Saturday, December 24, 2011

Tuhan Menguji Kita Kerana Dia Ingin Menghapuskan Dosa Kita : Epidod 1

Assalamualaikum..
Sepertimana yang saya janjikan dalam entry-entry lepas, hari ini saya telah bersedia sepenuhnya secara fizikal dan mental untuk berkongsi dengan anda serba sedikit tentang perjalanan kehidupan saya sewaktu menghadapi detik-detik terakhir menyandang gelaran sebagai seorang pelajar. Yang baik kita jadikan panduan, yang kurang baik, jadikan teladan..

Hari pertama mendaftar diri bagi permulaan semester akhir, saya sudah diuji. Jika dilihat menerusi laman web IPT, saya layak menduduki hostel buat julung-julung kalinya. Namun, sebaik ingin mendaftarkan diri, saya mendapati nama saya tiada dalam senarai. MasyaAllah! Saya bagai jatuh terhempap. Dimana saya akan tinggal? Macam mana saya nak study? Bagaimana saya nak buat group discussion? Dimana saya akan tidur setelah ayah bonda pulang nanti? Pelbagai persoalan mula menerjah otak saya yang kerdil ini. Kala melihat wajah ayah bonda yang setia menanti, mutiara jernih tidak mampu bertahan lagi. Saya menangis di situ! Saya amat kalah jika berhadapan situasi merumitkan seumpama itu. Pertanyaan yang bermain diminda saya, kenapa harus pihak pengurusan mendiamkan perkara itu? Sebaiknya beritahu saya (dan pelajar-pelajar yang senasib) tentang status semasa kami. Hebahan boleh dibuat dengan pelbagai cara. Zaman sudah canggih. Teknologi sudah terlampau moden. Saya redha. Mungkin ujian ini tidak sehebat mana. Ramai lagi hamba Allah di luar sana yang tidak punya tempat berlindung, hanya menumpang sepanjang hidup mereka. Malah ada yang saban malam tidur di jalanan! Mujur ada Nabila yang sudi menumpangkan saya dan Lia bermalam di biliknya pada malam pertama itu. Malam itu, tidur saya bertemankan air mata. Saya gusar memikirkan nasib saya pada esok hari. Sampai bila harus menumpang begini?

Syukur Alhamdulillah, di hari berikutnya, saya ditawarkan untuk menginap sementara di kediaman Warden Hostel. Rumah flat lima tingkat yang belum pernah didiami. Saya panjatkan syukur ke hadrat Ilahi, sekurang-kurangnya saya ada tempat berlindung untuk bulan-bulan terakhir itu walaupun keadaan di kediaman tersebut jauh kurang selesa berbanding dengan hostel sedia ada. Saya kongsikan 'rezeki' itu dengan rakan-rakan sekelas yang senasib dengan saya. Saya sangkakan kehidupan kami akan bertambah meriah bila tinggal 'sekapal' nanti. Kami boleh berkongsi pelbagai idea untuk menjana ilmu sesama sendiri. Namun, panas yang saya harapkan hingga ke petang, rupanya ribut petir di tengah hari. Sekali lagi saya jatuh terhempap! Allahuakbar. Saya dianiaya rakan serumah sendiri. Saya dituduh 'menggunakan' mereka untuk menginap di kediaman tersebut. Tidakkah mereka berfikir, jika saya tidak mengajak mereka tinggal bersama, dimana mereka akan tinggal? Saya tidak minta mereka menjulang saya, tidak juga memohon mereka berterima kasih kepada saya, cukuplah sekadar mereka tidak memburukkan saya. Hinggakan memaksa saya menapak kaki berjumpa dengan pegawai HEP, seorang insan yang tidak pernah saya mimpi untuk ketemu hanya kerana masalah disiplin yang tidak dicipta oleh saya sendiri. Mereka membuatkan rekod bersih saya bertukar warna. Hubungan dengan pensyarah juga mulai dingin. Pembelajaran saya mulai terganggu. Hidup saya kucar-kacir. Namun saya bersyukur, hubungan saya dengan Maha Pencipta bertambah intim. Saya tingkatkan ibadah. Al-Quran menjadi teman setia saya. Helaian bacaan ayat suci itu semakin bertambah saban hari.

Namun kali ini saya kuatkan hati. Tidak menangis lagi.

*Akan ada Episod 2..

0 comments:

Post a Comment

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design