Sunday, December 25, 2011

Tuhan Menguji Kita Kerana Dia Ingin Menghapuskan Dosa Kita : Episod 2

*Sambungan Episod 1*

Saya bersyukur sekurang-kurangnya saya tidak bersendirian menghadapai kemelut itu. Saya dan Lia senasib. Kami sama-sama bersatu menghadapi dugaan itu. Ishqi dan Nabila sentiasa menyokong kami. Masalah rumah mula diperkatakan tanpa henti apatah lagi saya menggalas beban sebagai 'Ketua Rumah'. Suara-suara tidak puas hati bertempikan tanpa henti. Masing-masing punya 'kepala' sendiri dan merasakan mereka lebih bagus untuk menjadi ketua. Saya tidak pernah meminta untuk dijadikan ketua, tapi mereka yang beria-ria memilih. Kerumitan hidup saya ini berpunca dari sedikit salah faham antara kami (saya & Lia) dengan seorang ahli rumah yang merupakan ahli group discussion bersama. Dulunya, bersama Nadia, Ishqi, Nabila, Lia, dan saya sendiri, kami tidak pernah punya sebarang masalah antara ahli kumpulan. Tugasan diberi sentiasa lancar. Segalanya kami lakukan bersama. Buktinya, markah tugasan kami sentiasa padat maksimum. Semua orang boleh lihat bukti itu. Setelah Nadia 'meninggalkan' kami, kami selesa berempat, tetapi ahli baru itu seolah-olah cuba meraih 'populariti' kami. Maka, episod-episod duka muka mengelilingi saya, juga selaku ketua kumpulan! Si Dia mula menunjukkan taring. Masa discussion dihabiskan dengan 'bergayut' berjam-jam seolah-olah dia sahaja yang punya pacar. Saya bertoleransi pada mulanya. Namun lama-kelamaan, ahli kumpulan mula bersuara. Masing-masing tidak puas hati dengan ahli baru terbabit. Timbul persengketaan apabila kami berani bersuara dan tekad untuk melontar dia dari kumpulan. Ya. Itu sangat penting untuk menjamin keputusan semester akhir ini. Untuk apa lagi disimpan jika tidak mendatangkan sebarang hasil. Rentetan dari rasa tidak puas hati itulah, saya diheret hingga ke muka pegawai HEP!

Hinaan dan cacian saya terima saban waktu. Lebih menyedihkan kejadian itu berlaku ketika bulan dimana kita dituntut untuk memperbanyakkan sabar.  Amal ibadah saya turut dipersoalkan! Ada suara nakal yang melaungkan : "Tidak guna sembayang tungging terbalik, pakai tudung litup, tapi berhati busuk. Sebusuk air dalam lubang najis!" Allahuakbar! Tidak sedarkah kalian manusia hati busuk inilah yang cuba memberikan perlindungan kepada kalian? Manusia hati busuk inilah yang memprovokasikan kalian (yang ada antaranya tidak layak langsung untuk menginap di asrama) hingga boleh tinggal selesa di rumah itu?? Manusia hati busuk inilah yang membela kalian kala disoal bertubi-tubi oleh Ketua Warden. Manusia hati busuk inilah yang menyimpan rahsia bahawa kalian itu penghuni haram! Tidakkah kalian sedar semua itu??

Saya rasa terhina apabila ahli rumah yang sepatutnya bersatu secara tiba-tiba berubah corak. Mereka lebih gembira membela manusia yang tidak 'sekapal' dan mereka lebih bangga menyembunyikan kebenaran dan menghebahkan kemungkaran. Ini masalah perkauman. Tidak elok saya bicara pada umum begini. Tidak pasal-pasal ada yang mengheret saya kemuka pengadilan demi mereka mendapatkan perhatian setelah kemungkaran terbongkar!

Saya dan Lia duduk berbincang. Kami perlu bertindak. Kami tidak mahu lagi digulingkan. Biarlah kami mengalah walaupun kami tidak salah. Hampir sebulan kami berusaha naik turun tangga menuju pejabat warden dan tebalkan muka hanya kerana ingin merayu untuk menduduki bilik asrama. Alhamdulillah. Doa kami dimakbulkan Tuhan. Kami akhirnya dapat menduduki bilik asrama yang baru dikosongkan kerana penghuni asal berhenti pengajian. Alhamdulilah. Syukur yang tidak terhingga atas rezeki kurniaan Tuhan itu. Namun begitu, asrama kami teramat jauh dari kuarters warden. Jadinya kami perlu mengangkut barang sedikit demi sedikit untuk melancarkan proses 'penghijrahan' itu kerana tiada tangan yang ringan untuk membantu. Tetapi kami diuji lagi! Tika mengangkut barang dengan bersusah payah menggunakan kudrat yang tidak seberapa ini (komplikasi lutut saya sedang hebat ketika ini), kami diejek seperti pesalah Juvana! Kami disorak kerana telah melangkah keluar dari rumah yang saya sendiri usahakan untuk mereka tinggal! Kami dipersendakan kerana mengangkut penyapu, beg, dan segala bagai barang sarat di kedua-dua tangan! Dimanakah nilai keperimanusiaan mereka?? Allahuakbar....

Hati saya menjadi sesejuk air batu. Saya benar-benar berpatah arang. Saya umpama baru kehilangan jiwa. Jiwa saya umpama kemalangan dan dilenyek lumat dengan treler! Lia mula menangis. Dia benar-benar rasa terhina kerana diantara kami semua, Lia yang paling senior. Mereka langsung tiada nilai hormat sesama insan.

Saban hari, telinga kami menjadi santapan nasihat dan kemarahan para pensyarah. Saya dan Lia dipersalahkan seratus peratus! Mereka hanya mendengar sebelah pihak! Kami langsung tiada hak untuk bersuara. Kaunselor membiarkan mereka bersikap biadap dan memalukan kami dihadapan orang ramai, namun tiap kali saya dan Lia ingin membuka mulut, kami pantas diherdik untuk tidak bersuara dan sekadar mendengar hinaan dan makian pihak sebelah sana. Saya hanya tersenyum. Begitukah sikap seorang kaunselor?? Setahu saya, seorang kaunselor akan menyembunyikan segala masalah orang. Setiap masalah itu adalah rahsia kaunselor dan pemiliknya sahaja! Saya langsung hilang nilai 'respect' kepada beliau. Terima kasih!

Dihadapan orang ramai juga, seorang insan yang 'terlalu hebat' bertanya saya :

"Kau tak puas hati ke kami lebih dari kau?"

Saya tersentak. Apa yang membuatkan saya tidak puas hati dan apa pula kelebihan DIA itu?? Setahu saya dan seluruh rakan-rakan kuliah, DIA terlalu 'lebih' dari saya. Saya tidak pernah ponteng kelas sesuka hati sepertinya. Saya tidak pernah mendedahkan aurat mahupun lalai menunaikan solat (itu adalah urusan DIA dan Tuhan. Saya tidak berhak untuk mempersoalnya. Tapi bila saya menerima asakan soalan seumpama itu, saya harus bersuara!). Saban semester, saya pasti mendaki tangga pentas dan mendakap hadiah 'PELAJAR CEMERLANG' sedangkan dia perlu menghabiskan cuti semester di dalam kampus ekoran mencukupkan jam kredit kerana menghadapi kegagalan dalam peperiksaan! Ya. Itulah 'kelebihan' dia yang nyata. Saya memang kurang segalanya.


*Bakal ada Episod 3*

0 comments:

Post a Comment

 

A WOMEN'S DIARY Template by Ipietoon Cute Blog Design