Tuesday, February 14, 2012

Perginya Seorang Seniman

Malam ini terasa amat dingin sekali. Hujan turun seketika cuma tetapi menghantarkan rasa dingin yang tiada taranya. Usai saling membalas salam dengan Mr.T, aku rebahkan kepala di atas tilam. Aku biarkan kepala tidak berbantal sambil lengan terus melekap di dahi. Aku membuang pandangan kosong ke siling rumah. Hakikatnya mataku sudah mengantuk benar tapi peliknya aku masih berjaga. Jarum jam merangkak ke angka 12.30am. Otakku masih ligat berfikir dan membayangkan apa yang akan terjadi dalam sesi 16 Februari ini. Berdebar-debar menanti tibanya hari itu. Ada apa dengan 16 Februari nanti? Biarlah menjadi rahsia dahulu. Tanpa sedar, aku terlelap juga.

1.15am : Tidurku terganggu. Nyanyian telefon tangan milik bonda nyaring menusuk telinga dan mendebarkan dada. Aku pantas mencelikkan mata walaupun tidak seluas mana. Suara bonda memecahkan kesunyian malam. Entah siapa-siapa yang membuat panggilan awal pagi begini.

"Innalillahirojiun.. Bila?" Nada terkejut dari suara bonda menambahkan getaran di dada. Mataku terbuka seluas-luasnya. Benakku sesak. Siapa meninggal??

"Awat?" Suara adik pula bertanya bonda. Pastinya tidur adik juga terganggu dek panggilan itu.

"Mizah call, Pak Cik Sabri dah meninggal." Innalillah.. 

**************************************************************

Pak Cik Sabri adalah kenalan keluargaku. Aku mengenalinya seawal usiaku lima tahun. Kami pernah tinggal berjiran di daerah Sik suatu ketika dahulu. Hubungan kekeluargaan antara kami amat akrab sekali persis saudara sendiri sedangkan hakikatnya kami langsung tiada pertalian darah hatta setitispun! Keluargaku dan keluarganya kerap mengadakan trip bersama.

Tanggal 13 Januari lalu, sekali lagi ayah dan Pak Cik Sabri berpakat membawa keluarga bercuti ke Cameron Hinglands. Aku lantas memberitahu bonda, aku tidak inginkan lagi percutian seumpama itu ke Cameron dengan alasan sudah bosan. Kini hatiku dipagut pilu. Ya. Tidak akan ada lagi trip yang seumpama itu kerana Pak Cik Sabri sudahpun dijemput pulang menghadap Ilahi setelah genab separuh abad usianya. Kenangan-kenangan yang tercipta sebelum ini kembali menembusi ruangan mata. Usik-mengusik dan gurau-senda kami bakal menjadi memori yang tak akan dilupa.

Pak Cik Sabri seorang seniman yang berbakat. Karyanya kerap menghiasi dada-dada akhbar mahupun majalah, malahan nukilan sajaknya pernah dibukukan. Aku amat mengagumi bakatnya itu. Hanya karya berjilidnya, JEJAK ANA, sahaja yang terus kekal bersama kami yang masih tinggal di dunia.

Pak Cik Sabri, kami pasti merinduimu dan yang pastinya kehendakku telah dimakbulkan olehNya. Tidak akan ada lagi percutian kita bersama. Semoga engkau damai di sana. Semoga engkau tenang di negeri abadi itu. Kami pasti menyusulimu nanti.

Al-Fatihah.

6 comments:

  1. alfatihah..
    semoga rohnya dicucuri rahmat...

    ReplyDelete
  2. pemergian brirasa mendatangkan kenalan yg lain pula, nampaknya. saya dan kamu tak pernah kenal. tapi kita ada persamaan - mengenal dan menghargai brirasa a.k.a. pak cik sabri.

    ReplyDelete
    Replies
    1. patah tumbuh hilang berganti.. tapi hilangnya brirasa tiada galang ganti..semoga ukhuwah terus terjalin.. salam perkenalan :)terima kasih sudi singgah ke ruangan ini orang kertas..

      Delete
  3. Al-fatihah. ya, seperti orang kertas, tidak kita pernah mengenali, tetapi kita sama merasakan hilangnya dia. Antara kenalan yang saya hormati, walau rasanya tidak pernah bersua muka, kenal kami di skrin komputer dan esastera saja. salam kenal Nur, semoga arwah dalam golongan orang beriman. amin.

    tintasukma.

    ReplyDelete
    Replies
    1. alfatihah.. terima kasih buat tintasukma kerana sudi singgah ke paparan yang tidak seberapa ini..saya kenali beliau sedari kecil. sedari belum mengenal erti kehidupan lagi..salam kenal.semoga arwah tenang di sana. amin.. :)

      Delete

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design