Wednesday, December 28, 2011

Tuhan Menguji Kita Kerana Dia Ingin Menghapuskan Dosa Kita : Episod 5

*Kesinambungan dari Episod 4*

Episod-episod duka masih belum mahu melangkah pergi dari sisi hidup saya. Belum reda masalah yang dicipta oleh rakan-rakan sekelas, individu lain pula menghantar mesej demi mesej yang menyucuk jiwa saya. Hubungan saya dengan Mr. T juga turut menjadi mangsanya. Individu itu mula mempersoalkan hubungan kami. Dia menuduh saya me'mandrem'kan Mr.T sehinggakan tunangan saya itu tidak berpaling berpaling kepada orang lain lagi..!! Allahuakbar... Tuduhan apakah itu? Kalaulah saya berdaya mengguna-gunakan orang seperti yang diperkatakan, buang masa sahaja saya mengguna-gunakan Mr.T. Lebih baik saya mengguna-gunakan kaum kerabat diraja yang sudah tentu kaya raya dan dipandang mulia!

Suatu malam saya terima lagi rangkaian mesej darinya. Mesej yang saya tidak akan lupakan sampai bila-bila pun. Dia menuduh saya seorang perempuan yang tidak tahu malu mencintai Mr.T. Saya dituduh ibarat perigi mencari timba. Dia memberitahu saya bahawasanya bakal mertua saya tidak pernah menerima saya. Dia terus mengatakan bahawa bakal mertua saya berkali-kali menyuruh Mr.T memilih orang lain sebagai calon isteri dan bukannya saya. Dia mengatakan lagi kononnya bakal mertua saya berpura-pura menerima kehadiran saya hanya kerana mereka kasihankan Mr.T yang terlalu mencintai saya! Benarkah begitu??

Sepanjang saya mengenali bakal mertua, mereka terlalu baik terhadap saya. Pertemuan kami selalunya diiringi ketawa bahagia. Kunjungan saya ke istana mereka juga disambut dengan tangan yang terbuka. Bakal ibu mertua saya amat lemah-lembut orangnya. Pelukannya sentiasa mendamaikan jiwa. Senyumannya mampu mengusirkan lara. Saya dilayan dengan penuh mesra. Benarkah beliau hanya berpura-pura menerima saya?? Benarkah??

Bakal bapa mertua saya pula agak pendiam orangnya. Senyuman selalu melebihi kata-katanya. Mata saya yang bodoh ini tidak pernah menipu, bakal bapa mertua saya tidak sekalipun mempamerkan senyuman palsu! Keikhlasan sentiasa terpancar pada wajah tuanya. Kepala saya sentiasa di usap penuh kasih sayang setiap kali saya tunduk mencium tangannya. Saya terasa beliau menerima saya seadanya. Tetapi benarkah beliau hanya berpura-pura menerima saya hanya kerana ingin menjaga hati Mr. T, anak lelaki tunggalnya?? Benarkah??

Perkhabaran itu saya terima ketika bakal menghadapi peperiksaan pertengahan semester keesokkan harinya. Mood saya langsung berlalu pergi. Saya tidak berdaya hendak study lagi. Saya tutup kesemua nota. Menitik juga air mata saya akhirnya. Hancur luluh hati saya. Saya mula membayangkan keindahan alam rumah tangga yang sering saya bayangkan selama ini mulai musnah sedikit demi sedikit. Lia kehairanan melihat saya baring menutupkan muka. Saya menangis semahunya. Mengapa saya yang harus diuji sebegitu rupa?? Mengapa?? Astagfirullahalazim.. Saya lupa bahawa Tuhan sedang mengatur semuanya. Saya juga lupa bahawa ujian yang Tuhan berikan ini hanya sebesar zarah jika dibandingkan orang di sana yang lebih hebat dugaan mereka. Ampunkanlah dosa hambamu ini Ya Allah.

Setelah berfikir panjang baik dan buruk, saya forwardkan kesemua intipati mesej-mesej itu kepada Mr. T. Saya tidak mahu ada rahsia lagi antara kami. Saya tidak mahu kesalahan sekali lagi jatuh terhempap ke bahu saya sekiranya berlaku sesuatu ke atas hubungan kami suatu waktu nanti. Saya katakan pada Mr.T eloklah jika saya mengundurkan diri dari hidupnya. Tiada gunanya kami meneruskan hubungan ini sekiranya kedua orang tuanya tidak 'merestui' hubungan kami. Saya mahu memulangkan kembali cincin yang bersinar tersarung di jari.

Mr. T marah sekali. Saya tidak pernah melihat Mr.T marah berapi-api seperti itu sebelum ini. Mr. T yang saya kenali amat cool orangnya. Dia bijak mengawal emosi walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Saya terlebih dahulu meminta maaf darinya. Bukan niat saya untuk menambahkan beban kepadanya, jauh sekali untuk mengucar-kacirkan hidupnya. Saya sekadar ingin berkongsi dengannya dan tidak mahu teraniaya lagi. Saya juga sudah penat menjaga hati orang lain sedangkan hati saya sendiri sewenang-wenangnya dipermainkan.

Keesokkan harinya, Mr. T menghubungi saya. Beliau ingin membawa kedua orang tuanya berjumpa dengan saya. Beliau inginkan saya mendengar dari mulut kedua bakal mertua sendiri bahawanya mereka tidak pernah tidak merestui hubungan kami. Bakal bapa mertua berulang kali mengatakan, sekiranya mereka suami isteri tidak merestui hubungan kami, dari dahulu lagi pastinya mereka berusaha keras untuk menghalangnya! Bakal mertua mengambil keputusan untuk terus berjumpa dengan kedua ayah dan bonda. Mereka memohon untuk mempercepatkan tarikh nikah kami berdua kerana bakal mertua tidak inginkan sesuatu terjadi ke atas hubungan kami. Bakal mertua inginkan kami segera disatukan kerana tidak ingin kejadian seumpama itu kembali  terjadi. 

"Perkara itu tidak akan berulang lagi. Langsung tidak akan pernah! Saya akan lindungi awak selagi saya masih bernafas. Dia tidak akan berani mengganggu lagi." Itu janji Mr. T.

Ya. Baru kini saya percaya, alam pertunangan ada cabaran yang tersendiri. Tapi ujian kepada saya datang dalam pek 'berkembar'. Ujian kehidupan dan ujian alam pertunangan datang sekaligus. Berat dan sarat. Padat dan sendat!

Wassalam..

0 comments:

Post a Comment

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design