Sunday, September 18, 2011

Kucupan Terakhir Buat Pak Su (2)

Assalamualaikum..

Seperti yang saya janjikan, saya sambung entry Kucupan Terakhir Buat Pak Su ini.. Meskipun kelewatan, saya gagahi jua memetik satu-persatu papan kekunci demi memastikan entry ini sempurna dan pembacaan kalian tidak tergendala dan dipenuhi tanda tanya. Seperti kebiasaan, masa tidak pernah memberi ruang kepada saya. Tambahan pula, lewat masa ini, saya diuji oleh Tuhan tanpa hentinya hingga membuatkan saya hampir berputus asa. Astagfirullahalazim.. Nantilah, saya akan ceritakan satu hari nanti apa yang terjadi kepada saya lewat masa ini. Biarlah kes ini selesai hingga kebenaran benar-benar terbukti. Saya redha dengan setiap ujian dan dugaan yang menghampiri dan meresapi ini. Saya tahu Allah sentiasa mendengar dan menerima doa orang yang teraniaya seperti saya.

*******************************************************************

30 Julai 2011 : Hai ini saya tidak melawat Pak Su. Mementingkan diri mungkin. Fikir saya, semalam sudah melawat dan keadaan Pak Su stabil. Alah, sekejap lagi pindah wad biasa la tu. Jahatnya fikiran saya. Atas alasan itu jugalah saya menolak dengan baik pelawaan Mak Teh untuk ke hospital. Saya tinggal di rumah bersama bonda. Setelah matahari terbenam, seluruh keluarga pulang. Kata mereka Pak Su nampak teruk berbanding semalam (hari saya melawat Pak Su bersama Mr. T). Air minuman yang disediakan Pak Su suruh tuangkan ke dalam singki. Sememangnya dia tidak mahu. Hanis mula menunjukkan riak malas untuk menunggu di hadapan Wad CCU malam itu, tidak diketahui sebabnya. Penat barangkali kerana setiap malam dia sahaja yang menunggu keseorangan di sana dalam kesejukan dan kepayahan tanpa tilam dan bantal empuk untuk merehatkan badan.

Malam itu, entah mengapa sukar sungguh mata untuk dilelapkan sedangkan hampir 120 minit saya berada di atas pembaringan. Puas saya pusing ke kiri dan ke kanan. Sementelah Putera Nyamuk sekalian dengan tidak semena-mena berperang di kaki dan telinga saya waktu itu. Jam kian menghampiri 1.00 pagi. Namun bebola mata saya masih bulat dan segar, tiada tanda-tanda mahu terpejam. Seluruh isi rumah sudah lena dibuai mimpi. Ada yang tertidur kepenatan, dan ada yang tertidur dalam ketidakselesaan. Kecuali adik sepupu saya, Hakim, yang masih setia di depan kaca TV. Saya bangun, memetik plug dan memasang laptop. Saya segera menjenguk ruangan muka buku dan menyemak kotak emel. Namun tiada yang berkepentingan. Lantas saya mencapai henfon Samsung di sisi, cuba mengganggu tidur Mr. T, dengan harapan beliau terjaga dan rela melayan kerenah saya di pagi-pagi buta begitu. Namun saya hampa, tiada balasan mahupun sebarang jawapan dari beliau. Ternyata beliau tidur dalam kepulasan. Saya kembali ke pembaringan dan cuba memujuk mata supaya lekas terpejam. Saya tidak mahu kehilangan nikmat tidur. Badan saya benar-benar sudah penat. Waktu itu, jarum jam sudahpun pukul 1.45 pagi. Betapa degilnya sang mata, tidak mahu terpejam walau sedetik. Namun, setelah dipujuk, sang mata tewas juga. Saya terlelap.

2.00 pagi : Bonda mengejutkan ayah dari tidur.

"Bangun, pihak hospital telefon. Depa suruh waris pi hospital"

Saya turut terjaga. Jantung saya mula berdedup kencang. Suasana rumah yang lebih sesak dari tin sardin sudah terang benderang. Saya termanggu sendirian. Kepala mula pusing dek kerana tidur yang tidak sampai beberapa minit. Persoalan demi persoalan mula memenuhi ruang akal fikiran saya. Atas dasar apa pihak hospital menelofon awal pagi begini, melainkan yang membabitkan kematian? Saya meraup muka berkali. Janganlah ada yang tidak baik berlaku kepada Pak Su tika ini, doa saya di dalam hati.

Bonda kejutkan pula Mak Teh dan Pak Teh yang tidur di ruang tamu, mengkhabarkan berita yang sama. Tergesa-gesa mereka bangun dan terus ke hospital membawa Mak Tok yang kerisauan. Saya menghantar mereka ke muka pintu dan kembali ke pembaringan. Sekali lagi saya mengganggu Mr. T, mengkhabarkan betapa jantung saya berdegup kencang waktu itu dan saya tahu ada sesuatu yang tidak baik bakal berlaku. Sekali lagi SMS saya tiada jawapan. Saya buntu. Mata saya kembali terang.

Dalam kegelisahan, saya menghantar pula pesanan SMS Hanis. Saya menagih jawapan darinya.

"Tak tau pasai apa. Tadi nak masuk dalam guard Raja tu tak bagi. Dia kata depa tengah cuci. Ada apa-apa nanti aku mesej lain"

Jawapan yang tidak pasti saya terima daripada balasan SMS Hanis. Tapi tengah cuci apa tengah-tengah malam begini, melainkan........ Arghhh saya tidak mahu memikirkan hingga ke tahap itu.

Tidak sampai sepuluh saat, henfon saya bergetar sekali lagi. SMS dari Hanis yang membuatkan saya terduduk tidak mampu berkata-kata dan menambahkan getaran di jiwa.

"Kak, Pak Su dah tak ada..."

Innalillahi wa inna ilaihirojiun..Serentak itu juga bonda menghubungi saya, juga mengkhabarkan berita yang sama. Bonda juga meminta saya mengejutkan 'adik-adik' yang masing-masing nyenyak di pembaringan. Saya mula diburu penyesalan kerana tidak melawat Pak Su semalam.. Maafkan saya, Pak Su.. :(

Jenazah Pak Su selamat tiba di Sungai Layar sebelum azan Subuh berkumandang.. Akhirnya Pak Su kembali ke kampung halamannya. Kembali ke rumah beliau dibesarkan dengan penuh perhatian dan kasih sayang. Kembali bertemu dengan sahabat handai dan saudara-mara jauh dekat, namun Pak Su kaku di pembaringan.. Pak Su tidak mampu bertanya khabar mereka yang datang menziarahinya...

*sekali lagi penulisan saya tergendala. Di lain waktu saya akan teruskan bicara.. Wassalam..

0 comments:

Post a Comment

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design