Saturday, July 16, 2011

Semoga Dia Lelaki Yang Benar-Benar Dikirimkan Tuhan Untukku..

Assalamualaikum w.b.t

Saya muncul lagi di ruangan ini. Saya akui, kegilaan dan ketagihan mula menguasi diri. Bukan mengejar status Blogger Sejati, tapi demi kepuasan diri sendiri. Ini diari saya. Diari untuk tatapan umum, walaupun saya sendiri tidak begitu pasti, ada atau tidak orang yang sudi membaca 'diari' saya ini..

Semalam, saya menziarahi Pak Su untuk hari yang kedua. Saya telah pun bercerita tentang Pak Su  pada entry sebelum ini. Alhamdulilah, nampak sedikit perubahan berbanding hari mula-mula Pak Su menginap di CRW. Segala bagai wayar yang dilekatkan di dada kiri dan kanan Pak Su sudahpun ditanggalkan. Pak Su juga kembali menggunakan alat bantuan penafasan biasa. Tiada lagi alat bantuan penafasan yang disambung dengan mesin penyambung hayat yang membingitkan telinga. Cuma, Pak Su masih tidak mampu menjamah sebarang makanan. Tiada selera katanya. Saya faham situasi itu. Memang selera makan akan lari bersembunyi dalam keadaan seumpama itu.

Hari sebelum ini, saya menziarahi Pak Su bersama-sama dengan emak, (ayah dan adik tidak berpeluang menziarahi Pak Su kerana terikat dengan tuntutan tugas), semalam tunangan saya, lebih manis saya bahasakannya Mr. T sahaja, ikut serta. Beliau belum pernah sekalipun berjumpa hatta berkenalan dengan Pak Su. Saya rasa itulah peluang terbaik untuk memperkenalkan Pak Su dengan insan yang bertakhta di hati saya dari zaman persekolahan sehingga ke hari ini, dan jika di izinkan tuhan saya mahu terus bersama Mr. T sehingga ke hembusan nafas saya yang terakhir. Semasa hari pertunangan kami tempoh hari, Pak Su tidak berada di kampung. Pak Su hanya mengetahui berita pertunangan kami menerusi Mak Tok, itupun setelah sebulan ikatan antara kami terpatri. Sekali lagi tembok air mata saya hampir pecah. Betapa sebaknya jiwa saya saat itu, tuhan saja yang tahu. Saya bersyukur. Sungguh-sungguh bersyukur dengan penerimaan Mr. T terhadap Pak Su. Ya, hari ini saya mempercayai kata-kata Mr. T sendiri suatu masa dulu.

"I terima you bukan sebab orang lain, tapi I terima you sebab you adalah diri you sendiri. I harap you terima baik buruk keluarga I, sebab I tak kisah siapa pun keluarga you. Yang penting I cuma mahukan you."

Bukan bermakna saya tidak mempercayai Mr. T selama ini. Tapi saya ragu-ragu penerimaannya, terhadap Pak Su terutama sekali. Demi melihat penerimaan Mr. T semalam, saya tahu dia dikirimkan oleh Tuhan kepada saya, dia dikirimkan kepada saya untuk menampung kekurangan yang ada pada diri saya.  Dia dikirimkan untuk terus berada disisi saya untuk melindungi saya. Mr. T lah yang memotong rambut Pak Su yang panjang, Mr. mengelap badan Pak Su, Mr. T membantu Pak Su yang kesusahan membuang air kecil, Mr. T membantu memicit kepala Pak Su, Mr. T menyuapkan air ke mulut Pak Su. Segalanya dilakukan dengan penuh tertib, tanpa rasa kekok. Saya sendiri yang sedarah sedaging dengan Pak Su pun tidak pernah melakukan semua itu. Semuanya mengundang rasa sebak di hati saya. Andai Pak Su, orang yang Mr. T baru kenal tak sampai satu jam, dilayan sebegitu rupa oleh Mr. T, apatah lagi saya, insan yang dekat dihatinya, bakal isterinya, tunangannya.



*Semoga dia lelaki yang benar-benar dikirimkan Tuhan untuk saya. Semoga Tuhan terus melindungi kami berdua.

0 comments:

Post a Comment

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design