Friday, November 11, 2011

Putus Sudah Hubungan Kasih Sayang..

11 Februari 2010..

Satu tarikh yang tidak mungkin akan saya lupakan sampai kapan pun.. Secara tiba-tiba DIA pergi meninggalkan dunia nyata. Saya kelam tanpa cahaya bagai layang-layang terputus talinya kelu tidak mampu berbicara. Saya benar-benar kehilangan punca.

Seminggu sebelum khabar duka itu singgah ke telinga, tidur saya tidak lena. Jantung kecil ini berdegup kencang tanpa hentinya. Saya kegelisahan tidak keruan. Saya tertanya-tanya sendirian kenapa dan mengapa berkeadaan sedemikian. Tapi persoalan itu terbang tanpa menemui noktahnya. Saya buntu mencari jawapan. Rupa-rupanya saya alpa. Saya alpa bahawa Tuhan sentiasa berpegang pada janji-Nya !

Tidak terjangkau dek akal saya bahawa itu adalah petanda jasadnya bakal berpisah dari nyawa. Langsung saya tidak pernah menyangka saya akan kehilangan DIA buat selama-lamanya. Tiada siapa akan menyangka, tanpa sakit yang berbahaya, kala kudratnya masih terus gagah mengasuh keturunan-keturunannya, masih sporting melayan setiap butir bicara saya, masih bersuara merdu mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dan berzanji di majlis-majlis keramaian, di suatu Subuh yang hening itu dia pergi menghadap Pencipta.

Kenapa DIA berbohong?? DIA berjanji untuk tersenyum di hari perkahwinan saya. DIA berjanji untuk mendodoikan cicit-cicitnya. Kenapa harus DIA berbohong??

Sejujurnya, hubungan saya dan DIA tersangat akrab. Saya terlalu dimanja sehinggakan pernah satu ketika saya naik lemak. Saya ditatang bagai minyak yang penuh. DIA seorang yang garang, tetapi bersama saya garangnya itu seakan hilang.

Tika kain kafan membaluti tubuhnya sehelai demi sehelai, saya tabahkan hati. Buktinya tiada setitis pun air mata yang menitis. Namun di dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Saya kucup dahinya untuk kali terakhir. Entah bila lagi dahi itu dapat saya kucup.


Saya rindu... Rindu dengan usapannya. Rindu dengan tutur bicaranya. Rindu dengan kemesraannya. Semoga DIA tenang 'berehat' di  sana.

~arwah nenda berbaju biru~

~Al-Fatihah buat arwah Nenda Saadiah bt Salleh.
4 Ogos 1944 - 11 Februari 2010~

Saturday, November 5, 2011

Mana Gambar Berdua??

Ramai yang berulang-ulang kali bertanya saya soalan yang sama,
"Mana gambar berdua??"

'Berdua' dalam erti kata lain, gambar saya berdua-duaan bersama dengan Mr. T. Acap kali pula saya bertanya diri sendiri, "Untuk apa mereka bertanya?"

Apakah diatas sekeping gambar yang ada wajah kita bersama pasangan itu dapat menunjukkan nilai cinta sejati?

Sebetulnya saya amat malu untuk mempamerkan foto kami berdua untuk tatapan umum sebelum tiba masanya. Saya juga menjadi malu sendiri setiap kali terlihat foto 'mesra' pasangan yang lain. Tidak perlulah menunjukkan gambar yang tidak sepatutnya kepada umum kononnya andalah pasangan terhebat dan paling bahagia abad ini.

Tak dinafikan kami adalah pasangan yang paling kurang bergambar berdua. Ruang kesempatan berjumpa selalunya diisi dengan melakukan perkara-perkara berfaedah dan ternyata dalam agenda kami tidak ada langsung agenda khusus untuk 'mempotretkan wajah'. Mr. T amat liat kala diajak bergambar. Bohonglah kalau saya katakan kami tiada langsung gambar berdua. Ada. Tapi cukuplah untuk simpanan peribadi dan saya tidak akan sekali-kali 'mempromosi' gambar-gambar itu untuk tontonan umum jika sekadar menagih pujian demi pujian daripada khalayak yang mengatakan "Wah. Pasangan yang sepadan." Bukan pujian seperti itu yang saya dambakan.

Untuk Mr. T,

Selamat Ulang Tahun Yang Ke-25.
Semoga terus dilimpahkan rezeki yang berlipat kali ganda dan terus dikurniakan kesihatan yang berpanjangan.
 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design