan nenda) yang telah dijemput pulang menghadap Maha Pencipta, juga keluarga arwahyarham Zainol Abidin (saudara sebelah ayah, saya gelar Tok Cik Bidin) yang juga telah kembali kepada-Nya. 

Al-Fatihah. 


Sunday, January 8, 2012

Pertemuan Mengusik Jiwa : Wanita Itu Cerminku Di Usia Senja

Semalam, usai menunaikan fardhu Maghrib aku pantas mengenakan hijab di kepala. Sementara menanti ketibaan family Makcik Norma dan Mr. T, ada misi yang perlu aku laksanakan. Misi yang memerlukan aku ambush pasar malam Taman Nuri. Ayah mengarahkan aku pergi membeli durian untuk disajikan kepada tetamu sebentar lagi. Belum sempat melangkah keluar, kedengaran seperti ngauman motosikal dimatikan di laman rumah dan serentak dengan itu lafaz salam berkumandang dari luar. Aku, mak, dan ayah saling berpandangan. Siapa datang?

Emak membuka pintu. Emak seakan terpinga-pinga kerana tidak mengenali tetamu yang hadir. Aku turut sama menyibukkan diri. Sepasang suami isteri datang dengan menunggang sebuah motosikal lusuh. Ayah menjenguk ke muka pintu.

"Pak Njang!! Mai masuk Pak Njang, Mak Njang..!" Kedengaran ayah bersuara menyapa tetamu. Gembira campur terkejut. Ayah menyambut mereka di muka pintu.

Pak Njang? Pak Njang mana? Aku cukup prihatin terhadap kesemua sanak-saudara tidak kira dari sebelah emak mahupun sebelah ayah. Namun mengapa raut wajah lelaki yang ayah gelar 'Pak Njang' itu tidak pernah aku lihat selama 23 tahun 21 hari aku hidup di muka bumi ini?? Siapakah gerangan lelaki itu?? Rupa lelaki itu seakan-akan Tok Ayah (datukku di sebelah ayah), kulitnya juga sama - hitam manis. Mungkinkah adik Tok Ayah?

"Kakak, Adik, mai salam. Ni Tok Njang, adik Tok Ayah!" Suara ayah membuatkan tanda seruan yang terlompat-lompat dibenakku habis bersepai. Benarlah, itu adik Tok Ayah. Namun seumur hidupku, inilah kali pertama aku bertemu empat mata dengannya.

Aku menghulurkan tangan dan tunduk tertib mencium tangan lelaki itu. Aku tersenyum mesra memandang Tok Njang. Terasa kasih pantas meresap ke dalam jiwa. Entah mengapa aku rasa kasihan melihat lelaki itu.

"Ni yang sulung." Ayah memperkenalkanku kepada Tok Njang suami isteri. Aku lantas meminta diri untuk terus ke pasar malam. Pastinya ruang yang aku tinggalkan untuk mereka akan merungkai segala rindu dendam setelah lama tidak bersua. Baru aku teringat sesuatu. Mak Tok (nenekku di sebelah ayah) dan emak pernah bercerita tentang seorang 'adik Tok Ayah' yang sering menghilangkan diri. Mengapa dia menghilangkan diri? Hanya Tok Njang saja yang tahu jawapannya. Semenjak itu aku dan sepupu-sepupuku sibuk berbincang dan tertanya-tanya bagaimana rupa adik Tok Ayah yang satu itu. Antara kami semua, tidak ada seorang pun yang pernah melihat wajah Tok Njang. Pertemuan dengan Tok Njang yang tidak dijangka itu sememangnya mengusik jiwaku.

Aku pulang dengan membawa 12 biji durian. Mr. T membuka kesemua durian itu dan dihidangkan kepada tetamu. Sambil menikmati hidangan makan malam,

"Macam muka Kak Yam," Kata isteri Tok Njang sambil memandangku. Kak Yam yang dimaksudkan ialah nendaku. Aku hanya ketawa. Tidak dapat disangkal lagi kerana sememangnya itulah hakikatnya. Aku sememangnya mirip nenda. Aku bagaikan cermin nenda di usia muda. Aku mewarisi nenda dalam banyak perkara. Baik dari segi paras rupa, tona kulit mahupun suara. Sikapku juga banyak yang diwarisi dari nenda. Pergilah ke mana sahaja, aku tidak akan terlepas dari menerima komen seumpama itu.

Cuma Mr. T sahaja yang tidak mengakuinya. Katanya nenda lebih lembut dariku sedangkan aku kepala batu! Sebenarnya Mr. T tidak pernah tahu, kepala batu itulah yang aku warisi dari nenda sebenar-benarnya!
~sama tak??~
Ini pula Tok Ayah..

Saturday, January 7, 2012

Seringkali Lelaki Itu Mengundang Rasa Sebakku..

"Kakak, nak broadband tak? Ayah nak tidur dah.." Perlahan ayah bertanya.

"Ayah sudah guna dah ke?" Aku jawab pertanyaan ayah juga dengan jawapan berbentuk pertanyaan.

"Laptop ayah tak boleh nak guna. Tak apalah, kakak guna ja la. Lagipun ayah dah mengantuk."

Modem broadband CELCOM itu bertukar tangan. Dahiku sedikit berkerut. Laptop tak boleh connect? Dah tu selama berjam-jam aku tengok ayah tekun mengadap skrin, ayah sekadar memandang skrin kosong atau main game?? Aku tahu ayah berbohong kerana mata ayah tampak masih segar.

"Laptop kakak boleh guna, ayah ambil la," pelawaku.

"Tak apalah. Ayah tidur dulu," seraya itu ayah menutup pintu biliknya.

Aku terpaku. Persoalan demi persoalan mula menyerang mindaku. Kenapa dan mengapa ayah tidak menggunakan sahaja komputer ribaku sedangkan sememangnya komputer riba milik ayah tidak boleh disambungkan talian? Adakah ayah merasa segan untuk menggunakan barangan anaknya ini? Baranganku juga adalah milik ayah. Tiba-tiba rasa sebak menggebu di jiwaku. Sikap ayah memang begitu. Ayah tidak suka menyusahkan anak-anaknya. Anak-anak ayah tidak pernah tahu jika ayah dalam kesusahan.

Semalam, aku dalam kesusahan. Aku ingin keluar mengambil angin dengan seorang rakan tapi tidak punya wang. Lalu, sewenang-wenangnya aku minta pada ayah, "Ayah, nak duit sikit." Tanpa banyak bicara, ayah menghulurkan sekeping not merah dan sekeping not biru air laut laut menjadikan jumlahnya RM60. Aku langsung lupa mengucapkan terima kasih! Anak jenis apakah aku ini??

Bagaimana agaknya kehidupanku sekiranya ayah sudah tiada lagi? Aku rapat dengan mak, tetapi aku manja dengan ayah. Aku menangis dan terus menangis mengenangkan segala pengorbanan ayah menyara pengajianku tanpa mengeluh. Tangisanku seakan tidak mahu berhenti demi membaca kiriman SMS ayah yang tidak akan aku padam sampai bila-bila :

"Ayah bangga betul dengan anak ayah ni. Semoga dapat anugerah Hari Konvo nanti."

Itu reaksi ayah sebaik sahaja aku memberitahunya tentang keputusan peperiksaan semester akhirku, 3.77. Empangan air mataku mengalir lesu setiap kali mengulangi membaca kiriman mesej itu. Aku tahu ayah berbangga denganku. Pastinya ayah sentiasa mengharapkan begitu. Apa agaknya perasaan ayah sekiranya keputusan peperiksaanku sekadar 'atas pagar' sahaja? Aku sedih. Sedih memikirkan hingga kini aku masih belum dapat menghulurkan belanja untuk mak dan ayah kerana belum bekerja. Sedih memikirkan sekiranya tidak sempat berbakti untuk mereka.. :'(

Aku terdengar ayah batuk. Aku tahu ayah masih belum tidur..

Imbasan 2011

Catatan pertama di tahun baru. Masih belum terlambat nak ucapkan Selamat Tahun Baru untuk semua. Semoga kita menjadi insan yang lebih beriman berbanding tahun sebelumnya. Sepatutnya imbasan diisi di 'helaian' terakhir lembaran 2011, namun dek kerana kelembapan line internet, jadi tak boleh la nak kenang-kenang kejadian dan peristiwa sepanjang 2011.

Antara yang manis di tahun 2011 :
 *Bergelar tunangan orang.. :)
*Berjaya menamatkan latihan praktikal dengan keputusan Cemerlang..
 *Kembali bertemu rakan sepermainan..
 *Aidilfitri di Kedai Mamak!
 *Kelahiran Nurul Najihah :)
*Family Gathering..
*Besday Party kecil-kecilan..
Yang pahit :
*Kehilangan arwah Pak Su akibat komplikasi jantung..
~arwah bediri dan berbaju merah hati. Al-Fatihah~
p/s : Kalau pandai, tilik gambar di atas dan cari saya yang mana.. haha :p
 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design