Monday, May 16, 2011

Akulah Cikgu !

Assalamualaikum semua :D
Agak lama menyepikan diri dari dunia blogger. Kesibukan sentiasa menghambat. Tuntutan sebagai pelajar sentiasa memendekkan waktu untuk bersama dengan papan kekunci mencoretkan segala yang terpendam di lubuk hati (walaupun tengah cuti sem dan hari-hari tekan papan kekunci menyiapkan report). Menyiapkan report praktikal ibarat menghamilkan sepasang bayi kembar. Berat dan sarat. Perlu sentiasa berhati-hati dan dijaga dengan rapi. Kelahiran 'bayi' itu dari ruang akal fikiran perlu sentiasa dibelai dan dimanja sepanjang masa. Ya. Itulah harga yang perlu dibayar sebagai seorang pelajar! Menyesal?? Tidak sama sekali.. (Tersenyum kepuasan. Report praktikal sudah hampir siap. Alhamdulilah).

*Peringatan! Entry kali ini agak panjang. Jika anda dilanda kebosanan, sila beralih ke blog lain. Bukan tujuan aku untuk membosankan kalian!*

16 Mei menjelma lagi. Setiap kali tarikh ini tiba pasti warga pendidik kembang kempis hidung masing-masing. Hari itu hari mereka. Hari itu hari mereka diraikan. Hari itu hari mereka tidak perlu mengajar. Hari itu hari mereka menanti ucapan demi ucapan dari anak didik. Hari itu hari mereka tersenyum kepuasan Hari itu hari mereka ketawa kegembiraan! Rasanya tidak perlulah aku membuang masa memberitahu satu dunia ada apa dengan 16 Mei. Tanyalah sesiapa saja, jawapannya tetap sama. 16 Mei Hari Guru Se-Malaysia.

Pengalaman berkhidmat sebagai seorang guru selama hampir setahun, membuatkan aku begitu menyayangi dan menyanjungi guru-guru sekalian. Baru aku mengerti keperitan yang mereka alami. Bukan mudah untuk mendidik anak bangsa. Apatahlagi anak didik dari kelas-kelas pemulihan. Bukan bertujuan untuk menghina keupayaan mereka. Tidak sama sekali. Tapi mendidik mereka memerlukan kesabaran yang maha tinggi. Sementelah aku guru yang tidak pernah menuntut di mana-mana institusi perguruan. Bak kata bonda, cikgu tak keluar dari kilang. Payah bukan? Aku tak punya sebarang basic mengajar. Hanya berbekalkan semangat untuk mengajar anak bangsa menjadi manusia terbilang.


Hari pertama aku menjadi guru, aku cuba untuk menjadi guru yang disenangi oleh murid-murid. Hari permulaan aku masuk bilik darjah, aku melemparkan senyuman perkenalan kepada mereka, dengan harapan hubungan aku dan mereka menjadi akrab! Tapi aku salah perhitungan. Guru kelas Dedikasi perlu mempamerkan wajah bengis! Tapi aku dah buat kesilapan yang besar dengan memberi senyuman! Terlajak kereta boleh undur, terlajak senyum apa lagi boleh buat. Selama menjadi guru di SK LANAI, BALING (Klik untuk ke laman blog Sk Lanai), aku diberi tanggungjawab untuk mengajar 5 kelas, iaitu dari kelas pertama hinggalah kelas terakhir. Cabaran. Aku perlu mengajar subjek English bagi kelas 2 Dedikasi, 2 Cerdik, dan 4 Dedikasi, subjek Muzik bagi kelas 3 Arif dan 3 Bestari. Manakala untuk subjek Pendidikan Seni sekali lagi aku bersama dengan 2 Dedikasi.


Setiap hari ketika sampai waktu untuk masuk kelas 2D, 2C, dan lebih-lebih lagi kelas 4D, hati aku pastinya akan berbelah bahagi. Semangat mengajar hanya tinggal 0.01 %. Bukannya aku tidak yakin mengajar, tapi murid-murid kelas itu tidak berminat langsung untuk belajar English! Setiap hari aku terpaksa memikirkan kaedah demi kaedah untuk membeli jiwa mereka. Pernah satu ketika aku masuk ke kelas 4 Dedikasi, hanya tinggal 6 orang sahaja dalam kelas! Dan pernah juga kesabaran aku meledak bagaikan gunung berapi di Indonesia sehinggakan di luar kewarasan aku menampar mereka seorang demi seorang!  (Terhenti menulis. Perasaan kasihan merajai diri ini. Maafkan cikgu. Betapa tidak matangnya cikgu ketika itu) Aku menangis setelah itu. Buntu memikirkan masa depan mereka.

Saban hari mereka menjadi mangsa perempuan yang mereka panggil 'Teacher' ini. Pernah juga aku membebel sepanjang 2 jam waktu pembelajaran. Sebabnya hanya satu, mereka tidak membuat tugasan yang aku berikan. Pernah juga aku menangis di hadapan mereka menzahirkan rasa yang maha kecewa dengan sikap mereka yang langsung tak mengendahkan pelajaran. Pernah juga mereka diherdik. Pernah juga mereka di pukul dengan pembaris besi. Pernah juga jemari mereka di ketuk dengan marker pen. Dan sudah menjadi lumrah mereka didenda bediri sebelah kaki di atas kerusi dengan menjunjung buku latihan. Kejamkah aku?

Maafkan cikgu sekali lagi. Cikgu tak berniat untuk menyakitkan kalian. Cikgu hanya hendak membentuk kalian menjadi insan berguna kelak, seringkali  kata-kata ini pemujuk hatiku yang dilanda penyesalan memarahi mereka, anak-anak daerah luar bandar yang baru hendak mengenal dunia. Ibarat ajen 007, aku mula merisik dan meminang cerita-cerita berkenaan kelas 4D. Aku dahagakan jawapan yang bersarang, mengapa dan kenapa mereka jadi sedemikian rupa, degil dan tak punya rasa? Aku akui mereka masih terlalu mentah, tapi otakku masih menagih jawapan. Akhirnya aku temui jawapan yang meruntun perasaan. Majoriti anak-anak aku di 4D ini, dari kalangan mereka yang berpendapatan rendah, miskin tegar. Ada juga yang datangnya daripada keluarga yang berantakan, ibu bapa bercerai-berai. Dan ada juga yang terpaksa ponteng sekolah kerana membantu ibu bapa memotong getah! Aku terkedu. Penyesalan menyelubungi diri tiada tertahan lagi. Walaupun mereka ini tidak mendengar kata, tetapi mereka mempunyai rasa hormat yang agak tinggi. Buktinya, setiap waktu mengajarku tamat, mereka akan berebut-rebut mencium tanganku, sebagai pengganti ucapan terima kasih.

Semenjak itu, aku berjanji tidak mahu memarahi mereka lagi walaupun kadangkala tahap kesabaran aku memuncak. Anak-anak 4D ini kuat berfantasi. Lantas aku mendapat kaedah. Bercerita. Aku mula mengupah mereka dengan cerita-cerita dongeng setiap hari hinggakan aku terpaksa mereka-reka cerita demi cerita yang kadangkala terasa seperti mahu membotakkan kepala dek kerana kehabisan idea. Tapi dengan satu syarat, mereka perlu menyiapkan tugasan. Aku tersenyum bila mereka berlumba-lumba menyiapkan tugasan dan berlari-lari menghantarnya ke mejaku.

Lain pula halnya dengan kelas 3A dan 3B. Aku seakan tidak sabar untuk menanti waktu mengajar mereka. Bersama mereka, aku seakan lupa diri. Aku bebas menyanyi dan menari bersama mereka, hanya kerana aku cikgu muzik. Segala ilmu dan lagu yang aku pelajari ketika PLKN dulu semuanya aku ajar mereka. Tak sia-sia aku jadi pelatih PLKN. Ni antara sedutan kelas 3A menyanyikan lagu Pelangi Petang, oleh Allahyarham Dato' Sudirman. Inilah satu-satunya lagu yang paling mereka gemari.


Sedegil-degil anak-anak didik aku, mereka tidak langsung melupakan hari meraikan guru. Tanggal 16 Mei 2008, aku dan guru-guru lain diraikan dalam suasana penuh meriah. Aku seakan terkaku di barisan bersama guru-guru lain melontarkan vokal yang maha padu menyanyikan lagu "KAMI GURU MALAYSIA". Gembira. Tidak sangka aku menyanyikan lagu tu sebagai seorang guru. Selebihnya aku bangga kerana sudah mencapai cita-cita bonda yang terlalu ingin melihat aku menjadi guru, walaupun aku bukan guru segar dari 'kilang'. Selesai sesi menyumbangkan lagu, sekali lagi aku terkaku. Anak-anak didik yang selalu aku marah datang menyerahkan hadiah. Bermacam-macam aku dapat haritu. Terasa begitu disayangi.

Paling tidak dapat aku lupakan sepanjang umur aku, apabila aku terlibat dalam kemalangan yang ngeri ketika dalam perjalanan mencurahkan ilmu. Pagi itu, pasti anak-anak 4D ternanti-nanti cerita dongeng dariku, 3A & 3B ternanti-nanti dendangan lagu dariku, dan 2C & 2D semestinya ternanti-nanti ganjaran gula-gula dariku. Maafkan cikgu.

Anak-anak cikgu sekalian, semoga kalian menjadi manusia yang berguna pada agama, bangsa, negara, dan keluarga. Kat bawah ni gambar-gambar yang aku ambil pada hari terakhir aku menjadi seorang guru. Agak hampa kerana kelas 4D tiada dalam simpanan kenangan aku.

Kelas 2C yang aktif. Semoga kalian membesar dengan penuh cemerlang. Anak-anak 2C terlalu prihatin dengan keadaan cikgu yang maha daif masa tu. Tengok tangan cikgu yang bersimen, semua nak tolong tulis kat cikgu. Terima kasih ya anak-anak cikgu.


Kelas 3A yang super-duper sporting. Bagi la lagu apa pun, dengan jayanya mereka akan ikut rentak. Siap ikut cikgu menari. Cikgu rindu kalian semua. Semoga terus cemerlang dalam pelajaran.

 Kelas 3B yang agak nakal. Especially Fitri, yang tersengih sampai nampak gigi tu. Memang tak dengar cakap. Tapi kalianlah yang banyak mematangkan cikgu. Terima Kasih banyak-banyak. Semoga kalian cepat matang. Belajarlah bersungguh-sungguh. UPSR tahun ni kan?

Lastly 2D. Kelas yang mula-mula aku masuk di hari pertama bergelar guru. Kelas yang paling tak ramai murid, tapi paling susah nak kawal. Kehadiran pula tidak menentu. Main lari-lari dalam kelas dah jadi tabiat. Sampaikan adakala cikgu pun berlari sama. Aduhai.. Sekarang dah darjah 5 kan? Sudah berubahkah kalian?

16 Mei datang lagi. Dikesempatan ini aku ingin mengucapkan Selamat Hari Guru kepada semua guru-guru yang pernah mengajar aku ketika di Sk Sik (1995-2000), SMK Sik (2001-2007), PLKN Kem Syruz (2006), Pensyarah Uitm Pahang, Poli Perlis, bekas rakan setugas di SK LANAI, rakan-rakan di Pejabat Perangkaan yang dah jadi cikgu, bakal SIL Ana, ayahanda tercinta dan semua guru-guru yang ada di Malaysia. Semoga kalian terus bersemangat mendidik anak bangsan. Lahirnya seorang doktor, peguam, juruterbang, mahupun perdana menteri sekalipun, semuanya bermula dari seorang GURU.

Tak keterlaluan, aku juga nak ucapkan Selamat Hari Guru kepada diri sendiri. Kerana AKULAH CIKGU, walaupun aku cikgu pencen!

   

0 comments:

Post a Comment

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design