Friday, November 11, 2011

Putus Sudah Hubungan Kasih Sayang..

11 Februari 2010..

Satu tarikh yang tidak mungkin akan saya lupakan sampai kapan pun.. Secara tiba-tiba DIA pergi meninggalkan dunia nyata. Saya kelam tanpa cahaya bagai layang-layang terputus talinya kelu tidak mampu berbicara. Saya benar-benar kehilangan punca.

Seminggu sebelum khabar duka itu singgah ke telinga, tidur saya tidak lena. Jantung kecil ini berdegup kencang tanpa hentinya. Saya kegelisahan tidak keruan. Saya tertanya-tanya sendirian kenapa dan mengapa berkeadaan sedemikian. Tapi persoalan itu terbang tanpa menemui noktahnya. Saya buntu mencari jawapan. Rupa-rupanya saya alpa. Saya alpa bahawa Tuhan sentiasa berpegang pada janji-Nya !

Tidak terjangkau dek akal saya bahawa itu adalah petanda jasadnya bakal berpisah dari nyawa. Langsung saya tidak pernah menyangka saya akan kehilangan DIA buat selama-lamanya. Tiada siapa akan menyangka, tanpa sakit yang berbahaya, kala kudratnya masih terus gagah mengasuh keturunan-keturunannya, masih sporting melayan setiap butir bicara saya, masih bersuara merdu mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran dan berzanji di majlis-majlis keramaian, di suatu Subuh yang hening itu dia pergi menghadap Pencipta.

Kenapa DIA berbohong?? DIA berjanji untuk tersenyum di hari perkahwinan saya. DIA berjanji untuk mendodoikan cicit-cicitnya. Kenapa harus DIA berbohong??

Sejujurnya, hubungan saya dan DIA tersangat akrab. Saya terlalu dimanja sehinggakan pernah satu ketika saya naik lemak. Saya ditatang bagai minyak yang penuh. DIA seorang yang garang, tetapi bersama saya garangnya itu seakan hilang.

Tika kain kafan membaluti tubuhnya sehelai demi sehelai, saya tabahkan hati. Buktinya tiada setitis pun air mata yang menitis. Namun di dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Saya kucup dahinya untuk kali terakhir. Entah bila lagi dahi itu dapat saya kucup.


Saya rindu... Rindu dengan usapannya. Rindu dengan tutur bicaranya. Rindu dengan kemesraannya. Semoga DIA tenang 'berehat' di  sana.

~arwah nenda berbaju biru~

~Al-Fatihah buat arwah Nenda Saadiah bt Salleh.
4 Ogos 1944 - 11 Februari 2010~

0 comments:

Post a Comment

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design