Friday, July 15, 2011

Dia Tetap Bapa Saudaraku

Assalamualaikum w.b.t

Hari ini dalam sejarah. Saya membuka ruangan 'new post' buat kali kedua selang masa yang paling singkat. Saya tidak tahu kepada siapa harus saya luahkan gelodak jiwa yang bermain di minda tika dan saat ini. Sungguh saya tidak tenang. Sungguh jiwa belas kasihan saya mencurah-curah keluar. Saya hanya insan biasa. Buat pertama kalinya saya rasa begitu lemah sekali saat berhadapan dengan 'lelaki' itu. Empangan air mata saya berkaca-kaca saat berhadapan dengannya. Saya tahu dia tersiksa. Biar pun siapa dia pada masa lalu, dia tetap BAPA SAUDARA saya. Dia tetap PAK SU saya. Di tetap darah daging saya. Dia tetap adik bongsu ayah saya. Dia tetap anak manja nenek saya.

Meniti minggu-minggu terawal di semester akhir ini, jadual tidak begitu padat. Mungkin sudah tertulis, hari ini saya cuma ada satu jam kelas Pembentukan Personaliti. Jadi saya mengambil keputusan untuk terus pulang ke teratak keluarga. Tambahan pula kelas untuk besok hari sudahpun dibatalkan atas budi bicara Puan Aini. Sebaik sampai di teratak keluarga, belum sempat saya menanggalkan ikatan kain tudung, saya terdengar perbualan emak di telefon. Ayah yang membuat panggilan. Ayah minta emak ke hospital dengan kadar yang segera. Pak Su tenat!

Sampai di Critical Zone HSB, hanya seorang pelawat saja yang dibenarkan masuk. Saya memberi laluan kepada emak. Emak keluar dengan membawa pakaian Pak Su. Saya sebak demi melihat pakaian itu. Seluar jeans lusuh, jaket denim yang juga lusuh, dan tuala kepunyaan Pak Su. Empangan air mata saya pecah berkecai demi melihat sehelai kopiah milik Pak Su. Kopiah yang sangat lusuh pada pandangan saya. Kopiah itu dilipat rapi. Sesak nafas saya menahan esak. Ya Pak Su sudah jauh berubah. Saya renung selipar Pak Su di tangan emak, kolam air mata saya melimpah lagi. Saya tidak mengerti mengapa selipar itu mengundang air mata saya. Mungkin membandingkan harga selipar usang itu dengan sepatu yang sedang saya pakai tika itu. Saya sedih. Sungguh. Teramat sedih.

Tatkala itu, katil Pak Su di sorong keluar dari Citical Zone menuju Wad CRW, aras 3 HSB. Saya terkedu. Sudah bertahun saya tidak berjumpa Pak Su. Badan Pak Su yang sememangnya kurus bertambah kering. Hampir tersembol tulang bahu Pak Su. Jujurnya Pak Su hanya tinggal tulang yang dilitupi kulit. Saya, emak, dan seorang kawan Pak Su (Ari namanya. Dia yang membawa Pak Su mendapatkan rawatan di HSB) mengiringi. Sayu mata Pak Su memandang saya. Mungkin Pak Su terkejut melihat saya mengiringinya ke CRW. Apatah lagi saya memeluk pakaian lusuhnya. Pak Su tidak dapat bernafas dengan sempurna. Pak Su juga tidak boleh baring dengan selesa kerana dengan keadaan itu, tahap penafasan Pak Su akan bertambah buruk. Pak Su hanya mampu duduk sambil menundukkan wajahnya, memberi tanda dia amat sakit. Saya tahu dia amat terseksa. Tapi apa daya saya untuk menolongnya. Saya sekadar mampu mendoakan kesihatannya. Pak Su tidak mampu berkata-kata walau sepotong ayat pun.

Sampai di CRW, nurse dan doktor menutup tabir di sekeliling katil Pak Su. Mesin penyambung hayat disambung. Segala bagai wayar di lekatkan di dada Pak Su kiri kanan. Alat bantuan penafasan juga diganti dengan yang lebih memberi kesan. Tembok air mata saya terasa mahu pecah lagi. Saya teguhkan juga tembok itu agar bertahan lama. Naluri kemanusiaanya saya begitu tersentuh sekali. Kekangan waktu membataskan masa saya dan emak untuk berlama-lamaan di wad itu menemani Pak Su. Waktu melawat hampir tamat. Sayu hati saya meninggalkan Pak Su sendirian di katil bercadar putih itu. Pak Su sedar kami ada di sisi katilnya, tapi Pak Su tak sedar ketika kami meninggalkannya. Kasihan Pak Su.

Pak Su menghidap penyakit jantung. Injap jantung Pak Su berlubang. Pak Su juga penhidap darah tinggi. Menurut Ari, Pak Su juga sudah setahun batuk secara berterusan. Mungkinkah Pak Su juga penghidap TB?? Menurut cerita Ari lagi, Pak Su sudah tak berupaya melakukan tugasan berat lagi. Malam tadi dua kali Pak Su dibawa ke Hospital Kuala Nerang. Pak Su mula kritikal semenjak dari semalam tapi dia masih mampu bertahan. Sehinggalah ke hari ini. Dia sudah tak berupaya melontarkan kata-kata. Ari marahkan Pak Su. Pak Su degil. Berkali-kali mereka ingin membawa Pak Su ke hospital mendapatkan lanjutan rawatan, mentah-mentah Pak Su menolaknya.

Dia tetap Pak Su saya. Walau siapa pun dia sebelum ini, dia tetap Pak Su. Biarlah apa pandangan masyarakat sekalipun, dia tetap Pak Su saya. Dia tetap 'lelaki' yang tersenarai dalam senarai wali saya sekiranya ayah, adik, dan datuk (saya gelarkan tok ayah) tiada di hari pernikahan saya. Saya tidak kisah siapa dia sebelum ini. Tapi saya sangat kisahkan keadaan dia seperti yang saya lihat petang tadi. Sungguh menyanyat hati. Saya harap Pak Su dah tak ktitikal lagi. Tapi saya tahu harapan saya ini amat tipis sekali. Pakar sudah menjelaskan kemungkinan itu tadi. Kita hanya mampu berserah.



*Pak Su saya baru berumur 28 tahun.

0 comments:

Post a Comment

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design