Friday, February 24, 2012

Perginya Seorang Seniman (2)

Diam tak diam seminggu sudah Brirasa pergi meninggalkan nama. Pergi meninggalkan dunia nyata. Pergi meninggalkan karya. Pergi meninggalkan keluarga. Pergi menghadap Maha Pencipta. Pergi sejauh-jauhnya. Pergi selama-lamanya. Pergi yang tak akan kembali. Pergi tinggalkan anak dan isteri. Pergi yang terus diratapi hingga kini.

Sejujurnya aku turut merasakan kehilangan. Keakraban yang terjalin antara keluarga kami mewujudkan rasa 'kehilangan' itu. Ralatnya disini, aku tidak berkesempatan memberikan penghormatan terakhir kepada Brirasa. Pada malam dikhabarkan berita pemergian beliau, aku tidak terdaya mencelikkan mata kerana baru sahaja terlena. Terlena dalam kepenatan otak berfikir untuk mencambahkan idea bagi sesi Makroteaching untuk melayakkan aku bergelar seorang pensyarah di sebuah kolej. Sementara di hari pengebumian beliau pula, aku sedang bertungkus-lumus menghasilkan slide presentation untuk sesi makroteaching itu. Ralat. Sungguh. Benar-benar ralat.

Hanya selepas empat hari pemergiannya, baru aku berkesempatan berkunjung ke istana tinggalan Brirasa. Istana yang kerap kali aku kunjungi disambut dengan senyuman lelaki romantis itu. Senyuman itu seakan ada. Aku dapat merasakannya di segenap ruang istana itu. Namun hampa. Brirasa ternyata sudah tiada.

Terasa mahu pecah empangan air mata 'batu' ku ini demi mendengar ceritera detik-detik akhir Brirasa menyedut udara dunia. Berkaca mata Mak Cik Norma (balu Brirasa) saat kisah itu disampaikan ke telingaku. Brirasa pergi mudah sekali. Tidak sakit berbulan-bulan jauh sekali menyusahkan orang. Hanya sakit dada dan sesak nafas dan secara perlahan disedari beliau sudah lemah longlai di pegangan isteri dan seorang jiran yang cuba menenangkannya. Bukan semua orang punya 'nikmat' kematian seperti itu. Pemergian mengejut itulah yang membuatkan sahabat-handai, rakan taulan dan seluruh isi alam ini yang mengenali beliau serasa bagaikan terkena renjatan elektrik! Kami benar-benar terkejut. 

Brirasa pergi meninggalkan seorang isteri, dua orang cucu yang belum mengerti erti kehilangan, dan tiga orang anak yang harus tabah demi seorang mama.

Siapa Brirasa?

Brirasa dan Pak Cik Sabri dalam entry sebelum ini adalah insan yang sama tiada beza. Brirasa nama penanya. Sabri Hashim nama sebenar-benarnya.
~Brirasa berbaju maroon~


~Suara sinis melabelkan blog ini sebagai blog 'kematian' dek kerana banyaknya cerita 'kematian' kenalan mahupun keluarga terdekat aku paparkan disini. Biarlah...

0 comments:

Post a Comment

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design