Wednesday, August 24, 2011

Kisah Budak Penjual Kuih..

Assalamualaikum w.b.t

Apa khabar kalian semua? Banyak hari juga kita tak bertemu. Saya tahu anda sentiasa ternanti-nanti..hehe Perasan! hehe Apa-apa pun semoga kita semua terus diberikan kesihatan yang berpanjangan menyusuri 10 malam terakhir Ramadhan tahun ni. Semoga amal ibadah kita sentiasa diterima oleh-Nya. Amin.. :)

Semalam saya menerima satu e-mail dari seorang kenalan. E-mail itu bertajuk, 'Kisah Budak Penjual Kuih'. Menghayati e-mail itu, membuatkan saya rasa terpanggil untuk berkongsi kisah budak itu di ruangan ini. Baca, dan selamilah kisah tersebut. Tapi maaf, dek kerana kecetekkan ilmu, saya terpaksa edit email tersebut menjadi bentuk seperti di bawah. Namun, intipatinya tidak sedikitpun berbeza dari e-mail asal yang saya terima.


**********************************************************

Hari itu selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuat restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul di hadapan saya.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaannya.

"Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawab saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudia saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan? Tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik." kata saya sambil menepul-nepuk perut.

Dia beredar. Tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, dia meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu, pasti ditanya,

"Tak nak beli kuih ke bang, makcik, pakcik, kakak?"
Molek bahasanya! Mamak di restoran itu pun tidak menghalang di keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihat betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk, dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak itu berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang," katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya membuka dompet dan menghulurkan not merah RM10 padanya.

"Ambil ni dik, abang sedekah. Tak payah beli kuih tu.." Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak tersebut menerima wang tersebut, lantas berterima kasih dan berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terkejutnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula not RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua belah matanya. Saya terkejut. Lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang? Nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abang beri tadi kepada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawab pertanyaannya.

"Bang, saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti kerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia dapat tahu saya bawa duit banyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang tak berupaya. Saya masih kuat bang!" Katanya begitu lancar.

Saya sebak. Sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus tanya berapa harga semua kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua?" Dia bertanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya ke dalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu. Saya perhatikan dia sehingga hilang dari pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, saya berfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirkannya. Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya! :)

********************************************************

p/s : Kita semua sentiasa sama di sisi Tuhan. Tidak kira apa pangkat dan darjat sekalipun..Apa yang penting, selagi dikurniakan kudrat, teruskanlah berusaha. Jangan hanya tahu duduk bersenang-lenang mengharapkan rezeki datang bergolek-golek dan duit datang bergunung-gunung masuk dalam poket anda. 
Wassalam..(^___^)

(harap maaf gambar tiada kena mengena dengan entry :p)



2 comments:

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design