Wednesday, February 1, 2012

Dahlah Hitam, Tak Sedar Diri..!

Assalamualaikum.

Relaks kawan-kawan. Entry ini bukanlah bertujuan untuk mengutuk sesiapa, tetapi saya cuba untuk membuka minda sesetengah individu yang terlalu takut untuk mengenakan pakaian yang terang-benderang warnanya. Sudah agak lama sebenarnya saya memerhatikan senario ini. Lazimnya kita boleh lihat, yang dianugerahkan kulit cerah akan mengenakan pakaian yang terang bulan, manakala yang dianugerahkan kulit gelap sekadar berani untuk memakai pakaian yang malap-malap sahaja. Saya tahu ramai juga kalangan berkulit 'tan' ini berani menyuaipadankan warna pakaian, tetapi hanya segelintir sahaja.

Saya pernah terdengar perbualan sepasang sahabat ketika menaiki bas Jengka Liner menuju ke Alor Setar lewat masa dulu. Mencuri dengar sebetulnya.

"Kenapa kau tak nak beli baju oren tadi? Aku tengok cantik sangat dan sepadan dengan kau design dia" Si A memulakan bicara.

"Tak naklah. Macam tak ngam la dengan warna kulit aku. Kau tak apalah, kulit cerah. Nanti tak pasal-pasal saja kawan-kawan gelakkan aku. Kau tahu, dulu aku pernah pakai warna merah terang masa jadi pengapit kakak aku kahwin. Aku terdengar salah seorang ahli keluarga mertua kakak aku cakap, 'Eh, dahlah hitam, pakai terang-terang pula. Tak sedar diri betullah adik si Nana tu'."  Agak panjang lebar Si B membalas persoalan Si B.

Kepala saya tergeleng-geleng. Kebetulan pula keadaan bas yang sedang bergerak ketika itu agak terhuyung-hayang, kalau tidak nescaya penumpang di sebelah saya akan kehairanan demi melihat kepala saya yang tergeleng tanpa irama secara tiba-tiba :p

Saya menoleh ke sisi, cuba untuk melihat 'kehitaman' yang dimaksudkan Si B. Namun kepekatan malam membantutkan penglihatan saya. Setelah itu saya terlena dan hanya tersedar ketika bas berhenti di Perhentian Parit Buntar, Perak. Tidur saya terganggu dek kesilauan lampu dalam bas yang dinyalakan dengan terangnya. 
Saya lihat, kedua rakan yang duduk di seat bersebelahan saling berpelukan dan berpamitan. Seorang berkulit gelap persis gadis India, dan seorang lagi pula berkulit gelap persis gadis keturunan Cina. Tahulah saya yang mana satu si A dan yang mana satu Si B. Saya perhatikan penampilan Si B. Beliau mengenakan blause dan skirt warna hitam, dan tudung berbunga-bunga kecik, juga warna hitam! Betapa kasihannya saya pada gadis itu.

Bas kembali meneruskan perjalanan setelah Si B dan beberapa penumpang menamatkan perjalanan mereka. Jam menunjukkan angka 3 pagi. Mata saya terasa tidak mengantuk lagi. Saya kembali terfikirkan perbualan yang saya dengar tadi. Betapa Si B trauma dengan warna. Ingatan saya terkenangkan salah seorang bekas guru saya ketika di sekolah menengah dahulu, Puan Ara. Puan Ara juga tidak dianugerahkan kulit cerah sepertimana Si B. Namun, sehari-harian Puan Ara akan bermain dengan warna. Pakaiannya terang-terang belaka dan menyilaukan mata. Puan Ara memang berani dalam soal warna.

Kata-kata Puan Ara masih terngiang-ngiang di gegendang telinga saya hingga kini.

"Orang memang suka mengutuk kurniaan Ilahi terhadap kita. Tapi satu ja, kalau orang berkulit cerah sahaja boleh pakai baju terang, jawabnya sampai matilah manusia hitam macam saya ni kena pakai baju gelap! Kulit saya takkan tukar warna sampai bila-bila!"

Tabik hormat untuk Puan Ara!

0 comments:

Post a Comment

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design