Wednesday, August 10, 2011

Ramadhan Yang Penuh Cabaran

Salam Ramadhan semua..
Assalamualaikum w.b.t

Hari ini genab sepuluh hari kita menunaikan ibadah puasa. Sudah sepuluh hari juga Pak Su meninggalkan dunia nyata. Sudah sepuluh hari juga saya berpuasa sebagai perantau. Ramadhan kali ini saya diuji oleh Tuhan tanpa henti. Hanya kesabaran menjadi pengubatnya. Ramadhan berbaki 20 hari lagi. Masih kuatkah saya menghadapi kesemua cabaran yang Tuhan utuskan kepada saya?

Ujian pertama dimulai dengan pemergian Pak Su iaitu di saat seluruh umat Islam sedang menghitung detik menyambut 1 Ramadhan. Pak Su pergi meninggalkan kami tanpa sebarang pesan. Pak Su tinggalkan kami saat kami sedang nyenyak tidur kepenatan. Pak Su tinggalkan kami secara sendirian. Tiada seorang pun anggota keluarga disisi Pak Su di ambang sakaratul maut mejemput. Kami redha.

Ujian kedua pula, lutut saya berterusan mengalami kesakitan yang maha dasyat. Apatahlagi saya bergerak tanpa henti. Memanjat tangga-tangga kejayaan setiap hari, berjalan berpuluh-puluh kilometer saban minit, mengusung badan ke hulu ke hilir demi segulung kejayaan. Kesakitan menyengat tiap saat. Saya terus bersabar. Tidak saya khabarkan pada kedua orang tua. Cukuplah. Saya tidak mahu mereka bersusah-payah untuk saya. Hanya berbekalkan ubat penahan sakit, saya paksa diri untuk terus bertahan. Walhalnya ubat itu tidak sedikit pun memberi kesan. Malahan anggota saya yang satu itu terus-terusan kesakitan.

Ujian ketiga. Secara tiba-tiba saya mengalami kesakitan di bahagian jantung. Saya anggap itu serangan jantung kerana saya belum pernah terkena serangan seumpama itu. Menyucuk-nyucuk sakitnya. Jantung saya berdegup begitu kencang persis pelari yang baru menamatkan larian. Saya cuma memikirkan apa kesudahan kepada kesakitan yang saya alami. Saya terus membayangkan diri saya di ambang kematian. Bermalam-malam tidur saya tidak nyenyak. Sakit teramat, Tuhan saja yang tahu.  Menurut salah seorang dari pensyarah yang rapat dengan saya, Cik Izaati, saya mengalami petanda awal stress kecil. Saya akui saya sememangnya stress di permulaan semester akhir lagi.

Dalam berperang dengan kesakitan, saya terpaksa menghadapi tugasan-tugasan kehendak pensyarah, menjawab beraneka Quiz, berkejaran ke sana ke mari, berkorban jiwa dan raga untuk kelancaran kelas saya. Saya pasrah. Saya melakukan kesemuanya dengan penuh rela walaupun terkadang jiwa saya sendiri terseksa menghadapi kerenah mereka. Saya terus mengukir senyuman penuh kepahitan. 


Namun saya percaya, Tuhan hanya menguji bersesuai dengan kemampuan hamba-Nya. Jika ini semua balasan atas segala salah silap saya pada masa lau, saya redha. Ujian-ujian inilah yang terus menguatkan saya. Dan saya tersangat pasti, setiap ujian ada HIKMAHNYA. Wallahua'lam..



Selamat Berbuka :)

*Besok saya akan menjalani satu shooting untuk iklan kampus saya. Iklan berbentuk promosi kos yang sedang saya pelajari. Doakan kelancaran saya berdialog di esok hari.. :D

0 comments:

Post a Comment

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design