Thursday, August 4, 2011

Kucupan Terakhir Buat Pak Su (1)

Assalamualaikum..

Entry saya masih lagi berkisar tentang Pak Su. Hari Rabu tiga minggu lalu iaitu 20 Julai 2011, adik meninggalkan pesanan di kotak mailbox saya. Pesanan yang menyentapkan tangkai hati saya.

"Kak, Pak Su dah tak sedar. Kondisi makin teruk. Malam ni Mak Tok tunggu di hospital.."

Saya terkaku.

Lantas saya terus menekan nombor telefon bonda di skrin telefon paling mahal di dunia kurniaan Mr. T.  Agak kurang ringkas jawapan bonda.

"Badan Pak Su membengkak. Pak Su dah tak sedar. Esok kakak habis kelas mak pi ambik."

Keesokkannya, saya pulang. Pulang terus ke hospital, menuju 'rumah' Pak Su kini. Tapi bukan lagi wad CRW, tapi Pak Su sudah berpindah ke wad CCU. Saya tabahkan hati. Tidak mahu bersangka buruk. Minggu lalu, ketika hari saya melawat Pak Su bersama-sama Mr. T dan bonda, Pak Su sudah nampak segar. Malah Pak Su dengan agak berselera menghirup air 100 Plus yang kami bawa. Pak Su bersembang dengan kami. Pak Su berkenalan dengan Mr. T, bakal anak saudaranya.

Namun, saya tidak boleh terus menerpa ke arah katil Pak Su. Wad CCU dikawal dengan penuh rapi. Hanya dua orang pelawat sahaja yang dibenarkan masuk melawat dalam satu-satu masa. Ya kami harus akur dengan arahan itu demi memastikan kesihatan Pak Su. Jam 4.30 petang, tiba waktu melawat. Saya masuk bersama adik sepupu saya, Atikah melawat Pak Su. Ya Allah! Hanya perkataan itu sahaja yang keluar dari bibir saya. Pak Su sememangnya tidak sedarkan diri. Mesin penyambung hayat yang membingitkan telinga dipasang di kiri dan kanan katil Pak Su. Dada Pak Su berselirat dengan wayar. Mulut Pak Su disumbat dengan wayar bersais dua kali ganda getah paip biasa! Kaki dan tangan Pak Su diikat di penghadang katil. Badan Pak Su membengkak. Mustahil dalam masa tidak sampai seminggu saya tidak menjenguk Pak Su, Pak Su sudah se'gemuk' itu!! Alunan ayat suci Al-Quran dipasang dibilik yang menempatkan sekujur jasad Pak Su itu. Saya segara menutup mulut yang akan mengeluarkan tangis pada bila-bila masa sahaja. Empangan mata saya penuh dan hampir melimpah. Saya sebak. Terkaku. Saya usap-usap belakang tangan bengkak Pak Su. Saya usap-usap perlahan-lahan, saya mahu Pak Su tahu kehadiran saya. Saya renung Pak Su lama-lama. Mutiara jernih mengalir perlahan-lahan, tapi bukan dari kelopak mata sederhana besar saya, tapi dari kelopak mata Pak Su yang terpejam rapat...

Adakah Pak Su sedar kehadiran kami? Apakah Pak Su sedang menanggung sakit yang teramat sampaikan mengalirkan air mata jantannya yang belum pernah saya lihat seumur hidup saya. Saya tidak sanggup berlama-lamaan menyeksa Pak Su sebegitu. Saya pasti Pak Su boleh mendengar dengan jelas setiap pertuturan kami. Saya pegang lengan Atikah, mengajaknya keluar dari ruangan itu. Dada saya memang akan pecah menanggung sebak begini. Sekejap sahaja saya tinggalkan Pak Su, sudah begitu keadaannya? Saya keliru. Mengapa begitu cepat sekali Pak Su berubah?

Saya keluar dari ruangan itu dan menyertai kaum keluarga yang lain yang sudah beberapa hari berkampung di hadapan CCU. Masing-masing mula berbincang tahap kesihatan Pak Su. Masing-masing mengeluarkan pendapat sendiri, adakah Pak Su patut ditebuk lehernya untuk membuang kahak yang beku sepertimana yang disarankan tuan doktor. Saya membisu. Tidak tahu apa yang harus dilafazkan. Apatah lagi untuk menyusun ayat berbunga-bunga seperti sedia kala di saat keadaan genting seperti ini. Saya menangis semahunya. Tersedu-sedan menahan tangis. Saya masih terbayangkan keadaan Pak Su pada hari pertama dimasukkan ke CRW 14 Julai lalu. Saya masih terbayangkan renungan mata Pak Su yang penuh kesakitan dan kesukaran. Saya masih terbayangkan kepayahan Pak Su bernafas dengan sendiri. Saya masih terbayangkan keperitan Pak Su menghirup minuman yang saya bawa untuknya. Saya masih terbayangkan Pak Su terpaksa membongkokkan tubuh kurusnya berkali-kali demi membolehkannya menyedut nafas sendiri. Saya masih terbayangkan semua itu. Hanya saya yang lihat keadan Pak Su ketika itu. Saya masih tidak dapat melupakan renungan Pak Su kepada saya, berterima kasih mungkin, kerana saya mengiringinya ke wad CRW dan memeluk pakaian lusuhnya. Saya tidak dapat lupakan. Tersekat-sekat saya bercerita kepada ahli keluarga yang lain. Harapan saya cuma satu. Saya cuma mahu Pak Su sedar semula dan kami boleh merapatkan hubungan kembali seperti zaman kanak-kanak dahulu.

*******************************************************

Minggu kedua Pak Su di CCU (28 Julai 2011), saya pulang lagi menziarahinya. Mr. T juga turut serta sekali lagi. Alhamdulilah. Saya gembira. Pak Su sudah sedar. Pak Su nampak sihat sepenuhnya, cuma Pak Su tidak mampu untuk berdiri dan masih dipantau rapi. Pak Su segera melambai setelah ternampak susuk tubuh saya menuju ke bilik kecilnya. Saya membalas lambaian itu seadanya. Saya hadiahkan senyuman penuh keikhlasan kepada Pak Su, harapan saya Pak Su akan segera sembuh. 

Saya kucup tangan Pak Su. Sudah bertahun saya tidak mengucup tangan itu. Pak Su tersenyum dalam kepayahan. Namun wajah Pak Su sememangnya nampak segar. Andaian saya esok atau lusa Pak Su mesti akan dibenarkan keluar dari wad itu dan bebas menyedut udara segar seperti biasa. Becok mulut saya bertanya itu dan ini kepada Pak Su. Gelojoh saya bertanya keadaan Pak Su. Tidak sabar-sabar saya menyelak kain selimut yang menutupi tangan kiri Pak Su. Tapi saya pelik, kenapa Pak Su hanya menggeleng dan mengangguk sahaja menjawab pertanyaan demi pertanyaan dari saya? Kadang-kadang Pak Su menggoyang-goyangkan tangan demi menjawab tembakan soalan saya. Pak Su menunjukkan tangannya yang masih bengkak. Saya memicit-micit kaki Pak Su. Pak Su menggoyang-goyangkan tangannya lagi. Kenapa Pak Su??

"Kakak, Pak Su tak boleh nak cakap"

Mak Tok menjawab persoalan-persoalan yang menerjah akal saya sedari tadi. Sekali lagi saya terkaku. Sampai begitu sekali??? Kenapa tiba-tiba sahaja Pak Su tidak boleh bercakap?

~tempat kami berkampung saban minggu~


*Entry akan di sambung..

0 comments:

Post a Comment

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design